Hujung minggu lepas, Activision mengadakan sesi beta tertutup khas untuk permainan Call Of Duty: Black Ops Cold War yang mana kami berpeluang untuk bermain mod multi-pemain permainan tersebut.
Seperti permainan Call Of Duty sebelum, bentuk multi-pemain permainan ini menyertakan beberapa mod yang pemain boleh mainkan di mana melalui beta ini antaranya adalah mod Team Deathmatch dan juga Domination.
Bentuk Multi-Pemain Yang Tipikal Tanpa Sebarang Kandungan Baharu
Setelah beberapa tahun siri Call Of Duty dilancarkan, saat ini saya berasa saya tidak lagi perlu menerangkan secara terperinci berkenaan mod multi-pemain buat siri permainan ini di mana apa yang saya boleh katakan adalah ia tidaklah begitu berbeza berbanding permainan Call Of Duty sebelum ini.

Meskipun begitu, Call Of Duty Black Ops Cold War sedikit sebanyak agak berbeza dengan Call Of Duty Modern Warfare dari segi gaya permainannya atas sebab Black Ops, berasa lebih pantas dan pemain berupaya untuk menggelongsor dengan lebih jauh dan ia sedikit sebanyak berasa agak berlebihan dan kurang taktikal seperti Modern Warfare.
Salah satu perkara yang agak mengecewakan saya juga adalah fungsi mengintip yang terdapat di dalam permainan Modern Warfare tidak lagi disertakan di dalam permainan ini. Oleh sebab itu, saya berasa mod multi-pemain Black Ops Cold War ini berasa lebih sama dengan mod multi-pemain di dalam permainan-permainan Call Of Duty seperti siri Black Ops sendiri ataupun Infinite Warfare.
Ini juga menyebabkan permainan ini berasa tipikal tanpa sebarang kandungan baharu, sekaligus membuatkan saya sendiri tidak menikmatinya. Meskipun begitu, saya perlu akui yang mana konsep sebegini juga merupakan salah satu kesukaan ramai pemain lain memandangkan ia adalah bentuk permainan yang lebih pantas. Namun pada pendapat saya sendiri, saya lebih menyukai bentuk yang lebih perlahan melalui Call Of Duty Modern Warfare tahun lepas.
Segala Kemajuan Senjata Berasa Sama Hanya Rupa Luaran Sahaja Berlainan
Kemajuan senjata merupakan perkara yang sering diketengahkan di dalam mana-mana bentuk multi-pemain permainan Call Of Duty dan kali ini, Black Ops Cold War tidaklah menyertakan sebarang perubahan besar. Kebanyakan nama-nama kelengkapan dan rupa diubahsuai atas sebab ia untuk memastikan era waktu permainan tersebut adalah tepat, tetapi dari segi fungsi, segalanya adalah sama saja.

Ini juga termasuklah dari segi aspek fungsi Gunsmith, iaitu fungsi pengubah-suaian senjata yang akan pemain terima setelah pemain menaik-taraf sesuatu peringkat senjata di mana jika pemain sering bermain dan membunuh pemain lain, pemain akan tingkatkan peringkat Gunsmith dengan lebih pantas. Dari segi perbezaan lain, tidak banyak yang saya boleh katakan.
Satu Permainan Multi-Pemain Menembak Untuk Peminat
Apa yang saya boleh katakan, bentuk multi-pemain Call Of Duty Black Ops Cold War ini semestinya adalah satu permainan multi-pemain menembak untuk peminat siri tersebut. Kebanyakan elemen bentuk permainan yang disediakan, ia berasa sama sahaja dengan siri sebelum ini bahkan ia seakan satu salinan sahaja.
Untuk menyatakan ia adalah satu pengalaman yang tidak seronok pada saya, ia mungkin agak berlebihan atas sebab asas permainan penembak Call Of Duty masih lagi satu permainan penembak yang baik. Namun untuk tidak menyertakan sebarang bentuk baharu dan hanya berulangan setiap tahun, bahkan membuang beberapa aspek yang saya suka pada permainan tahun lepas, bentuk multi-pemain Call Of Duty Black Ops Cold War pada pendapat saya berasa sedikit hambar.

Bagi anda yang berminat, sesi beta seterusnya akan berlangsung pada 15 hingga 19 Oktober di mana untuk akses awal di konsol Xbox One dan PC, ia akan bermula 15 hingga 16 Oktober. Manakala untuk akses terbuka untuk semua, ia akan bermula pada 17 hingga 19 Oktober ini.
Call Of Duty: Black Ops Cold War akan tiba di konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC melalui Battle.net pada 13 November 2020 ini. Activision juga mengesahkan permainan ini turut akan tiba di konsol generasi seterusnya iaitu PlayStation 5 dan Xbox Series S.
Penafian: Kod percubaan Beta Call Of Duty Black Ops Cold War disediakan oleh Activision.