Football Manager 2021 akan menemui peminat lebih kurang sebulan daripada hari ini. SEGA dan Sports Interactive hari ini telah berkongsi sebilangan perubahan yang akan disertakan di dalam permainan terbaru untuk simulasi pengurusan pasukan bola sepak tersebut.
Perkongsian kali ini mereka memfokuskan kepada empat bahagian iaitu interaksi, hari perlawanan, sesi pemindahan, dan akhir musim.
Bagi interaksi, sebelum ini pemain boleh memilih pilihan dialog serta gaya penyampaian, FM21 akan menyertakan bahasa badan yang akan menggantikan cara penyampaian. Ia akan memberi lebih impak kepada setiap interaksi. Anda juga tampaknya boleh membaling botol, seperti Alex Ferguson.
Anda juga boleh melihat bahasa badan daripada pihak lain seperti media dan juga pasukan.
Ketika hari perlawanan pula, pemain akan diberikan lebih informasi mengenai pasukan lawan dan boleh gunakannya untuk melakukan perubahan pemain ataupun taktikal sebelum perlawanan bermula.
Antara perkara yang paling penting di dalam Football Manager adalah pemindahan pemain, melalui FM21, pemain kini boleh melakukan perbincangan dengan staf sebelum bermulanya musim pemindahan untuk menentukan fokus pencarian pemain. Selain itu, pengurus juga kini boleh memanggil ejen kepada pemain untuk berbincang jika seseorang pemain berminat untuk hadir ke kelab anda.
Akhir sekali adalah untuk akhir musim, di mana selepas berakhirnya satu musim, satu rumusan akan dihasilkan untuk memperlihatkan pencapaian dan juga kejadian penting bagi musim tersebut. Sebagai kenangan dan juga untuk digunakan sebagai perancangan bagi musim baharu.
Football Manager 2021 akan dikeluarkan pada 24 November 2020 untuk PC melalui Steam dan Epic Games Store. Bagi platform lain iaitu Xbox, Switch dan peranti pintar akan tiba kemudian.