Crash Bandicoot semestinya salah satu permainan platformer kesukaan ramai di mana ia mula diperkenalkan ketika tahun 1996 dan boleh dikatakan salah satu permainan platformer 3 dimensi terbaik ketika itu.

Dengan pelancaran permainan pernambah-baikkan beberapa tahun lepas, siri ini kembali mendapat perhatian ramai dan kami berpeluang untuk mengulaskan permainan terkini buat siri tersebut iaitu Crash Bandicoot 4: It’s About Time.

Penceritaan Yang Ringkas, Tetapi Padat

Crash Bandicoot 4: It’s About Time merupakan sekuel terus kepada Crash Bandicoot 3: Warped, di mana ia memfokuskan adik-beradik Bandicoot iaitu Crash dan Coco selepas mereka menumpaskan Dr. Neo Cortex.

Kali ini, Dr. Neo Cortex bekerjasama bersama Dr. Nefarious Tropy di mana mereka cuba untuk memusnahkan Crash dengan membuka satu ruangan pelbagai dimensi dan sekali lagi ingin menakluk dunia.

Atas sebab pelbagai dimensi yang terbuka, seperti biasa Crash, Coco dan Aku Aku perlu menyelamatkan dunia dan di dalam pengembaraan mereka, mereka bertemu pelbagai watak-watak daripada siri permainan sebelum ini termasuklah watak Tawna dari dimensi berlainan yang agak berbeza dengan rupa asal beliau sebelum ini.

Asasnya, penceritaan permainan ini semestinya agak ringkas dengan elemen plot yang boleh diagak dengan beberapa penceritaan yang agak tipikal. Meskipun begitu, sebagai satu permainan, ia masih lagi berasa padat dengan penceritaan yang agak panjang sekitar 8 hingga 10 jam jika anda bermain secara pantas.

Saya juga menyukai beberapa elemen-elemen nostalgia yang disertakan termasuklah beberapa watak yang kembali menyerikan lagi keseluhan permainan, terutamanya jika anda yang meminati siri ini.

Kesan Visual Menawan Bersama Audio Yang Baik

Jika ingin dibandingkan dengan kualiti permainan olahan semula Crash Bandicoot N.Sane Trilogy yang dilancarkan sebelum ini, permainan ini semestinya mempunyai visual yang lebih menawan. Tetapi secara luarannya, ia tidaklah terlalu berbeza dengan permainan tersebut.

Bentuk model 3 dimensi watak-watak utama seperti Crash dan Coco menerima beberapa perubahan kecil, namun ia tidaklah terlalu berbeza dengan rekaan asal sebelum ini. Segala rekaan pentas dan dunia permainan tersebut, kesemuanya kelihatan seperti mana yang anda jangkakan jika anda pernah bermain permainan olahan semula sebelum ini.

Namun, jika ingin dibandingkan dengan permainan sebelum ini yang asalnya dilancarkan di era PlayStation 1, semestinya visual permainan ini adalah lebih menawan bukan sahaja rekaan moden yang cantik, malah kepelbagaian rekaan pentas yang sangat terperinci dan pelbagai yang terdiri daripada pelbagai jenis keadaan seperti lokasi hutan, payau dan juga bersalji.

Perkara yang saya harus puji semestinya arah seni permainan ini di mana ia mengekalkan elemen permainan asal apa yang membuatkan siri Crash Bandicoot ini menarik, disamping menyertakan beberapa arah baharu yang bukan sahaja mengembangkan siri tersebut, malah menjadikan ia sebagai satu ikon buat permainan platformer 3 dimensi.

Kesan audio juga dihasilkan dengan begitu baik sekali, seperti mana yang saya katakan di atas berkenaan arah seninya yang dikekalkan daripada permainan asal, sekaligus membuatkan permainan ini menjadi satu sekuel permainan Crash Bandicoot yang lengkap. Saya juga menyukai elemen suara latar permainan ini yang sangat baik sekali dilakonkan oleh para pelakon.

