Marvel’s Avengers adalah permainan oleh Square Enix dan Crystal Dynamics di mana mereka membawa watak-watak Marvel ke dalam satu permainan yang memfokuskan kepada “live service”. Walaupun mempunyai kekuatan pada penceritaan, segala bahagian lain serba kekurangan. Anda boleh baca ulasan saya di pautan ini; Ulasan Marvel’s Avengers – Berpotensi Tetapi Mengecewakan.

Pada hari yang sama saya keluarkan ulasan untuk Marvel’s Avengers, permainan oleh Mihoyo iaitu Genshin Impact dikeluarkan. Saya boleh katakan selepas meluangkan masa untuk Avengers saya beralih kepada Genshin Impact. Selepas meluangkan hampir 30 jam, saya boleh katakan secara keseluruhan Genshin Impact adalah permainan yang saya lebih seronok bermain berbanding Marvel’s Avengers.

Kedua-dua permainan mempunyai sasaran pemain yang mungkin berbeza, tetapi saya membuat perbandingan ini kerana selepas bermain Genshin Impact, saya tidak mempunyai motivasi untuk bermain kembali Marvel’s Avengers dan kedua-dua permainan inginkan anda untuk setiap hari membukanya.

*Square Enix/Bandai Namco memberikan saya kod untuk Marvel’s Avengers, manakala Genshin Impact pula adalah permainan percuma, oleh itu perbezaan harga tidak memainkan peranan untuk perbandingan ini. Namun, ia mungkin perkara penting untuk pemain lain.

Penggunaan Watak Yang Lebih Baik

Mempunyai watak-watak Marvel sepatutnya menjadi satu kelebihan yang besar untuk Marvel’s Avengers, akan tetapi dengan watak-watak yang disediakan ia tidak membawa kelainan yang ketara serta menarik untuk membuatkan saya berminat untuk mencuba setiap watak.

Berlainan dengan Genshin Impact yang walaupun ia tidak mempunyai penceritaan kerana kebanyakan watak anda peroleh melalui sistem gacha, akan tetapi rekaan serta perbezaan antara watak-watak menjadi satu keseronokan untuk anda mencuba setiap daripadanya.

Ini ditambah lagi, pada satu masa Genshin Impact membolehkan anda membawa 4 watak pada satu masa dan boleh tukar pada bila-bila masa sahaja, memberi peluang untuk mencipta pelbagai kombo yang secara langsungkan menjadikan sesi pertempuran lebih menarik.

Manakala Marvel’s Avengers pula anda boleh guna satu watak pada satu masa, walaupun boleh membawa 2 watak lagi, akan tetapi ia akan dikawal oleh AI, ataupun bermain secara koperasi dalam talian. Oleh itu, setiap kali anda ingin menggunakan watak lain, anda perlu kembali ke tetapan dan ia agak menyusahkan.

Rekaan Dunia Yang Lebih Menarik

Marvel’s Avengers lebih memfokuskan kepada hub permainan, oleh itu, ia tidak menyertakan satu dunia terbuka yang boleh diterokai. Manakala Genshin Impact pula adalah permainan dunia terbuka, melainkan dihalang kerana penceritaan, setiap kawasan di dalam Genshin Impact boleh diterokai walaupun tanpa sebab.

Dunia juga diisi dengan pelbagai rahsia serta tekaria yang akan menjadikan pengembaraan berbaloi. Manakala Marvel’s Avengers, setiap peringkat mempunyai beberapa kawasan selain daripada kawasan misi, selain beberapa yang memerlukan tekaria kebanyakan yang lain lebih bersifat linear dan menjumpai bukan satu yang menguja kan.

Antara kritikan utama mengenai rekaan dunia di dalam Marvel’s Avengers adalah selepas satu masa ia terasa berulang. Penjahat dan lawan mungkin berbeza, rekaan persekitaran juga mungkin berlainan akan tetapi pada asasnya struktur adalah sama. Bagi Genshin Impact setiap kawasan mempunyai tarikan tersendiri, dua benua yang disediakan setiap-nya mempunyai tema berlainan iaitu satu Eropah Timur dan satu lagi China. Kelainan ini menjadikan pengembaraan di dalam Genshin Impact adalah perkara yang menguja-kan.

Kepelbagaian Aktiviti Yang Disertakan

Sebagai permainan yang memfokuskan kepada “live service” perkara yang penting adalah apakah aktiviti yang boleh dilakukan setiap kali pemain membuka permainan tersebut. Bagi Marvel’s Avengers, selepas berakhirnya kempen penceritaan, bahkan pertengahan penceritaan lagi saya merasakan yang aktiviti yang boleh dilakukan agak berulang, ia juga tidak seronok untuk dilakukan.

