Skip to main content

Setelah mempertontonkan video acah pertama filem Monster Hunter minggu lepas, Sony Pictures hari ini secara rasminya berkongsi video acah penuh filem Monster Hunter tersebut.

Bagi anda yang tidak tahu berkenaan siri Monster Hunter, ia merupakan siri permainan aksi yang sangat terkenal oleh Capcom di mana ia mula diperkenalkan pada tahun 2004 di konsol PlayStation 2. Siri tersebut kemudian menerima pelbagai permainan baharu di mana permainan terkini iaitu Monster Hunter World telah pun dilancarkan beberapa tahun lepas dan permainan akan datang Monster Hunter Rise akan tiba awal tahun hadapan.

Berdasarkan video acah di atas, filem ini kelihatan akan memfokuskan sekumpulan pasukan askar yang secara tidak sengaja dipindahkan ke dunia lain yang dipenuhi raksasa. Di sana, pasukan tersebut perlu bertembung dengan raksasa tersebut di mana ia kelihatan menyertakan beberapa raksasa daripada siri permainan seperti Rathalos dan Diablos.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, filem ini arahkan oleh Paul W.S. Anderson di mana beliau terkenal dengan siri filem aksi-nyata Resident Evil dan ia dibintangi oleh isteri Paul sendiri, iaitu Milla Jovovich. Selain itu filem ini juga dibintangi oleh Tony Jaa, Ron Perlman dan Cliffird Joseph Harris Jr.

Menurut Sony Pictures, filem ini akan tiba di pawagam pada bulan Disember ini.

Leave a Reply