Pada 26 September lepas, Naughty Dog telah menganjurkan hari peminat untuk The Last of Us, ia sebelum ini dikenali sebagai Outbreak Day, namun oleh kerana keadaan pandemik Covid-19 mereka merasakan ia bukan nama yang sesuai dan menukarnya kepada The Last of Us Day.
Bersempena dengan sambutan tersebut, Naughty Dog telah menawarkan pelbagai barangan antaranya adalah wallpaper untuk PC dan juga peranti pintar. Menariknya wallpaper tersebut dihasilkan oleh Yoji Shinkawa dari Kojima Productions.
Jika anda sering menggunakan GIF, Naughty Dog telah menghasilkan pelbagai gif untuk Meme popular menggunakan watak-watak The Last of Us Part II.
Selain itu mereka juga menawarkan Tema Dinamik baharu yang memperlihatkan skrin depan permainan The Last of Us Part II, anda juga boleh dapatkan pelbagai avatar secara percuma.
Bagi peminat permainan papan, mereka juga mengumumkan The Last of Us akan menerima permainan papan yang akan dibangunkan oleh CMON. Namun, buat masa ini masih tiada tarikh pelancaran yang dikongsi.