Semasa acara PS5 Showcase lepas, Sony akhirnya melakukan pengumuman harga serta tarikh pelancaran untuk PlayStation 5, namun mereka tidak berkongsi sebarang tarikh pra-tempah sebaliknya pemain di Amerika Syarikat dan Eropah menyedari yang sesi pra-tempah dibuka pada hari yang sama.
Perkara tersebut menyebabkan ramai yang cuba sedaya upaya untuk memastikan pra-tempah mereka berjaya. Akibatnya, ia telah mencetus pelbagai masalah, pengedar tidak pasti jumlah stok, pemain pula tidak pasti jika pra-tempah mereka berjaya.
Ia menjadi sangat bercelaru sehinggakan ‘diperli’ oleh Microsoft, di mana mereka telah mengeluarkan ciapan mengatakan “jangan risau, kami akan nyatakan tarikh sebenar untuk sesi pra-tempah”.
Mungkin untuk meredakan masalah ini, Sony hari ini mengeluarkan satu ciapan mengatakan yang sesi pra-tempah sepatutnya berlaku dengan lebih baik, dan mengatakan yang untuk beberapa hari lagi, sesi pra-tempah akan dibuka dari semasa ke semasa. Tambahan, mereka juga mengatakan akan lebih banyak stok PS5 tiba sepanjang hujung tahun ini.
Bagi pelanggan di Malaysia, sesi pra-tempah dan juga harga masih tidak diumumkan. Kami berharap, pemain akan diberikan masa yang mencukupi untuk bersedia. PS5 akan dikeluarkan pada 12 November untuk sesetengah pasaran dan 19 November secara global.