Minggu ini, Sony melancarkan kemaskini 8.00 untuk konsol PlayStation 4 di mana ia mempunyai beberapa masalah selang beberapa jam kemaskini tersebut dilancarkan bersama mesej berkenaan sembang suara yang direkod ketika sesi permainan.
Atas sebab beberapa kecelaruan isu tersebut, hari ini Sony berkongsi satu penulisan rasmi berkenaannya di blog PlayStation di mana mereka menerangkan lebih lanjut berkenaan fungsi rekod tersebut dan bagaimana ia akan digunakan.
Pertama sekali, Catherine Jensen, iaitu ketua global untuk pengalaman pengguna bagi PlayStation menyatakan mereka memohon maaf bagi pihak Sony atas sebab tidak menerangkannya dengan lebih lanjut bagaimana fungsi tersebut akan digunakan.
Menurut beliau, fungsi ini di adalah di bawa khas untuk konsol PlayStation 5 di mana ia bertujuan untuk membuat aduan terhadap pemain yang melanggar sebarang peraturan komuniti ataupun tingkah laku yang tidak sesuai. Fungsi ini juga boleh digunakan antara pemain konsol PlayStation 4 dan PlayStation 5, sekaligus ia juga disebabkan kenapa mereka menyertakan kemaskini tersebut di konsol PlayStation 4.
jika pemain bermain secara atas-talian dan menerima gangguan oleh pemain lain, pemain berupaya untuk merakam perbualan suara tersebut di mana hanya 5 minit terkini rakaman sahaja yang akan dirakam. Pemain kemudian berupaya untuk menghantar 40 saat rakaman tersebut kepada Sony secara terus melalui konsol PlayStation 5 untuk membuat aduan jika pemain lain cuba mengganggu pemain. Sony kemudian akan mengambil tindakan berdasarkan bukti sembang suara yang dihantarkan.
Sekaligus, fungsi ini tidak langsung akan merakam keseluruhan sesi perbualan pemain dan mereka tidak akan memberi pilihan untuk membuang fungsi ini atas sebab mereka ingin kesemua pemain berasa selamat jika bermain secara atas-talian.
Semestinya ini adalah satu perkara yang bagus, terutamanya di era atas-talian ini atas sebab terdapat pelbagai pemain yang sering bersikap negatif terutamanya jika tewas dengan pemain lain. Dengan penyertaan fungsi ini juga, pemain juga berasa akan lebih selamat setiap kali bermain secara atas-talian di dalam mana-mana permainan multi-pemain.