Nickelodeon Kart Racers 2: Grand Prix merupakan sekuel kepada permainan Nickelodeon Kart Racers yang dilancarkan beberapa tahun lepas di mana kali ini, Gamemill Entertainment dan Bamtang Games membawa beberapa kelainan buat permainan perlumbaan kart ini.
Di sini, kami berpeluang untuk bermain permainan ini di konsol PlayStation 4 Pro dan ini adalah ulasan kami untuk permainan ini.

Kandungan Litar, Watak Dan Mod Yang Pelbagai Untuk Seisi Keluarga
Jika anda sendiri peminat siri kartun oleh Nickelodeon, permainan ini pasti akan memuaskan hati anda dengan jumlah kandungan yang ada seperti watak, litar dan sebagainya. Dari siri Spongebob Squarepants sehinggalah CatDogs, Invader Zim dan sebagainya, kesemua siri Nickelodeon yang terkenal tiba sama ada watak yang boleh dimainkan ataupun watak sokongan.

Permainan ini juga menyertakan pelbagai pilihan litar yang menarik dan juga bertemakan daripada pelbagai siri kartun Nickelodeon. Akan tetapi, ia tidaklah memaparkan sebarang bentuk litar yang begitu asli atas sebab asas rekaannya masih lagi berasa sama sahaja dengan permainan perlumbaan kart lain.
Menariknya, buat anda yang ingin bermain bersama keluarga ataupun rakan-rakan, versi PlayStation 4 yang saya mainkan menyokong pemain sehingga 4 pemain secara multi-pemain setempat, dengan pelbagai mod seperti mod perlumbaan dan juga mod arena yang memfokuskan bentuk pertarungan. Mod solo permainan ini juga menyertakan cabaran-cabaran menarik secara berperingkat yang mana pemain boleh lakukan untuk dapatkan pelbagai ganjaran. Dengan jumlah litar yang pelbagai di campur pelbagai mod, permainan ini semestinya menarik untuk dimainkan secara multi-pemain mahupun secara solo.

Dari segi asas perlumbaan, ia menyertakan beberapa aspek perlumbaan seperti kebanyakan siri permainan perlumbaan kart yang lain di mana pemain boleh ‘Drift’ dan mendapatkan pelbagai barangan untuk menghalang pelumba lain ataupun meningkat kelajuan pemain sendiri.
Menariknya, permainan ini juga menyertakan pelbagai watak sokongan lain yang akan membantu pemain dan juga pemain berupaya untuk mengumpul ‘lendir hijau’ klasik Nickelodean untuk melakukan sebarang kemahiran tambahan yang pemain tetapkan. Pemain juga boleh mengubah tetapan kart pemain dan juga beberapa rekaan kosmetik yang agak minima.
Tiada Suara Latar Asli Watak Membuatkan Permainan Tidak ‘Bernyawa’
Walaupun begitu, salah satu aduan terbesar saya untuk permainan ini semestinya berkenaan tiada langsung suara latar buat watak-watak kartun Nickelodeon tersebut yang mana ia membuatkan permainan ini tidak langsung bernyawa.

Semestinya perkara ini tidaklah memberi kesan terhadap bentuk permainannya, tetapi apa yang membuatkan permainan ini unik semestinya penyertaan watak daripada siri kartun Nickelodeon. Akan tetapi, jika watak-watak tidak langsung bersuara dan ketika sesi permainan, pemain tidak langsung berupaya untuk mendengar beberapa jenaka-jenaka watak tersebut, ia berasa permainan ini sangat kosong.

Ia menjadi satu tamparan yang besar di mana permainan ini masih lagi mengekalkan pelbagai rujukan jenaka daripada siri kartun Nickelodeon seperti contoh tanya manusia nyata yang sering tiba di dalam kartun Spongebob Squarepants, yang mana langsung tidak mengeluarkan sebarang bunyi mahupun kesan audio daripada siri tersebut.
Satu Permainan Perlumbaan Kart Yang Cukup Bagus, Tetapi Tiada Inovasi Baharu
Nickelodeon Kart Racers 2: Grand Prix semestinya satu permainan perlumbaan yang baik untuk sekadar permainan perlumbaan kart. Ia menyertakan pelbagai penaik-tarafan berbanding permainan sebelum dengan pelbagai kandungan dari segi watak, litar dan juga bentuk permainan. Dengan pelbagai mod, cabaran dan watak, permainan ini juga pasti akan mengisi masa pemain sama ada bermain secara solo mahupun multi-pemain bersama keluarga ataupun rakan.
Akan tetapi, jika ingin dibandingkan dengan permainan perlumbaan kart lain, permainan ini tidaklah menyertakan sebarang bentuk baharu dan saya sendiri lebih mengesyorkan anda untuk bermain permainan kart lain seperti Crash Team Racing ataupun Mario Kart 8 Deluxe yang menyertakan jumlah jam permainan yang lebih menyeronokkan, terutamanya jika anda ingin bermain secara atas-talian atas sebab saya sendiri tidak menjumpai sebarang pemain secara atas-talian.
Ditambahkan pula dengan tiada sebarang suara latar untuk watak-watak kartun daripada siri Nickelodeon ini, ia sekaligus membuatkan permainan ini tidak langsung bernyawa dan hanyalah satu permainan perlumbaan kart dengan rupa bentuk watak Nickelodeon yang kosong.
Penafian: Kod ulasan Nickelodeon Kart Racers 2: Grand Prix disediakan oleh Gamemill Entertainment.