Microids dan PlayMagic sebelum ini mengumumkan yang mana mereka akan melancarkan permainan olahan semula XIII pada 10 November ini di konsol dan PC, di mana ia adalah berdasarkan permainan penembak yang dilancarkan pada 2003 lepas.
Terkini, tampaknya versi Switch permainan tersebut ditunda secara rasmi dan ia akan hadir sekitar tahun hadapan melalui kenyataan rasmi Microids. Akan tetapi dari segi sebab mengapa ia ditunda, Microids tidak berkongsi sebarang informasi lanjut berkenaannya.
Bersempena dengan pengumuman ini, Microids juga memperlihatkan satu video acah baharu permainan tersebut yang mempertontonkan sebilangan senjata yang akan pemain boleh gunakan.
Antara senjata yang diperlihatkan adalah bermula dengan pistol 9mm sehinggalah senjata berat seperti Bazooka. Permainan ini juga akan menyertakan pelbagai gajet dan senjata yang memfokuskan bentuk selinap seperti pisau, pemanah dan kecapi. Pemain juga boleh menggunakan cangkuk untuk bergerak ke lokasi yang tinggi.
Melalui permainan XIII, pemain akan bermain sebagai seorang askar yang bernama XIII di mana beliau telah hilang ingatan dan dituduh sebagai pembunuh presiden Amerika Syarikat. Untuk membuktikan bahawa pemain tidak bersalah, pemain mesti mencari klu dan menyelesaikan misteri pembunuhan tersebut untuk membersihkan nama pemain.
XIII akan tiba di konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC pada 10 November 2020 ini. Manakala versi Switch akan tiba sekitar tahun 2021 ini.