5 Sebab Mengapa Saya Pra-Tempah Xbox Series X

Lebih kurang sebulan lagi, kita memasuki era generasi baharu konsol. Xbox Series akan dikeluarkan pada 10 November, manakala PlayStation 5 pula 12 November di beberapa negara dan juga 19 November secara global. Berbanding peralihan generasi-generasi sebelum ini, generasi kali ini membawa satu perubahan yang lebih ketara dan ia juga menjadi makin menarik untuk diikuti.

Satu-satunya konsol yang saya miliki sebelum ini adalah PlayStation, bermula dengan PSOne, sehinggalah PS4 Pro. Konsol Nintendo pula, Switch adalah konsol pertama manakala Xbox pula saya tidak pernah berpengalaman memiliki mana-mana konsol mereka.

Namun, bagi generasi yang ke-9 ini, Xbox Series X menjadi konsol pertama yang saya pra-tempah dan jika tidak mempunyai sebarang masalah ia akan menjadi konsol generasi terbaru yang pertama saya miliki dan dapat mengalaminya, apabila ia tiba November ini.

Xbox Game Pass

Sejak Xbox Game Pass for PC dilancarkan secara beta pada bulan Jun tahun lepas, saya melanggannya sehingga kini. Beberapa permainan yang saya ulas sebelum ini juga saya bermain menggunakannya, antaranya adalah Ori and the Will of the Wisps, Gears Tactics, Minecraft Dungeons dan Yakuza Kiwami 2.

Terdapat pelbagai lagi permainan lain yang saya main adalah daripada Xbox Game Pass dengan kata lain, bagi saya ia adalah sesuatu yang sangat berbaloi untuk dilanggan. Apabila ia dikeluarkan secara penuh pada bulan lepas, harganya meningkat dan menjadi tidak jauh berbeza dengan Xbox Game Pass Ultimate, yang menawarkan lebih banyak kelebihan akan tetapi jika anda juga memiliki konsol Xbox.

Oleh itu, saya merasakan dengan memiliki konsol Xbox, saya akan dapat lebihan nilai melalui langganan Xbox Game Pass Ultimate. Xbox Game Pass juga dapat membantu saya untuk mendapat permainan buat Xbox Series X, kerana saya tidak mempunyai perpustakaan tersedia untuk konsol Xbox.

Langganan Xbox Game Pass Ultimate adalah $14.99 mengikut harga Amerika Syarikat, akan tetapi oleh kerana Malaysia tidak disokong secara rasmi, saya memilih pasaran yang menawarkan dengan harga lebih renda, dan saya boleh mendapat lebih kurang RM40 untuk sebulan. Menjadikan ia jauh lebih berbaloi.

Permainan Eksklusif

Xbox Game Studios terus menjadi studio penerbitan yang berkembang pesat apabila Microsoft telah melakukan pelbagai pengambil-alihan, termasuk juga yang terbaru dan juga yang terbesar ZeniMax Media. Walaupun buat masa ini, mereka tidak lagi mengesahkan sama ada permainan akan dikeluarkan secara eksklusif, tetapi saya boleh katakan beberapa permainan terutama yang mercu sudah semestinya akan jadi eksklusif.

Sedikit mengecewakan tiada permainan yang akan dikeluarkan oleh mereka semasa pelancaran konsol kelak, selepas Halo Infinite tertunda ke tahun hadapan. Namun, sesuatu yang pasti, dalam masa setahun selepas konsol dilancarkan kita akan menerima pelbagai permainan menarik oleh mereka. Saya sudah semestinya ternanti-nanti permainan seterusnya oleh Bethesda, Ninja Theory dan Obsidian.

Berbalik kepada Xbox Game Pass, dengan adanya langganan tersebut, saya tidak lagi perlu membeli sebarang permainan yang dikeluarkan oleh mereka kerana Microsoft telah menjanjikan kesemua permainan yang diterbitkan oleh Xbox Game Studios akan disertakan sebagai Xbox Game Pass pada hari pertama pelancaran.

Benar, permainan eksklusif untuk Xbox Series juga akan dikeluarkan untuk PC, namun saya akan lebih gemari untuk bermain-nya di Xbox Series X kerana sebab yang seterusnya..

