Arc System Works hujung minggu lepas akhirnya mengumumkan tarikh pelancaran buat permainan Guilty Gear Strive di mana ia akan dilancarkan pada 9 April 2021 ini.

Menurut mereka, permainan tersebut akan tiba di konsol PlayStation 4, PlayStation 5 dan juga di PC melalui Steam. Bersempena dengan pengumuman ini, mereka juga berkongsi satu video acah baharu yang anda boleh tonton di bawah.

Pada masa yang sama, Arc System Works juga mengumumkan watak baharu yang akan sertai barisan watak yang boleh dimainkan di dalam permainan ini iaitu Giovanna.

Giovanna merupakan watak baharu khas yang tiba buat pertama kali melalui eprmainan ini di mana beliau bertempur dengan menggunakan tendangan dan juga kelihatan beliau mempunyai satu semangat berbentuk serigala.

Dengan pengumuman ini, Arc System Works juga mengesahkan akan terdapat 15 watak yang boleh dimainkan untuk asas permainan ini di mana dua lagi watak akan diumumkan kemudian bermula dengan watak Mito Anji yang akan diperlihatkan Januari ini.

Setakat ini watak yang disahkan adalah Sol Badguy, Ky Kiske, May, Axl Low, Faust, Chipp Zanuff, Potemkin, MIllia Rage, Zato-1, Ramlethal Valentine, Leo Whitefang, Nagoriyuki, Giovanna dan Mito Anji. Selain itu, Arc System Works juga mengesahkan akan terdapat pas musim khas yang akan menyertakan 5 lagi watak tambahan.

Dengan pengumuman ini, Arc System Works juga menyatakan akan terdapat tiga edisi permainan yang akan dilancarkan iaitu edisi biasa, edisi Deluxe dan edisi Ultimate. Melalui edisi Deluxe dan Ultimate, pemain berupaya untuk bermain 3 hari lebih awal iaitu 6 April 2021 dan kedua-dua edisi tersebut juga akan sertakan pas musim secara bersama. Selain itu edisi Ultimate juga akn sertakan kandungan khas digital karya seni permainan dan muzik latar.

Guilty Gear Strive adalah permainan perlawanan berdasarkan siri Guilty Gear yang mana ianya memfokuskan bentuk pertempuran yang menggunakan senjata dengan pelbagai watak menarik. Seperti yang kami laporkan sebelum ini, permainan ini juga akan diterbitkan oleh Bandai Namco buat pasaran Malaysia.

Sohor Kini