Selepas kejayaan filem-filem Marvel Cinematic Universe yang ‘ditutup’ dengan End Game pada tahun lepas, serta filem-filem MCU kemudiannya tertunda akibat pandemik Covid-19, sudah semestinya ramai yang ternanti-nanti kandungan ataupun media seterusnya berdasarkan watak-watak adiwira kegemaran mereka.

Square Enix dan Crystal Dynamics cuba mengisi kekosongan tersebut melalui permainan Marvel’s Avengers. Ia dikeluarkan pada 4 September lepas untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC, ia juga menerima naik taraf percuma untuk versi PlayStation 5 dan Xbox Series.

Walaupun saya mempunyai masa yang baik bermain penceritaan serta kandungan selepas pengakhiran, saya boleh katakan ia permainan yang mempunyai banyak potensi yang tidak dipenuhi.

Kamala Khan Memikul Tanggungjawab Besar

Selepas Marvel’s Avengers diumumkan sebagai permainan yang mempunyai sistem live service, perkara pertama yang saya risau adalah mengenai penceritaan yang disertakan, namun, selepas saya menghabiskannya iaitu mengambil lebih kurang 12 hingga 13 jam, saya boleh katakan ia adalah kekuatan utama di dalam permainan ini. Oleh itu, ia sangat mengecewakan kerana sangat singkat.

Penceritaan permainan ini bermula ketika sambutan Hari Avengers sedang berlangsung dan Kamala Khan hadir sebagai salah seorang peserta untuk pertandingan cerita fiksyen peminat. Semasa 5 ahli Avengers iaitu Captain America, Iron Man, Black Widow, Bruce Banner, dan Thor menemui peminat, mereka telah diserang oleh Taskmaster.

Serangan tersebut mengakibatkan kristal Terrigen yang menjadi sumber kuasa untuk Helicarrier Avengers iaitu Chimera meletup dan memusnahkan sebahagian San Francisco. Namun, ia bukan sahaja memusnahkan bandar, tetapi juga telah memberi kuasa kepada orang yang terkesan, termasuk juga Kamala Khan yang mempunyai kuasa untuk membesarkan serta memanjangkan badan.

5 tahun kemudian, kerajaan mengharamkan Avengers, dan mereka juga dibenci oleh orang ramai kerana dikatakan bertanggungjawab terhadap kejadian semasa Hari Avengers tersebut. Kerajaan juga telah menubuhkan A.I.M untuk mengawal keamanan dan juga mencari penawar kepada orang-orang yang mendapat kuasa di mana mereka digelar sebagai ‘Inhumans’.

Berbanding merawat, A.I.M sebenarnya melakukan penindasan terhadap golongan tersebut yang membuatkan Kamala Khan tidak berpuas hati. Dia bertegas untuk melawan A.I.M dan tanpa disangka dia mendapat bantuan daripada ‘bekas’ Avengers.

Penceritaan boleh dikatakan ringkas, akan tetapi Kamala Khan telah membantu untuk memberi sesuatu yang segar. Saya sangat menyukai bagaimana perwatakan dia dilakukan, terutama watak-watak lain terutama adiwira Avengers sendiri terasa kurang dikembangkan. Ini ditambah lagi, banyak persoalan yang boleh di-tanyakan mengenai keputusan yang dibuat oleh Avengers, terutama pada awal-awal penceritaan.

Jika ingin dibandingkan dengan permainan live service seperti Destiny, The Division, Anthem dan juga Borderlands, Marvel’s Avengers mempunyai penceritaan yang paling menarik dengan perwatakan yang baik berbanding mana-mana permainan tersebut, tetapi Borderlands 3 contohnya mempunyai penceritaan yang lebih panjang, sesuatu yang saya inginkan daripada permainan ini. Ia mungkin akan hadir kemudian, tetapi buat masa ini ia tamat terlalu cepat.

Penceritaan sampingan, seperti yang memfokuskan kepada sesuatu watak juga dilakukan dengan terlalu ringkas, ia kebiasaan hanya ada beberapa penerangan mengenai misi, dan keputusan selepas berakhir. Ia seharusnya diisi dengan penceritaan yang lebih mendalam, terutama tidak perlu berkait dengan penceritaan utama. Mungkin seperti yang dilakukan oleh Mass Effect.

Watak-watak Avengers juga mempunyai lakonan suara oleh pelakon suara yang terkenal seperti Nolan North, Troy Baker, dan Laura Bailey agak kerugian jika mereka tidak dikembangkan lagi. Square Enix dan Crystal Dynamics mempunyai perancangan untuk menyertakan pelbagai acara, tetapi tidak pasti jika mereka akan menyertakan juga penceritaan tambahan yang permainan ini sangat perlukan.

