CD Projekt Red pada awal pagi tadi telah berkongsi Night City Wire mereka yang keempat, kali ini mereka memfokuskan maklumat lanjut mengenai kenderaan serta fesyen. Anda boleh tonton video penuh di bawah.

Bagi kenderaan, mereka memperlihatkan tiga kategori berbeza iaitu Economy yang memfokuskan kereta berkuasa rendah dan gaya yang biasa, berbeza dengan Executive yang mempamerkan kereta lebih bergaya. Akhir sekali adalah Heavy Duty iaitu kereta bersaiz besar, seperti lori. Mereka juga ada memperlihatkan bagaimana bunyi setiap kereta dirakamkan untuk digunakan di dalam permainan ini.

Selain kereta, mereka juga memperlihatkan motosikal. Menariknya, salah satu model motosikal yang disertakan di dalam permainan ini adalah hasil kerjasama bersama dengan Arch Motorcycle iaitu syarikat pengeluar motosikal yang ditubuhkan oleh Keanu Reeves sendiri. Rekaan motosikal tersebut adalah berdasarkan rekaan Arch Motorcycle tetapi diubahsuai oleh CD Projekt Red untuk nampak lebih futuristik.

Jika anda tidak berminat mengenai kenderaan, mereka juga memperlihatkan pelbagai gaya fesyen yang disertakan di dalam permainan ini. Terdapat 4 gaya berbeza iaitu Kitsch, Entropism, Neomilitarism dan Neokitsch. Mereka juga berkongsi sejarah mengenai setiap gaya.

Cyberpunk 2077 akan dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC. Mereka juga telah mengesahkan yang ia juga akan dikeluarkan untuk Stadia pada tarikh tersebut.

Sohor Kini