EA dan Respawn Entertainment telah mengumumkan acara baharu yang akan tiba untuk permainan battle royale Apex Legends. Acara tersebut dinamakan sebagai Aftermarket Collection Event yang akan bermula pada 6 Oktober ini. Anda boleh tonton video pengumuman di bawah.
Bersama dengan acara ini, mod permainan terhad Flashpoint tiba untuk memberi sesuatu yang berlainan kepada pemain. Melalui mod ini, barangan healing tidak akan hadir sebaliknya pemain perlu mencari Flash Point yang terdapat di peta untuk menyembuhkan diri dan juga menambah perisai. Tambahan, circle juga akan terus mengecil sehinggalah memasuki Flash Point tersebut.
Selain itu, seperti biasa ia juga menyediakan pilihan kostum baharu yang boleh didapati secara terus ataupun melalui kotak tikam jika anda bernasib baik.
Rentas-Platform
Mereka telah mengumumkan yang Apex Legends akan menyokong fungsi rentas platform pada akhir tahun ini, bersama dengan acara di atas, mereka juga mengumumkan fungsi rentas-platform akan tiba secara beta untuk permain di PlayStation 4, Xbox One dan PC. Melalui fungsi ini pemain boleh bermain bersama dengan rakan anda di platform lain.
Jika anda bermain secara solo, anda hanya akan bermain bersama dengan pemain-pemain di platform yang sama, hanya apabila anda membentuk kumpulan dengan rakan di platform lain sahaja fungsi ini akan dibuka untuk matchmaking.
Namun, buat masa ini mereka masih tidak menyokong fungsi rentas-kemajuan, jadi anda masih memerlukan akaun berlainan jika ingin bermain di lebih daripada satu platform. Fungsi ini akan diumumkan secara lanjut apabila Apex Legends dilancarkan untuk Steam pada penghujung tahun ini.
Apex Legends sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC melalui Origins.