PlayStation Memperlihatkan Antaramuka Baharu Untuk PS5

PlayStation telah melakukan State of Play secara mengejut hari ini untuk berkongsi lanjut mengenai antaramuka baharu buat PlayStation 5. Video tersebut boleh ditonton di bawah.

Seperti diumumkan sebelum ini, mereka melakukan perubahan secara menyeluruh. Antaramuka ini akan dipaparkan dengan resolusi 4K serta menyokong HDR. Dengan bantuan SSD yang pantas, penukaran dari satu bahagian ke bahagian lain dikatakan hanya mengambil masa kurang daripada 8 saat.

Ini termasuk juga untuk PS Store di mana ia sekarang diintegrasi secara terus ke dalam sistem dan tidak memerlukan masa pemuatan yang lama seperti sekarang.

Selain itu, mereka juga memperlihatkan cara baharu pemain akan mengakses permainan daripada skrin utama, di mana pemain diberikan pelbagai bahagian di dalam permainan untuk diakses secara terus, tanpa perlu membuka permainan tersebut terlebih dahulu. Contohnya jika anda ingin bermain mod spesifik di dalam permainan, anda boleh terus memilihnya di skrin utama.

Tambahan, bagi permainan yang mempunyai pelbagai objektif seperti permainan dunia terbuka, objektif-objektif tersebut juga boleh dilihat juga dari skrin utama, tanpa memerlukan permainan tersebut dibuka. Jika ingin, pemain boleh terus membuka permainan dengan memfokuskan objetif tersebut.

Jika anda memerlukan bantuan untuk menyelesaikan mana-mana objektif, sesetengah permainan juga akan mempunyai bantuan secara rasmi, termasuk juga video untuk memperlihatkan cara bagi menyelesaikannya. Ia boleh diakses terus daripada menu semasa di dalam permainan, tanpa membuka laman baharu. Berdasarkan yang diperlihatkan di dalam video, fungsi ini mungkin adalah sebahagian penawaran untuk pelanggan PS Plus.

Bagi fungsi penangkapan skrin dan juga video, ia kini akan ditangkap dan disimpan menggunakan resolusi sehingga 4K. Pemain boleh memilih untuk menyimpannya dengan resolusi lebih rendah, berkemungkinan akan mempertingkat kadar kelancaran untuk video.

Jika anda berminat, mereka juga memperlihatkan skrin apabila PS5 sedang ditutup ke mod rehat.

PlayStation 5 akan dikeluarkan pada 12 November ini untuk beberapa negara dan 19 November secara global, dan mungkin termasuk juga Malaysia.

Sohor Kini