Ubisoft hari ini telah melakukan pengumuman lanjut mengenai permainan Watch Dogs: Legion yang akan dikeluarkan pada 29 Oktober 2020 untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC. Antara yang diperlihatkan adalah video acah baharu yang memfokuskan penceritaan.

Berdasarkan video acah tersebut, diperlihatkan yang satu kumpulan pengganas iaitu Zero-Day telah meletupkan beberapa bahagian di London. Kumpulan DeadSec yang cuba menghalang Zero-Day telah dituduh oleh pihak berkuasa melakukan pengeboman tersebut. Di dalam kekacauan ini, organisasi jahat lain mengambil kesempatan.

Selain itu, mereka juga melakukan pengumuman untuk kandungan pasca-pelancaran. Antaranya adalah Watch Dogs: Legion Online yang akan tiba pada 3 Disember 2020 sebagai kemaskini percuma. Melaluinya pemain boleh mengembara di bandar bersama rakan sehingga 4 pemain, termasuk juga melakukan misi yang khusus direka untuk mod koperasi. Terdapat juga mod PvP seperti Spider-bot Arena dan Invasion.

Seterusnya adalah kandungan tambahan yang akan tiba secara percuma iaitu watak dengan kebolehan baharu, tambahan misi dan juga mod New Game+. Manakala untuk DLC pertama pula iaitu Bloodlines, ia akan menyertakan penceritaan tambahan bersama dengan watak-watak khusus seperti Aiden Pearce dari Watch Dogs pertama, Wrench dari Watch Dogs 2, Darcy iaitu ahli kepada Assassin Order (rentas siri Assassin’s Creed) dan Mina yang mempunyai kebolehan mengawal minda.

DLC Bloodlines adalah sebahagian daripada pas semusim untuk Watch Dogs: Legion yang akan turut menyertakan Watch Dogs Complete Edition. Buat masa ini masih tiada tarikh pelancaran untuknya.

Watch Dogs: Legion akan turut dikeluarkan untuk PlayStation 5 dan Xbox Series apabila konsol tersebut dilancarkan. Pemain yang memiliki versi PS4 dan Xbox One akan menerima naik taraf percuma.

Sohor Kini