Jika tidak kerana watak Kamala Khan yang menjadi jambatan kepada watak-watak di dalam permainan ini, permainan ini mungkin kehilangan satu kekuatan utamanya.

Looter Yang Kurang Menarik

Kempen dan penceritaan merupakan sebahagian sahaja daripada keseluruhan Marvel’s Avengers, bentuk permainan utama sudah semestinya kandungan selepas tamatnya kempen utama. Terdapat tiga sebab utama untuk pemain terus bermain, pertama meningkatkan tahap setiap watak, mendapatkan Gears yang lebih berkuasa dan mendapatkan kostum. Ia adalah “looter” yang disertakan di dalam permainan ini.

Setiap adiwira yang hadir mempunyai pokok kebolehan mereka sendiri, dan setiap-nya perlu dinyah-kunci menggunakan Skill Point, ia diperoleh dengan meningkatkan tahap (1 peningkatan tahap, 1 skill point). Saya sangat menyukai kepelbagaian pilihan kebolehan, ia menjadikan sesuatu watak unik dan terasa berlainan dengan watak-watak lain walaupun pada asasnya kebolehan adalah lebih kurang sahaja.

Gears pula adalah mungkin perkara utama yang akan membuatkan pemain meluangkan masa untuk terus bermain. Ia merupakan peralatan yang boleh dipakai oleh watak serta mempunyai kelebihan tersendiri, setiap watak akan mempunyai Gears tersendiri dan tidak boleh dikongsi. Terdapat beberapa cara untuk mendapatkan Gears, secara rawak sebagai ganjaran untuk misi dan juga membelinya di beberapa kedai di dalam permainan.

Dengan kata lain, untuk mendapatkan Gears yang terbaik, anda perlu terus dan terus bermain, terutama jika ingin mendapatkan yang terbaik untuk setiap watak. Perkara yang mengecewakan adalah kebanyakan Gears mempunyai perbezaan yang terlalu kecil dan tidak memberi perasaan mengujakan walaupun mendapat barangan yang “rare” contohnya. Ini ditambah lagi, Gears tidak mempunyai perubahan visual, membuatkan saya kurang mengambil tahu mengenainya.

Manakala visual pula bergantung kepada kostum yang digunakan oleh pemain. Berbeza dengan Gears ia tidak mempunyai sebarang kebolehan sekadar kosmetik sahaja. Anda boleh dapatkan kostum berbeza untuk setiap watak secara rawak dengan melakukan misi (sangat jarang), membelinya di kedai di dalam permainan (menggunakan mata wang permainan ataupun wang ringgit) dan juga melakukan Hero Challenge Card.

Ketiga-tiga perkara di atas sepatutnya membuatkan saya ingin terus bermain, tetapi Marvel’s Avengers gagal untuk membuatkan saya mengambil kisah mengenai mana-mana daripadanya. Pokok kebolehan adalah menarik, tetapi apabila anda sampai satu tahap, ia tidak lagi memberi kesan yang besar. Terutama kebanyakan misi boleh diselesaikan tanpa memerlukan anda sangat mengguna pakai segala kebolehan yang ada. Gears pula langsung tidak menarik, manakala kostum ia terlalu menyusahkan untuk saya mengambil kisah mengenainya.

Kitaran Permainan Yang Bosan

Bagi mendapatkan “looter” di atas, pemain perlu melakukan pelbagai misi yang disertakan. Misi-misi tersebut kebiasaan akan membawa pemain ke satu lokasi, sama ada perlu menumpaskan kesemua penjahat di kawasan tersebut, perlu menghancurkan barangan tertentu dan juga mempertahankan sesuatu kawasan untuk satu jangka masa. Saya boleh katakan kepelbagaian misi sangat mengecewakan, semasa melakukan kempen lagi saya sudah terasa yang misi sangat berulang.

Ini ditambah lagi dengan kawasan-kawasan juga sangat terhad. Walaupun mempunyai beberapa kawasan berbeza, tetapi akhirnya setiap kawasan terasa sama, kecuali persekitaran. Ini ditambah lagi apabila misi membawa pemain ke dalam bangunan, ia seakan rekaan yang sama sahaja.

Permainan ini juga mempunyai kekurangan rekaan untuk penjahat. Hampir kesemua penjahat adalah dari satu organisasi iaitu A.I.M yang merupakan penjahat utama di dalam permainan ini, namun rekaan penjahat sama ini menjadikan ia kurang menarik. Apabila dicampur dengan misi berulang dan kawasan yang sama, ia tidak mengambil masa yang lama untuk saya terasa bosan dengan kandungan yang disertakan.

