Bulan lepas terdapat ura-ura yang Olivia Wilde akan mengarah satu filem Marvel dari dunia Sony. Seperti semua sedia maklum, dunia Marvel Sony setakat ini adalah berkaitan dengan Spider-Man – seperti Venom dan akan datang Morbius. Beliau dikhabarkan akan mengarahkan filem Spider-Woman, kerana menciap semula emoji labah-labah kepada ciapan laporan Deadline.
Terkini melalui temu ramah bersama EW, beliau disahkan akan mengarahkan satu filem Marvel untuk Sony – tetapi tiada kepastian filem apa. Melalui arahan beliau, beliau akan hadir dengan filem dari perspektif beliau sendiri – iaitu pengarah wanita yang mengarah filem adiwira yang besar. Kita sudah lihat contoh kejayaan, seperti filem Wonder Woman.
Dalam komik Spider-Man ada banyak watak utama wanita, seperti Mary Jane Watson, Gwen Stacy, Julia Carpenter, atau juga Jessica Drew. Beliau akan bekerjasama dengan Katie Silberman sebagai penulis skrip, iaitu salah seorang rakan dalam industri yang banyak kali terlibat dalam projek bersama-sama. Beliau turut tidak sengaja menyebut nama Kevin Feige, yang mungkin akan terlibat dalam pembangunan filem ini.
Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.