Manakala Genshin Impact pula secara asasnya menyertakan aktiviti yang sama sahaja, tetapi ia dibahagikan kepada beberapa jenis berbeza, ditambah lagi dengan aktiviti tersebut terdapat di dunia yang terbuka membuatkan ia adalah satu aktiviti yang berbeza dan tidak sangat terasa berulang.

Genshin Impact juga mempunyai misi utama dan sampingan yang pelbagai, setiap-nya akan disertakan dengan penceritaan tersendiri. Ada masa penceritaan adalah ringkas tetapi ia terasa lebih mendalam dengan kepelbagaian watak yang pemain akan jumpai ketika melakukannya. Misi-misi di dalam Marvel’s Avengers pula juga mempunyai penceritaan tersendiri, tetapi kebanyakan terasa seperti sekadar penjelasan mengenai misi berbanding penceritaan.

Antaramuka Peningkatan Tahap Yang Lebih Mudah

Genshin Impact dan Marvel’s Avengers berkongsi konsep yang sama untuk peningkatan tahap, ia adalah konsep yang sama digunakan oleh permainan-permainan looter atau gacha yang lain. Anda memerlukan barangan tertentu untuk meningkatkan tahap, dan barangan lain untuk meningkatkan tahap perkara-perkara lain.

Ini akan menjadikan motivasi utama untuk pemain melakukan aktiviti-aktiviti yang disertakan di dalam permainan ini. Walaupun berkongsi konsep yang sama, tetapi Genshin Impact lebih mudah untuk difahami serta dilakukan walaupun tidak semestinya lebih mudah untuk meningkatkan tahap.

Ia adalah kerana rekaan antaramuka di dalam Genshin Impact lebih mudah untuk diakses. Pada bila-bila masa sahaja saya boleh memeriksa apa yang saya kekurangan, di mana saya boleh dapatkannya dan semua ini boleh dilakukan tanpa memasuki lebih daripada 2 bahagian. Manakala sepanjang bermain Marvel’s Avengers, saya perlu memasuki pelbagai bahagian untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan.

Perkara ini sangat menjadikan pengalaman bermain yang lebih baik ataupun tidak, kerana anda akan melakukannya dengan sangat kerap. Marvel’s Avengers juga terlalu bergantung kepada hub yang membuatkan ia lebih menjengkelkan berbanding boleh akses pada bila-bila masa sahaja.

Pengalaman Multi-Pemain Lebih Berkualiti

Kedua-dua permainan menyediakan sistem “matchmaking” oleh itu sepatutnya tidak menjadi masalah jika anda ingin bermain secara koperasi tetapi tidak mempunyai rakan pada sesuatu masa. Namun, pengalaman saya bermain sesi multi-pemain di dalam Genshin Impact adalah lebih baik berbanding Marvel’s Avengers.

Pertamanya adalah walaupun saya bermain semasa minggu pelancaran agar sukar untuk mencari pemain lain untuk memenuhi satu skuad. Daripada tiga slot saya biasanya akan mendapat satu atau dua sahaja. Manakala untuk Genshin, kebanyakan masa saya tidak mempunyai masalah untuk mencari 3 pemain.

Keduanya pula adalah semasa melakukan misi, di dalam Marvel’s Avengers ia terasa sangat berseorangan melainkan bermain bersama rakan, di dalam Genshin Impact aktiviti yang disertakan sangat berdekatan yang membuatkan anda akan bekerjasama walaupun tanpa komunikasi. Saya boleh katakan jika bermain bersama rakan, Avengers lebih menarik, tetapi tidak semua pemain sentiasa mempunyai rakan untuk bermain bersama.

Ini ditambah lagi, Genshin Impact menyokong fungsi rentas platform di antara PS4, PC dan juga peranti pintar. Manakala Avengers masih terhad kepada platform tersendiri sahaja.


Marvel’s Avengers dan Genshin Impact kedua-duanya adalah permainan yang baik, tetapi selepas mencuba kedua-dua permainan tersebut saya boleh katakan yang saya lebih menyukai masa saya bermain Genshin Impact berbanding Marvel’s Avengers.

Saya masih berharap Square Enix dan Crystal Dynamics akan menambah-baik permainan mereka untuk menjadikan pengalaman bermain secara keseluruhan lebih baik.

Sohor Kini