Pemain akan diberikan pelbagai objektif untuk diselesaikan setiap hari. Antaranya objektif khusus kepada watak untuk menyelesaikan Hero Challenge Card, terdapat objektif harian dan juga mingguan. Selain itu terdapat juga objektif daripada puak buat masa ini terdapat dua puak sahaja iaitu inhumans dan SHIELD. Dengan menyelesaikan objetif untuk setiap puak, ia akan meningkatkan tahap puak tersebut yang akan memberi pemain akses kepada Gears yang lebih baik untuk dibeli. Puak juga akan mempunyai misi harian.

Objektif untuk puak kebiasaan boleh diselesaikan dengan melakukan beberapa misi walaupun anda tidak fokus untuk menyelesaikannya. Manakala objektif khusus untuk watak, kebiasaan memerlukan anda bermain untuk menyelesaikan objektif tersebut. Objektif-objektif yang disertakan mungkin memberi alasan untuk pemain terus bermain, tetapi secara keseluruhan, buat masa ini permainan ini tidak mempunyai banyak dorongan untuk pemain terus bermain. Ia adalah satu perkara yang sangat mengecewakan terutama untuk permainan genre ini.

Grafik Baik Dengan Pelbagai Kejengkelan

Semasa pertama kali Marvel’s Avengers diperlihatkan, antara kritikan awal saya adalah rekaan watak yang nampak sangat generik. Namun, apabila saya bermain dan mengenali setiap watak, saya tidak merasakan ia satu masalah bahkan menyukai setiap watak yang hadir serta rekaan untuk mereka.

Selain itu, rekaan kostum, rekaan persekitaran dan rekaan beberapa kawasan yang menjadi hub kepada pemain juga dilakukan dengan baik. Terutama Chimera iaitu sebuah Helicarrier, benar-benar memberi perasaan yang anda merupakan satu pasukan Avengers.

Namun, ia juga hadir dengan pelbagai kejengkelan, pertamanya adalah skrin pemuatan yang terlalu lama, anda akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan kerap, dan setiapnya akan mengambil masa yang lama. Begitu juga apabila anda tewas/mati semasa misi, masa untuk permainan dimuatkan semula sangat lama yang membuatkan misi tersebut menjadi tidak menyeronokkan.

Selain itu, ia juga mempunyai masalah kelancaran apabila ketika melawan jumlah penjahat yang ramai, iaitu sesuatu yang kerap berlaku. Terdapat juga masalah clipping, tekstur lambat dimuat, dan pelbagai masalah lain yang mengganggu pengalaman bermain. Square Enix dan Crystal Dynamics kerap mengeluarkan kemaskini, namun semasa penulisan ini, ia masih lagi tidak mencapai keadaan yang memuaskan.

Rumusan

Marvel’s Avengers adalah permainan yang mempunyai potensi luas, terutama dengan watak-watak yang mereka boleh sertakan di dalam permainan ini. Namun, setakat ini Square Enix dan Crystal Dynamics gagal untuk memenuhi potensi tersebut. Mereka memberikan satu permainan aksi-looter yang membosankan jika ingin dibandingkan dengan permainan genre sama.

Bahagian terbaik untuk permainan ini juga iaitu penceritaan juga dihasilkan dengan terlalu ringkas, sedangkan mereka boleh lagi mengembangkan setiap watak yang ada, dan tidak semestinya perlu terhad kepada penceritaan yang berkait dengan penceritaan utama sahaja.

Sukar untuk saya syorkan permainan ini, terutama dengan harga yang penuh, walaupun untuk anda yang meminati watak-watak Marvel ataupun yang menyukai genre looter sebegini walaupun mempunyai kempen serta penceritaan yang menarik.

Penafian: Kod ulasan Marvel’s Avengers disediakan oleh Bandai Namco

Marvel's Avengers
Rumusan
Marvel’s Avengers adalah permainan yang mempunyai potensi luas, terutama dengan watak-watak yang mereka boleh sertakan di dalam permainan ini. Namun, setakat ini Square Enix dan Crystal Dynamics gagal untuk memenuhi potensi tersebut. Mereka memberikan satu permainan aksi-looter yang membosankan jika ingin dibandingkan dengan permainan genre sama.
Cerita
8
Bentuk
7
Kandungan
6
Grafik
7
Positif
Kempen penceritaan yang menarik
Rekaan Grafik Yang Baik
Negatif
Bentuk Dan Kandungan Permainan Yang Bosan
Pelbagai Masalah Prestasi
7

Sohor Kini