Bentuk Permainan Yang Mencabar, Tetapi Adil

Jika anda pernah bermain siri permainan Crash Bandicoot sebelum ini, Crash Bandicoot 4: It’s About Time pasti akan menjadi satu kebiasaan untuk anda di mana pemain akan mengembara di dalam dunia platformer secara berperingkat dan menyelesaikan beberapa tekaria dan juga bertembung dengan musuh.

Melalui permainan ini, pemain berupaya untuk bermain sebagai Crash ataupun Coco yang mana kedua-dua mereka mempunyai bentuk permainan yang sama sahaja dari segi serangan, lompatan dan sebagainya. Namun setelah pemain maju di dalam permainan ini, pemain juga akan berupaya untuk bermain sebagai beberapa watak lain di mana antaranya adalah Tawna dan Dingodile.

Bagi kedua-dua watak yang saya nyatakan di atas, kawalan mereka adalah berlainan daripada kawalan Crash dan Coco dan melaluinya anda hanya akan bermain untuk sesetengah peringkat sahaja. Salah satu kelainan adalah seperti contoh watak Tawna berupaya untuk menggunakan cakuk untuk melompat dan terbang ke arah platform dengan lebih senang manakala Dingodile pula mempunyai senjata vakum khas yang berupaya untuk menghisap dan menghembus bom.

Menariknya, kebanyakan peringkat watak permainan tersebut juga akan menyertakan beberapa aspek penceritaan sebaliknya di mana permainan ini akan melihat keadaan watak tersebut ketika Crash ataupun Coco sedang bertempur dengan musuh lain.

Dari segi aspek bentuk permainan baharu, Crash Bandicoot 4: It’s About Time menyertakan beberapa elemen baharu seperti keupayaan untuk lari di dinding. Namun fungsi ini adalah terhad di lokasi yang mempunyai dinding beranak panah sahaja.

Manakala fungsi baharu kedua adalah kuasa khas topeng Kuantum, di mana secara keseluruhan permainan ini mempunyai empat jenis topeng yang boleh digunakan. Namun, untuk menggunakan topeng tersebut ia adalah terhad mengikut peringkat permainan sahaja di mana pemain tidak boleh menggunanya sesuka hati. Oleh sebab itu, ia berasa agak mengecewakan memandangkan apa yang membuatkan permainan ini berbeza dengan siri sebelum ini adalah kuasa topeng tersebut.

Meskipun begitu, kuasa-kuasa tersebut terdiri daripada empat kuasa berbeza di mana topeng pertama, Lani-Loli berupaya untuk menghilangkan beberapa platform dan barangan di pentas, topeng kedua Akano membenarkan pemain untuk memusing dan terbang, Kupuna-Wa pula membenarkan pemian untuk memperlahankan masa dan akhir sekali Ika-Ika membenarkan pemain untuk mengubah arah gravity dari bawah ke atas dan sebaliknya.

Keempat-empat kuasa ini semestinya membawa kelainan untuk rekaan setiap peringkat platformer permainan ini atas sebab pemain bukan sahaja perlu bijak menggunakannya, malah bijak mengawal dan menggunakannya tepat pada masa atas sebab terdapat beberapa halangan yang pasti akan menumpaskan pemain.

Dari segi aspek yang lain, kebanyakan bentuk permainan Crash Bandicoot 4: It’s About Time adalah sama sahaja di mana pemain berupaya untuk mengutip buat Wumpa, mengutip berlian tersembunyi, mengumpul berlian dan beberapa peringkat permainan yang memerlukan pemain untuk menaiki kenderaan seperti papan luncur air ataupun haiwan.

Pemain juga akan bertempur dengan pelbagai jenis ketua musuh daripada siri sebelum ini namun dalam bentuk pertempuran baharu. Namun pada pendapat saya, pertempuran bersama ketua musuh tersebut adalah sangat senang berbanding dengan peringkat permainan biasa permainan ini.

