April lepas, The Irregular Corporation dan Auroch Digital mengumumkan satu permainan pengurusan dan pelancaran roket ke angkasa iaitu Mars Horizon akan dilancarkan di konsol dan PC sekitar tahun ini.
Terkini, mereka akhirnya mengumumkan tarikh pelancaran permainan tersebut di mana ia akan tiba pada 17 November 2020 ini di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC melalui Steam.
Bersempena dengan pengumuman tarikh pelancaran, mereka juga berkongsi satu video khas yang memperlihatkan bentuk permainan ini dengan lebih mendalam.
Melalui Mars Horizon, pemain akan mengawal dan pengurus pelancaran roket ke angkasa untuk ke planet Marikh bermula dari pelancaran sehinggalah mendarat ke planet tersebut. Pemain juga berupaya untuk memilih negara untuk proses pelancaran termasuklah menghasilkan pangkalan bersama kelemahan dan kelebihan sesuatu organisasi tersebut.
Menariknya, pemain juga boleh memilih pekerja dan angkasawan yang akan membantu dan mengurus pangkalan angkasa pemain untuk memastikan pelancaran roket pemain berjaya.
Bagi anda yang berminat dengan permainan ini, anda boleh dapatkannya menjelang bulan hadapan.