Ulasan Mini – Mafia: Definitive Edition

Mafia: Definitive Editon adalah percubaan 2K Games untuk membawa kembali permainan Mafia yang dikeluarkan lebih 18 tahun yang lepas. Ia dibangunkan oleh Hangar 13 dan dikeluarkan pada 25 September lepas untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.

Secara keseluruhannya, Mafia: Definitive Edition sudah pastinya satu permainan yang membawa rekaan grafik bersesuaian dengan zaman terkini, akan tetapi pembaharuan tersebut secara jelasnya hanya nampak kepada grafik manakala bentuk permainan kekal terasa ketinggalan zaman.

Penceritaan Mafia Yang Menarik

Penceritaan di dalam Mafia tidaklah dapat menandingi filem-filem oleh Francis Ford Copella ataupun Martin Scorsese, namun ia mempunyai tarikan yang tersendiri di samping banyak mengambil inspirasi daripada filem-filem oleh dua pengarah terkenal tersebut.

Ia adalah mengenai Thomas “Tommy” Angelo yang asalnya merupakan pemandu teksi, akan tetapi secara tidak sengaja terlibat dengan keluarga mafia yang diketuai oleh Don Salieri. Penceritaan ringkas ini mempunyai pelbagai cabang penceritaan berlain yang menjadikan ia menarik. Kelancaran penceritaan juga dilakukan dengan baik, walaupun ia mempunyai lompatan masa yang kerap.

Penceritaan akan menyentuh pelbagai aspek antaranya kekeluargaan, kesetiaan dan juga pelbagai isu politik lama di Amerika Syarikat. Bagi yang sudah biasa dengan filem-filem ataupun permainan genre sama, ia mungkin tidak membawa sesuatu yang baharu akan tetapi sepanjang 11 hingga 12 jam bermain saya sangat menyukainya dan masih lagi tertarik walaupun sudah mengetahui segala plot yang disediakan.

Peningkatan Kualiti Grafik Yang Harus Dipuji

Selain penceritaan menarik, Mafia: Definitive Edition juga telah menyertakan peningkatan kualiti grafik yang harus dipuji. Setiap rekaan tidak kira watak, kereta, bandar ataupun persekitaran diberi sentuhan semula yang sangat teliti.

Setiap-setiap adegan kini lebih menarik untuk ditonton, ia membantu untuk menjadikan penceritaan di dalam permainan ini lebih segar. Ada masa ia sehinggakan membuatkan saya mengatakan permainan ini mempunyai ray-tracing dengan segala pantulan yang disertakan.

Ini ditambah lagi dengan rekaan rauk wajah yang lebih realistik ditambah lagi dengan prestasi pelakon suara yang sangat baik walaupun senarai pelakon baharu, ia memberi nafas yang segar kepada keseluruhan penceritaan di dalam permainan ini.

Dengan segala peningkatan ini, ia menjadikan kualiti yang disampaikan oleh Mafia: Definitve Edition mengatasi apa yang disampaikan Mafia 3.

Walaupun begitu, ia tidaklah sempurna. Ada beberapa ketika yang animasi terasa kaku, pergerakan nampak tidak realistik dan jika diperhatikan dengan dengan mendalam ada banyak tekstur yang tidak dimuat dengan baik, tetapi dengan silauan kualiti grafik yang jauh lebih baik berbanding permainan asal, ia tidak sangat mengganggu pengalaman saya bermain.

Dunia Terbuka Yang Terbazir

Suatu ketika dahulu, dapat memandu kereta untuk menuju dari satu tempat ke satu tempat sudah mencukupi memberi perasaan permainan dunia terbuka, akan tetapi zaman itu sudah lama ditinggalkan. Namun, Mafia: Definitive Edition masih mengekalkan perkara tersebut dan ia merupakan satu pembaziran.

Walaupun menyertakan satu rekaan bandar yang terbuka, dan pemain boleh menjelajah setiap tempat akan tetapi pada asasnya ia adalah satu permainan yang linear. Anda akan melakukan satu misi ke satu misi yang lain, dan kebiasaan akan bermula dengan perlu memandu kereta dari satu tempat ke tempat lain tanpa sebarang tambahan di antaranya.

Ia menyertakan misi yang pelbagai dan tidak terlalu berharapkan kepada pertempuran memberi sesi permainan yang baik. Dengan keseluruhan permainan tidak terlalu panjang, ia juga tidak memberi perasaan memenatkan untuk dihabiskan tetapi pemanduan yang kosong di-antaranya tidak mengambil masa yang lama untuk terasa bosan.

Saya merasakan adalah lebih baik jika permainan ini diubah untuk memberikan penceritaan seperti permainan-permainan linear yang lain seperti Uncharted, tanpa pembaziran dengan pengisian yang kosong di antaranya.

Kawalan juga terasa sedikit janggal, terutama melee, ia menggunakan butang TAB di PC berbanding butang yang sama untuk menembak, jika anda ingin menukarnya, butang menembak juga perlu dipindahkan. Ia adalah pelik kerana menembak dan melee tidak boleh dilakukan serentak. Saya juga dapati permainan ini tidak dapat mengesan butang tambahan di tetikus.

Bercakap mengenai menembak, ia sedikit sensitif pada awalnya, tetapi anda boleh mengubahnya mengikut citarasa tersendiri. Secara amnya ia tidak bermasalah walaupun ada masa, sasaran sedikit lari berbanding apa yang diperlihatkan.

Selain mencari kad koleksi, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Anda diberikan mod untuk mengembara di dalam dunia ini tanpa misi, anda juga boleh mencuba pelbagai jenis kenderaan yang disertakan di dalamnya. Mereka mengatakan sistem pemanduan sudah dipertingkatkan akan tetapi saya masih tidak menyukainya dan terasa terlalu pelik.

Ini secara langsungnya tidak memberi sebarang motivasi ataupun alasan untuk saya terus bermain selepas selesainya penceritaan utama. Saya boleh katakan, dengan kualiti grafik yang dipertingkatkan dengan baik tetapi mengekalkan bentuk permainan yang ketinggalan ia bagaikan solekan yang tidak dapat menyorok umur.

Oleh kerana itu dengan harga RM129 di Steam, ataupun RM179 di PS Store, ia adalah satu harga yang agak mahal untuk pengalaman terhad yang diberikan. Namun, saya mengesyorkan anda untuk membeli Mafia Trilogy dengan harga RM199 di Steam ataupun RM269 di PS Store, yang bagi saya memberi nilai yang lebih berbaloi.

Mafia: Definitive Edition
Harga: RM129
Penghasilan semula untuk satu permainan klasik Mafia yang dikeluarkan lebih 18 tahun yang lalu.
Positif
Kualiti Grafik Yang Sangat Baik
Penceritaan Yang Menarik
Negatif
Permainan Dunia Terbuka Yang Kosong
Pemanduan Pelik Dan Membosankan
7

Sohor Kini