Skip to main content

Sony hari ini mengumumkan yang mana mereka akan mengemaskini sistem trofi buat konsol PlayStation dengan sistem yang lebih mudah bersama beberapa peningkatan.

Bagi anda yang tidak mengetahui berkenaan sistem trofi di konsol PlayStation, ia mula diperkenalkan ketika era konsol PlayStation 3 yang mana ia merupakan satu tanda kejayaan jika pemain melakukan beberapa objektif mengikut permainan.

Trofi-trofi tersebut terbahagi kepada 4 trofi utama iaitu Gangsa, Perak, Emas dan Platinum. Setelah pemain mengumpul trofi, pemain juga akan dikirakan peringkat tahap pemain berdasarkan jumlah trofi yang telah pemain kumpul.

Melalui kemaskini ini, Sony kini melakukan satu pengiraan baharu buat jumlah trofi di mana setiap jenis trofi akan mempunyai beberapa jumlah peringkat yang lebih tinggi. Ini bermakna, sebelum ini peringkat trofi adalah di antara 1 hingga 100 sahaja namun kini, ia menjadi 1 hingga 999. Contohnya, jika sebelum ini peringkat profil anda adalah 12, anda kini akan ke peringkat 200. Seperti sebelum ini, dengan peningkatan trofi yang dikumpul, peringkat anda juga akan dinaikkan.

Selain itu, Sony juga mengemaskini ikon trofi-trofi tersebut dengan ikon baharu, tetapi rekaan baharu tersebut hanya boleh dilihat melalui konsol PlayStation 5 dan aplikasi telefon pintar PlayStation App yang akan dikemaskini kemudian.

Sony juga kelihatan akan menyertakan fungsi pengesan trofi yang mana pemain boleh melihat berapa jumlah yang pemain perlukan untuk mendapat sesuatu trofi tersebut melalui konsol PlayStation 5. Namun kenyataan ini hanya dikongsikan di emel Sony dan tidak melalui laman rasmi Blog PlayStation.

Menurut kenyataan rasmi blog PlayStation, kemaskini ini akan bermula hari ini buat pemain seluruh pemain di mana jika anda log masuk akaun anda hari ini, anda boleh lihat jumlah peringkat anda akan lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Selain itu, anda juga boleh melihat peringkat trofi anda melalui laman sosial My PlayStation. Sony juga mengesahkan sistem trofi ini akan di bawa ke konsol PlayStation 5 dan akan selari antara semua konsol-konsol mengikut profil seperti mana PlayStation 3 dan PlayStation 4 lepas.

Leave a Reply