Meskipun begitu, apa yang membuatkan permainan ini seronok selain daripada bentuk permainan semestinya adalah kandungan yang akan saya terangkan di bawah.

Kandungan Yang Pelbagai Dengan Jumlah Peringkat Yang Banyak

Salah satu perkara yang saya amat berpuas hati berkenaan permainan ini adalah jumlah peringkat yang disediakan. Dari lokasi bandar terbiar sehinggalah gunung bersalji, Crash Bandicoot 4: It’s About Time semestinya akan mengisi masa lapang anda berjam-jam untuk melengkapkan dan mendapat kesemua berlian peringkat permainan.

Menariknya, setelah pemain tamat bermain sesuatu peringkat, pemain juga boleh bermain semula peringkat permainan tersebut dengan peringkat terbalik di mana peringkat permainan tersebut bukan sahaja tidak akan mempunyai warna, malah ia juga mempunyai rekaan pentas yang terbalik. Melalui bentuk ini, ia sedikit sebanyak mengubah keseluruhan pengalaman permainan dan pada masa yang sama membuka ruangan yang lebih meluas untuk pemain lengkapkan pelbagai objektif tambahan.

Dicampur juga dengan peringkat permainan sedia ada bersama pelbagai peringkat bonus tambahan lain di dalam setiap lokasi permainan, Crash Bandicoot boleh dikatakan satu permainan penuh yang pelbagai dan meluas, buat mereka yang meminati genre permainan ini.

Pada masa yang sama, ganjaran-ganjaran yang tersedia juga akan membenarkan pemain menyah-kunci pelbagai kostum-kostum menarik buat watak Crash dan Coco. Kebanyakan kostum direka dengan baik sekali dan sangat unik, terutamanya anda yang mengikuti siri ini. Namun, kostum tersebut hanyalah sekadar perhiasan kosmetik sahaja dan tidaklah mengubah sebarang bentuk permainan.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan bentuk multi-pemain yang memfokuskan pemain untuk berkongsi satu alat kawalan antara pemain lain secara berperingkat di mana pemain perlu menyelesaikan peringkat permainan secara turutan. Konsep ini tidaklah membawa satu pengalaman permainan yang luar biasa, namun penyertaan adalah sesuatu yang dialu-alukan buat mereka yang ingin bermain siri permainan Crash Bandicoot bersama rakan-rakan.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh simpulkan, Crash Bandicoot 4: It’s About Time semestinya adalah satu sekuel yang sangat baik untuk siri Crash Bandicoot bukan sahaja atas sebab bentuk permainannya yang sangat mencabar dengan pelbagai elemen asal siri permainan tersebut, malah pelbagai kandungan permainan termasuklah sejumlah peringkat permainan yang sangat banyak.

Permainan ini semestinya adalah satu susulan yang sangat menakjubkan untuk siri Crash Bandicoot dan satu jawapan dari Activision yang mana Crash Bandicoot masih lagi mengekalkan takhtanya sebagai salah satu permainan platformer 3 dimensi yang baik di konsol.

Walaupun aspek penceritaannya agak tipikal tanpa sebarang naratif yang menarik, namun dengan penyertaan pelbagai watak daripada permainan sebelum ia sedikit sebanyak masih lagi membawa pengalaman nostalgia buat saya sendiri dan semestinya satu penyambungan terus yang bagus selepas permainan Crash Bandicoot N.Sane Trilogy.

Penafian: Kod ulasan Crash Bandicoot 4: It’s About Time disediakan oleh Activision.

Crash Bandicoot 4: It's About Time
Harga: RM249
Satu permainan yang sangat mencabar dengan kandungan yang pelbagai, terutamanya buat peminat siri Crash Bandicoot.
Cerita
8
Bentuk
9
Grafik & Audio
9
Kandungan
10
Positif
Kandungan Pelbagai
Jumlah Main Yang Banyak
Negatif
Penceritaan Ringkas
9

Sohor Kini