Apple melalui kenyataan yang diberikan kepada mahkamah mengatakan yang Epic Games sekadar melakukan masalah di App Store untuk mencari populariti. Ini adalah kerana, menurut Apple, kadar pencarian untuk Fortnite di Google berkurangan sebanyak 70% di antara Oktober 2019 sehingga Julai 2020.

Epic Games membalas dengan menyatakan yang kenyataan tersebut adalah kurang benar, sebaliknya jumlah pemain aktif meningkat sebanyak 39% di dalam jangka masa tersebut. Kenyataan siapa yang betul? Mungkin kedua-duanya.

Apple, anehnya menggunakan data daripada pencarian di Google, berbanding data berdasarkan di iOS sendiri, jadi Fortnite mungkin sudah kurang di cari, kerana pemain sudah mengenali apa itu Fortnite dan sudah menjadi pemain.

Oleh itu tidak mengejutkan yang pencarian berkurangan tetapi pemain aktif bertambah, ini juga mengambil kira bermula Mac lepas kebanyakan negara melakukan perintah kawalan pergerakan, yang secara langsungnya meningkatkan jumlah pemain.

Sama ada mana-mana kenyataan dapat membantu hujah mereka masih tidak diketahui, Apple dan Epic Games akan kembali memasuki makhamah pada 28 September ini untuk menentukan jika Apple perlu ataupun tidak membawa kembali Fortnite ke App Store.

Sohor Kini