BBC hari ini mengumumkan dua permainan baharu berdasarkan siri TV Doctor Who kini di dalam pembangunan. Menurut mereka, kedua-dua permainan tersebut akan dilancarkan sekitar suku kedua tahun hadapan di PC, konsol dan juga peranti telefon pintar.
Permainan pertama yang diumumkan adalah Doctor Who: The Lonely Assassins di mana ia dibangunkan oleh Kaigan Games, iaitu pembangun tempatan yang terkenal dengan siri Simulacra.
Dengan bentuk seakan yang sama iaitu bentuk pengembaraan melalui telefon pintar, permainan ini akan dilancarkan di iOS, Android dan juga di konsol Switch.
Menurut BBC, The Lonely Assassins akan memfokuskan pemain untuk menyelesaikan misteri di mana pemain akan ‘menemui’ satu telefon pintar yang akan menyertakan pelbagai bahan bukti. Permainan ini akan bertempatkan di Wester Drumlins di mana ia memfokuskan saat episod Blink.
Permainan ini juga akan menyertakan beberapa watak-watak daripada siri tersebut dan bagi peminat siri permainan seram genre telefon hilang seperti Simulacra, pasti akan menyukai permainan ini.
Permainan kedua iaitu Doctor Who: The Edge Of Reality pula merupakan permainan olahan semula yang dilancarkan tahun lepas iaitu Doctor Who: The Edge Of Time. Menurut BBC, permainan ini akan tiba di PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC pada tahun hadapan.
Permainan ini dibangunkan oleh Maze Theory dan ia akan menyertakan pelbagai kandungan baharu dan bentuk permainan baharu berdasarkan permainan yang dilancarkan sebelum ini. Bentuk permainan realiti-maya sebelum ini juga ditukarkan kepada bentuk pandangan pertama dan pemain juga akan temui pelbagai watak daripada siri tersebut termasuklah raksasa klasik seperti Daleks dan Weeping Angels.
Bagi anda yang meminati siri Doctor Who, semestinya pengumuman permainan ini adalah satu pengumuman yang dinantikan terutamanya anda yang terlepas dengan permainan Doctor Who: The Edge Of Time sebelum ini. Tambahan itu dengan terlibatnya pembangun tempatan untuk permainan seterusnya Doctor Who, ia semestinya adalah satu kejayaan besar buat Kaigan Games dan kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya buat mereka.