The Boss Baby adalah filem animasi pada tahun 2017 yang agak menarik. Ia membuatkan kami teringat kepada filem seperti Baby Geniuses (1999). Filem ini mengisahkan bayi yang mempunyai asal-usul yang pelik dan ada “organisasi” di kalangan mereka yang cuba menghentikan orang dewasa yang cuba melakukan jenayah terhadap bayi. Filem ini akan hadir dengan sekuel berjudul – The Boss Baby: Family Business.

Terkini menurut Variety, filem sekuel ini akan memperkenalkan beberapa watak baru dan senarai pelakon bagi watak baru ini telah pun didedahkan. Yang pertama adalah Jeff Goldblum, yang akan berlakon sebagai Dr. Armstrong, iaitu pengasas sebuah sekolah – Acorn Center for Advanced Childhood. Di dalam sekolah ini akan ada seorang bayi bernama Tabitha lakonan Ariana Greenblatt (Gamora versi muda dalam Avengers: Endgame). Tabitha adalah seorang kanak-kana berusia tujuh tahun yang ingin menjadi seperti pakcik beliau – Ted (bayi dalam filem pertama, lakonan Alec Baldwin). Eva Longoria dan James Marsden akan berlakon sebagai ibu bapa kepada Tabitha.

Pelakon lain yang terlibat dalam filem ini adalah Jimmy Kimmel dan Lisa Kudrow sebagai ibu bapa kepada Ted serta Amy Sedaris sebagai Tina iaitu ahli keluarga Ted juga. Jelas di sini, watak Jeff Goldblum adalah penjenayah – tetapi sinopsis penuh filem ini masih belum diketahui lagi. Filem ini akan ditayangkan pada 26 Mac 2021, jika tiada sebarang tundaan.

Sohor Kini