Skip to main content

Kemaskini, 11 November 2020 – Artikel ditambah dengan harga rasmi untuk PlayStation 5 dan harga jualan tempatan untuk Xbox Series.

Sony dan Microsoft akhirnya mengumumkan harga serta tarikh pelancaran untuk konsol generasi baharu mereka, iaitu Xbox Series akan tiba pada 10 November dan PS5 pada 19 November untuk pasaran Malaysia. Kedua-dua syarikat tersebut juga hadir dengan 2 versi konsol iaitu Xbox Series X dan Xbox Series S untuk Microsoft, PlayStation 5 dan PlayStation 5 Digital Edition untuk Sony.

Melalui pilihan Aksiz ini, saya akan membuat perbandingan di antara keempat-empat konsol tersebut berdasarkan 4 bahagian iaitu Spesifikasi, Harga, Permainan dan juga Sokongan Tempatan. Oleh kerana kami sendiri tidak mencuba mana-mana konsol ini, ia adalah berdasarkan maklumat yang sedia ada dan bukan berdasarkan pengalaman sendiri.

Spesifikasi

Berikut adalah spesifikasi untuk kesemua konsol generasi baharu yang akan tiba;

PlayStation 5 Xbox Series X Xbox Series S
CPU 8-teras AMD Zen 2 Cores @ 3.5GHz 8-teras AMD Zen 2 CPU @ 3.8GHz (3.6GHz dengan SMT) 8-teras AMD Zen 2 CPU @ 3.6GHz (3.4GHz dengan SMT)
GPU 10.28 TFLOPS, 36 CUs @ 2.23 GHz Custom RDNA 2 GPU 12 TFLOPS, 52 CUs @ 1.825 GHz Custom RDNA 2 GPU 4 TFLOPS, 20 CUs @ 1.56 GHz Custom RDNA 2 GPU
RAM 16GB GDDR6 RAM
448GB/s
16GB GDDR6 RAM
10GB @ 560GB/s
6GB @ 336GB/s
10GB GDDR6 RAM
8GB @ 224GB/s
2GB @ 56GB/s
Sasaran Prestasi 4K @ 30FPS, sehingga 120FPS 4K @ 60 FPS, sehingga 120FPS 1440p @ 60 FPS, sehingga 120FPS
Storan 825GB NVME SSD
5.5GB/s Tidak Mampat
8-9GB/s Mampat
1TB NVME SSD
2.4GB/s Tidak Mampat
4.8GB/s Mampat
512GB NVME SSD
2.4GB/s Tidak Mampat
4.8GB/s Mampat
Storan Tambahan Slot NVME SSD 1TB Expansion Card 1TB Expansion Card
Pembaca Cakera 4K UHD Blu-ray/ Digital Sahaja (DE) 4K UHD Blu-ray Digital Sahaja
Harga RM2299 / RM1869 (DE) RM2199 RM1499

Boleh dikatakan yang Xbox Series X mendahului dari segi spesifikasi apabila bercakap mengenai kuasa CPU dan GPU manakala Xbox Series S adalah paling ketinggalan kerana Microsoft mempunyai strategi yan berbeza untuk konsol ini.

Walaupun berbeza spesifikasi, Xbox Series X dan PS5 menyasarkan resolusi 4K, akan tetapi dengan kuasa yang lebih, kelancaran di Xbox Series X akan lebih baik di mana mereka menyasarkan untuk memberi 60FPS dengan resolusi 4K, berbanding 30FPS untuk PS5.

Namun, PS5 hadir dengan satu kelebihan iaitu kadar baca dan tulis untuk SSD yang lebih pantas. Ini secara langsungnya memberikan proses membuka permainan serta skrin pemuatan yang lebih pantas. Ini boleh dikatakan perbezaan strategi serta ‘falsafah’ oleh Sony dan Microsoft.

Di atas kertas, bahagian spesifikasi dimenangi oleh Xbox Series X.

Harga

Xbox Series X secara tidak rasminya sekitar RM2199 di Malaysia manakala PlayStation 5 pula adalah RM2299. Manakala PlayStation 5 Digital Edition yang tidak mempunyai pembaca cakera berharga RM1869 di Malaysia. Akhir sekali Xbox Series S RM1499 di Malaysia berdasarkan harga oleh kedai tempatan.

PlayStation 5 mempunyai harga yang sedikit tinggi berbanding Xbox Series X dan oleh kerana seperti yang saya terangkan di atas spesifikasi Xbox Series X adalah lebih baik, secara langsungnya Xbox Series X mempunyai nilai yang lebih, tetapi ini tidak mengambil kira, DualSense yang hadir bersama PS5 mempunyai pelbagai fungsi tambahan berbanding alat kawalan Xbox Series.

Namun, berbeza pula apabila bercakap mengenai PS5 Digital Edition, dengan harga lebih murah, perbezaan spesifikasi tidak memberi sangat kelebihan, namun kekurangan pembaca cakera optik mungkin bukan satu pilihan untuk kebanyakan pemain.

