Skip to main content

Bulan Mei lepas, Monsta hadir dengan berita yang mengejutkan peminat – iaitu filem Mechamato sepatutnya hadir pada penghujung tahun ini sebelum diteruskan dalam bentuk siri TV. Tetapi disebabkan Covid-19, filem ini terpaksa ditangguhkan kepada tahun 2021. Bukan itu sahaja, dalam pengumuman baru – siri TV Mechamato turut akan sedia disiarkan pada tahun 2021. Ia bukan sahaja akan disiarkan secara tempatan, tetapi turut di beberapa negara Asia lain seperti Jepun dan Korea.

Filem BoBoiBoy 3 pula yang dijadualkan pada tahun 2021 terpaksa ditunda ke tahun 2022 bagi memberi laluan Mechamato. Filem BoBoiBoy 3 ini dirancang untuk ditayangkan sebagai sambutan ulang tahun ke-10 BoBoiBoy. Tetapi pasukan Monsta tidak akan mengalah dan bagi memuaskan hati peminat, satu episod khas 1 jam BoBoiBoy Galaxy akan disiarkan bagi menyambut ulang tahun ke-10 ini.

Dengan kejayaan Fly With Yaya sehingga tercalon dalam anugerah The New Comer, siri TV ini akan diteruskan dengan Destinasi Terbaik pula yang dilihat memfokuskan tempat pelancongan tempatan. Ini adalah bagi membantu industri pelancongan sembuh akibat Covid-19.

Monsta turut memberi sedikit butiran mengenai watak dan inspirasi di sebalik lokasi dalam filem/siri TV Mechamato. Mechamato akan berada di lokasi yang dinamakan Kota Hilir, iaitu lokasi yang diambil inspirasi dari Melaka – Bandar Hilir. Tetapi mereka akan menambah gabungan elemen teknologi dan tradisional. Untuk watak, Amato, MechaBot, Pian, Mara, Deep, Bula, Bili dan Masknaba akan memainkan peranan penting dalam francais Mechamato.

Nampaknya kehangatan Mechamato ini semakin menjadi-jadi, dengan butiran seperti ini ia membuatkan kami sendiri tidak sabar ingin menonton filem ini kelak. Sama-sama kita nantikan.

Leave a Reply