Spesifikasi Lebih Berkuasa

Berbanding spesifikasi PC yang saya ada sekarang, saya boleh katakan Xbox Series X adalah lebih berkuasa, walaupun saya boleh melakukan naik taraf, saya mengambil kira yang membeli Xbox Series X adalah lebih jimat berbanding naik taraf PC, tambahan saya lebih menyukai antaramuka konsol berbanding di PC.

Selain itu, di atas kertas, Xbox Series X juga lebih berkuasa jika ingin dibandingkan dengan PlayStation 5. Kedua-dua konsol tampaknya akan menyasarkan 4K/30FPS untuk kebanyakan permainan dan secara teknikalnya Xbox Series X akan mempunyai kualiti sedikit lebih baik berbanding PS5. Oleh kerana itu, saya merancang untuk menjadikan Xbox Series X sebagai konsol utama untuk memainkan permainan yang dikeluarkan di kedua-dua konsol.

Namun, ia masih lagi bergantung kepada pengalaman keseluruhan, yang hanya dapat diketahui apabila kedua-dua konsol dikeluarkan secara rasmi kelak.

Xbox Play Anywhere

Fungsi berikutnya yang menarik minta saya mengenai Xbox adalah, Xbox Play Anywhere iaitu permainan yang dibeli di PC ataupun di Xbox, boleh dimainkan di kedua-dua platform tersebut dengan satu pembelian sahaja. Tambah menarik, ia juga akan menggunakan fail simpanan yang sama. Dengan kata lain, jika ada masa saya tidak mempunyai akses kepada Xbox Series X, saya boleh lagi meneruskan sesi permainan di PC ataupun laptop.

Setakat ini terdapat hampir 80 permainan yang menyokong fungsi ini dan saya pasti jumlah tersebut akan terus bertambah dari semasa ke semasa. Namun, walaupun permainan yang tidak menyokong Xbox Play Anywhere secara rasmi, sesetengah permainan juga masih menyokong rentas-simpanan, termasuk juga permainan-permainan yang ditawarkan melalui Xbox Game Pass. Dengan kata lain, hadirnya fungsi sebegini, ia akan memberi satu ekosistem yang baik untuk pemilik konsol Xbox dan juga PC.

Ketidakpastian Jumlah Stok

Pengalaman saya sebelum ini untuk pembelian konsol, saya membelinya lewat. Contohnya PS3, saya membelinya 4 tahun selepas ia dikeluarkan, manakala PS4 pula setahun dua selepas dikeluarkan begitu juga dengan PS4 Pro.

Berbeza untuk konsol generasi ke-9 ini, seperti yang saya katakan di atas, ia adalah peralihan yang lebih menarik dan saya inginkan sekurang-kurangnya salah satu konsol terbaru apabila ia dikeluarkan pada bulan November ini.

Buat masa ini, kita masih tidak pasti dengan pelancaran PlayStation 5 di Malaysia, jika ia dilancarkan-pun, masih tidak pasti jumlah stok, adakah ia mencukupi ataupun sempat untuk saya dapatkannya.

Oleh itu, apabila saya mendapat peluang untuk pra-tempah Xbox Series X, saya terus mengambil peluang tersebut. Oleh kerana itu saya kini tidak perlu terkejar-terkejar untuk dapatkan PS5, dan mungkin akan menunggu untuk ia dikeluarkan dengan lebih meluas. Namun, jika diberi peluang saya sudah semestinya masih berminat untuk mendapatkan konsol oleh Sony tersebut.

Buat masa ini, satu yang pasti adalah saya akan merasai pengalaman bermain konsol generasi baharu melalui platform Xbox Series X.


Di atas adalah antara sebab-sebab yang membuatkan saya mengambil keputusan untuk pra-tempah Xbox Series X, walaupun perancangan awal saya adalah untuk membeli PS5 terlebih dahulu pada tahun ini, dan mendapatkan Xbox pada tahun hadapan. Namun, sebagai peringatan ia bukanlah sebab mengapa saya memilih Xbox Series X berbanding PlayStation 5.

Seperti yang saya katakan di Pilihan Aksiz, PlayStation 5 Digital Edition masih lagi pilihan utama saya.

Sohor Kini