Manakala untuk Xbox Series S pula, ia nampak menarik dengan harga yang sangat rendah tetapi masih membawa kelebihan generasi baharu seperti SSD. Namun, hadirnya PS5 DE dengan harga tersebut, meletakkan konsol tersebut di keadaan yang lebih janggal.

Oleh kerana 90% permainan yang saya miliki adalah secara digital saya boleh katakan bahagian ini dimenangi oleh PS5 Digital Edition, walaupun lebih mahal berbanding Xbox Series S, namun spesifikasi yang lebih baik menjadikan ia lebih berbaloi.

Pilihan Permainan

Bahagian ini boleh dikatakan masih tidak mempunyai rumusan yang kukuh. Penawaran untuk permainan secara eksklusif masih tidak disahkan dan kita hanya akan lihat keadaannya selepas setahun dua pelancaran konsol. Namun ini adalah pandangan awal.

Buat masa ini, yang disahkan sebagai permainan pelancaran eksklusif untuk Xbox Series adalah Tetris Effect: Connected dan Gears Tactics. Selebihnya seperti Assassin’s Creed Valhalla, Fortnite, Yakuza: Like a Dragon turut tiba untuk PS5.

Manakala PS5 pula menyertakan permainan seperti Demon’s Soul, Marvel’s Spider-man: Miles Morales dan Sackboy A Big Adventure. Boleh dikatakan untuk pelancaran, PS5 mempunyai kemenangan awal.

Namun, Xbox Series menjanjikan sokongan keserasian belakang sehingga konsol pertama Xbox, manakala PS5 pula tampaknya lebih memfokuskan setakat PS4 sahaja. Jika anda mempunyai koleksi permainan lama untuk Xbox, ia akan menjadi kelebihan untuk anda.

Selain itu, Xbox Series mempunyai penawaran Xbox Games Pass Ultimate yang mempunyai lebih 100 permainan, manakala Sony hadir dengan PS Plus Collection yang buat masa ini hanya disahkan menawarkan 15 permainan.

Seperti saya katakan sebelum ini, buat masa ini masih sukar untuk menentukan pilihan siapa yang memenangi, ia bergantung kepada jenis kandungan yang anda inginkan. Bahagian ini adalah seri di mana Xbox Series dan PS5 mempunyai penawaran tersendiri.

Sokongan Tempatan

Bagi sesetengah pemain, sokongan tempatan tidak penting kerana apa yang mereka inginkan adalah sekadar membeli permainan dan bermain, selagi mana perkara tersebut tidak terhalang, sokongan tempat tidak sangat menjadi masalah. Namun, bagi kebanyakan pengguna, sokongan tempatan akan memberi nilai tambah kepada pembelian.

Di dalam perkara ini, Sony jelas mendahului. Mereka sudah bertapak di Malaysia sejak sekian lama, konsol mereka dilancarkan secara rasmi, dan PS Store juga menyokong pembelian dalam ringgit. Kad-kad pasca-bayar untuk PS Store juga mudah untuk didapati di kedai-kedai seperti 7 Eleven. Waranti untuk konsol juga adalah tempatan memudahkan anda untuk membaiki apabila ia mempunyai masalah kelak.

Microsoft pula, buat masa ini masih terhad kepada beberapa negara terpilih sahaja. Bukan sahaja dari segi penawaran konsol tetapi juga penawaran perkhidmatan mereka. Saya berharap mereka akan hadir secara rasmi di Malaysia tetapi buat masa ini tidak. Namun, ini tidak bermaksud yang pengguna Xbox Series akan terpinggir, sebaliknya perlu lebih berharap kepada komuniti dan pelbagai helah.

Nintendo juga tidak mempunyai sokongan rasmi, tetapi ia masih satu komuniti yang besar di Malaysia. Jadi untuk bahagian ini, PS5 melalui sokongan Sony mengatasi Xbox dan Microsoft, tetapi bukanlah pengakhiran untuk mereka.

Rumusan

Xbox Series X mempunyai kelebihan dari segi spesifikasi dan juga pelbagai perkhidmatan tambahan oleh Micrsoft seperti Xbox Game Pass Ultimate dan juga sokongan keserasian belakang. Manala PS5 pula mempunyai kelebihan seperti permainan yang menarik semasa pelancaran, perpustakaan PlayStation 4 yang lebih meluas dan juga sokongan tempatan.

Bagi saya, secara peribadi konsol yang menjadi pilihan adalah PS5 Digital Edition. Ia menawarkan kualiti generasi baharu tetapi dengan harga yang lebih berpatutan iaitu harga yang sama semasa PlayStation 4 Pro dilancarkan dahulu. Mungkin ia adalah pilihan yang sukar untuk anda yang lebih menyukai permainan versi fizikal terutama jika untuk janka masa panjang, pasaran permainan terpakai akan mengatasi penjimatan untuk versi digital.

Untuknya, saya boleh katakan mana-mana pilihan di antara Xbox Series X ataupun PS5, bukanlah satu pilihan yang salah, setiap-nya mempunyai kelebihan tersendiri.

Pilihan anda?

Leave a Reply