Lemon Sky Studios, iaitu studio animasi dan permainan tempatan hari ini mengumumkan yang mana mereka berjaya melengkapkan siri animasi Nickelodeon, Santiago Of The Seas ketika pandemik ini.
Siri animasi ini merupakan siri projek kedua kerjasama mereka bersama Nickelodeon selepas Middle School Moguls pada tahun lepas di mana kali ini, siri ini memfokuskan watak Santiago Montes seorang kanak-kanak berusia 8 tahun yang ingin mengembara dunia sebagai seorang lanun. Siri ini dihasilkan oleh Niki López, Leslie Valdes dan Valerie Walsh Valdes, dan ia sudah pun ditayangkan di saluran rasmi Nickelodeon.
Menurut Loo Hon Gene iaitu ketua produksi animasi di Lemon Sky Studios menyatakan yang mana penghasilan animasi dan kesan visual siri ini agak mencabar kerana pasukan juru animasi perlu berkerja dari rumah. Namun, keseluruhan pasukan berjaya menyesuaikan diri dan melakukan tugas yang sangat baik walaupun perlu mengikut segala tetapan keselamatan ketika perintah kawalan pergerakan.
Sekitar 100 staf yang terlibat untuk animasi dan setiap satunya bekerja dari rumah yang mana juga turut menghasilkan segala animasi magis, transformasi kostum dan kesan visual yang lain di dalam animasi tersebut.
Menurut Wong Cheng Fei, iaitu ketua pegawai eksekutif Lemon Sky Studios, walaupun sekarang ini merupakan saat yang agak mencabar untuk industri kreatif, mereka sememangnya berbesar hati dengan klien mereka iaitu Nickelodeon kerana memberi kepercayaan untuk menghasilkan animasi ini dan sekaligus menyatakan Nickelodeon juga kini adalah sebahagian daripada keluarga mereka.
Niki Lopez iaitu pencipta siri animasi ini juga menyatakan yang mana ketika pandemik ini melanda, mereka tidak menjangka bagaimana kesannya terhadap studio Lemon Sky namun mereka tetap berjaya menghasilkannya dengan kualiti yang baik dengan budaya kerja yang sangat bekerjasama dan bersemangat.
Semestinya penglibatan Lemon Sky Studios juga tidak terhad untuk siri animasi sahaja di mana mereka sebelum ini juga terlibat dengan permainan video dan juga siri animasi lain. Dengan ini, kami juga ingin mengucapkan tahniah buat Lemon Sky Studios atas kejayaan ini.