Lanjutan daripada video acah kedua buat permainan Resident Evil Village beberapa minggu lepas, Capcom kini memperlihatkan satu video khas ketika acara Tokyo Game Show di mana mereka memperlihatkan informasi lanjut berkenaan permainan tersebut.

Antara perkara yang ditekankan adalah visual permainan tersebut dan mengapa mereka sekali lagi memfokuskan watak Ethan Winters daripada permainan Resident Evil 7.

Menurut penerbit permainan tersebut, mereka menyatakan watak Ethan Winters asalnya hanyalah menjadi satu watak kamera daripada perspektif pemain sahaja. Namun setelah mereka melancarkan Resident Evil 7, mereka berasa watak tersebut wajar diberi perkembangan termasuklah bagaimana sambungan penceritaan beliau selepas permainan tersebut.

Dari segi elemen seram, mereka mengembangkan lagi apa yang membuat permainan Resident Evil 7 seram dengan menghasilkan satu perkampungan yang cantik, tetapi menggerunkan. Berdasarkan video di atas, Capcom juga memperlihatkan beberapa bentuk permainan baharu termasuklah lokasi-lokasi yang akan pemain lawati.

Dari segi bentuk permainan, Resident Evil Village juga akan mengembangkan lagi lokasi dan bentuk permainan yang lebih meluas melalui dunia perkampungan permainan tersebut.

Ketika sesi temu bual tersebut, Capcom juga menyatakan yang mana mereka mungkin akan melancarkan permainan ini di konsol PlayStation 4 dan Xbox One. Namun buat masa ini, permainan ini dibangunkan khas buat konsol generasi seterusnya dan PC sahaja.

Pada masa yang sama, Capcom juga mengumumkan pada 22 Mac 2021 ini merupakan tarikh ulang tahun ke-25 buat siri Resident Evil (Biohazard di Jepun). Namun dari segi pengumuman lain, mereka akan umumkannya kemudian.

Resident Evil Village akan dikeluarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC pada tahun 2021.

Sohor Kini