Natsume dan Rising Star Games minggu ini mengumumkan yang mana permainan simulasi berkebun seterusnya oleh mereka iaitu Harvest Moon: One World kini disahkan tunda sehingga tahun hadapan.
Menurut mereka, permainan tersebut akan dilancarkan pada 2 Mac 2021 ini di konsol PlayStation 4 dan Switch. Pada masa yang sama, mereka juga berkongsi beberapa paparan skrin baharu permainan tersebut termasuklah beberapa watak yang pemain boleh berinteraksi.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Harvest Moon: One World merupakan permainan simulasi berkebun seterusnya oleh Natsume dengan enjin permainan dan visual baharu. Menurut pembangun, permainan Harvest Moon ini akan menyertakan lokasi yang lebih meluas disamping akan membawa pengalaman baharu buat genre permainan tersebut.
Pada masa yang sama, Natsume juga mengumumkan permainan Harvest Moon: Light Of Hope Special Edition Complete kini tiba di konsol Xbox One dan PC melalui Microsoft Store secara rasmi di mana versi ini menyertakan kesemua DLC yang telah pun dilancarkan sebelum ini.
Bagi anda yang tidak mengetahui berkenaan Harvest Moon, ianya adalah siri permainan berkebun yang sangat terkenal sejak era SNES. Akan tetapi, siri Harvest Moon kini tidak lagi dibangunkan oleh pembangun asal sebelum ini dan atas sebab Natsume masih lagi memegang hak intelek untuk nama Harvest Moon, mereka masih lagi melancarkan siri permainan ini dengan nama tersebut.
Bagi anda yang ingin bermain permainan oleh pembangun asal siri Harvest Moon, anda boleh mencari siri Story of Season oleh Marvelous.