Ulasan Mini – Project CARS 3

Project CARS merupakan siri permainan perlumbaan oleh Bandai Namco dan dibangunkan oleh Slightly Mad Studios. Permainan ini mula diperkenalkan sejak 2015 lepas dan kini Bandai Namco membawa kembali permainan ini dengan permainan ketiga dan ini adalah ulasan kami untuk Project CARS 3.

Dunia Perlumbaan Dengan Pelbagai Jenis Kereta Dan Litar

Benda pertama yang saya perlu akui ialah ini adalah pertama kali saya bermain siri permainan Project CARS 3, sekaligus sebarang perbezaan dari permainan pertama dan kedua saya sendiri tidak boleh berkongsikannya. Oleh sebab itu, saya hanya akan berkongsi pendapat saya berkenaan permainan dengan apa yang saya mainkan sahaja.

Seperti kebanyakan siri permainan simulasi perlumbaan lain, permainan ini tidaklah mempunyai sebarang penceritaan dan mod solonya memfokuskan pemain untuk bermain mod karier di mana pemain akan berlumba secara berperingkat untuk menyah-kunci perlumbaan seterusnya dan membeli kereta-kereta baharu.

Konsep sebegini adalah tidak asing untuk kebanyakan permainan bergenre ini. Tetapi apa yang saya sukai berkenaan permainan ini adalah setiap perlumbaan, ia menyertakan beberapa objektif berbeza. Ini sekaligus membuatkan setiap perlumbaan berasa sedikit berlainan, contohnya satu perlumbaan ini tidak memerlukan pemain untuk menang tetapi berjaya melakukan pusingan yang baik sahaja. Jika pemain berjaya lakukannya, pemain kemudian akan menerima markah dan tingkatkan peringkat pemain dan pada masa yang sama ke perlumbaan atau litar seterusnya.

Ini sekaligus memberi sedikit kelainan buat genre permainan ini, tetapi secara amnya keseluruhan perlumbaan adalah sama sahaja dan memandangkan permainan ini memfokuskan perlumbaan profesional, segala kesalahan seperti melanggar pelumba lain atau keluar dari litar akan dikenakan penalti.

Akan tetapi, untuk mengatakan permainan ini adalah satu permainan simulasi perlumbaan, ia berasa agak janggal akibat terdapat beberapa aspek yang diringkaskan dari segi bentuk permainannya jika ingin dibandingkan permainan lain. Namun, ia masih lagi mengekalkan beberapa tetapan mendalam seakan satu permainan simulasi. Saya boleh katakan permainan adalah di antara permainan perlumbaan arked dan simulasi.

Dari segi kenderaan, permainan ini menyertakan pelbagai kereta lumba daripada pelbagai siri seperti kereta Sports Cars GT, Formula E dan pelbagai kereta-kereta ternama dari dunia nyata seperti Lamborghini, Mitsubishi, Honda dan sebagainya. Pemain juga boleh menaik-taraf kenderaan dari segi tingkatkan kuasa enjin, ringankan kenderaan dan juga tetapan pengubah-suaian dari segi kosmetik seperti warna, pelekat penaja dan sebagainya.

Saya juga menyukai beberapa tetapan yang fungsi sokongan yang tersedia untuk mereka yang baru dengan permainan simulasi perlumbaan sebegini. Ia sedikit sebanyak membantu saya yang tidak begitu mahir memandu dan pada masa yang sama bermain dengan menggunakan alat kawalan Dualshock 4 sahaja.

Seperti kebanyakan permainan perlumbaan lain, permainan ini juga menyokong alat kawalan stereng memandu dan saya percaya jika anda memiliki mana-mana alat kawalan stereng memandu di pasaran, anda pasti akan lebih seronok bermain permainan ini.

Visual Yang Menawan, Tetapi Bermasalah

Jika dilihat sekali imbas, visual permainan Project CARS 3 semestinya sangat menawan sekali. Dengan sekali bayangan dan terperinci kenderaan diperlihatkan dengan jelas dan menawan, dicampur pula rekaan litar-litar yang kelihatan begitu nyata sekali seakan satu permainan perlumbaan nyata.

Namun begitu, ketika bermain permainan ini di konsol PlayStation 4 Pro, saya menghadapi beberapa masalah visual terutamanya pantulan cahaya yang sekali sekali menjadi rosak seakan ia menghasilkan satu garisan putih. Selain itu, terdapat juga beberapa saat visual menjadi sedikit kabur dan ini mungkin masalah saya sahaja.

Tetapi sekurang-kurangnya dari segi prestasi, permainan ini tidaklah mempunyai sebarang masalah utama dan ketika bermain di PlayStation 4 Pro, Slightly Mad Studios masih mengekalkan satu fungsi untuk mengubah visual sama ada mementingkan kadar bingkai sesaat ataupun resolusi permainan. Pilihan ini agak membantu buat mereka yang bermain sama ada di skrin resolusi 4k ataupun ingin kadar bingkai sesaat yang lebih tinggi.

Permainan Simulasi Perlumbaan Yang Bagus, Tetapi Tiada Keunikan

Project CARS 3 semestinya satu permainan perlumbaan yang bagus, ia mempunyai pelbagai elemen simulasi yang mendalam dengan pelbagai jenis pilihan kereta dan litar. Dicampur pula dengan pelbagai pengubah-suaian yang pemain boleh lakukan, permainan boleh dikatakan satu permainan simulasi perlumbaan yang cukup bagus.

Akan tetapi, jika ingin dibandingkan dengan permainan-permainan simulasi perlumbaan lain yang terkenal di konsol ataupun PC, Project CARS 3 tidaklah membawa sebarang bentuk perlumbaan baharu. Walaupun ini adalah pertama kali saya bermain siri Project CARS ini, keseluruhan permainan ini berasa sama sahaja.

Meskipun begitu, bagi anda yang meminati siri permainan simulasi perlumbaan dengan jumlah perlumbaan yang pelbagai, bentuk mod karier yang mendalam dengan cabaran harian di campur pelbagai jenis kenderaan “Sports Cars”, mungkin ini adalah permainan untuk anda.

Penafian: Kod ulasan Project CARS 3 disediakan oleh Bandai Namco

Project Cars 3
Harga: RM239
Hanya sekadar satu lagi permainan simulasi perlumbaan oleh Bandai Namco.
Positif
Permainan simulasi perlumbaan yang baik dengan pelbagai pilihan kereta dan litar.
Negatif
Tiada keunikkan lain berbanding simulasi lain dan visual yang sering bermasalah.
6

Sohor Kini