Ulasan Mini – Spellbreak

Spellbreak merupakan satu permainan pertempuran royale yang dibangunkan oleh Proletariat secara percuma buat konsol dan PC.

Permainan in dilancarkan awal bulan ini di mana seperti permainan pertempuran royale lain, ia memfokuskan pemain untuk bertempur sesama sendiri sekitar 40 pemain di dalam satu peta yang luas dan menjadi pemain terakhir yang berjaya menumpaskan pemain lain.

Bentuk Permainan Yang Mengasyikkan Dengan Kombinasi Magis Yang Pelbagai

Kebanyakan permainan pertempuran royale yang berada di pasaran sekarang ini memfokuskan penggunaan senjata api dengan pelbagai elemen-elemen moden yang mana boleh dikatakan satu kebiasaan untuk permainan bergenre tersebut.

Namun, apa yang membuat Spellbreak berlainan adalah ia menggunakan elemen Magis di mana setiap kali permulaan sesi permainan, pemain berupaya untuk memilih 6 jenis elemen kuasa magis untuk digunakan terdiri daripada Api, Ais, Bumi, Angin, Racun dan Elektrik. Pemain kemudian juga boleh tetapkan sebarang statistik tambahan yang berasaskan minda, badan dan jiwa.

Setelah pemain tiba di dalam peta pula, pemain perlu mencari barangan dan kelengkapan untuk tingkatkan kuasa pemain termasuklah juga “Gauntlet” Magis kedua untuk pemain gunakan sebagai kuasa magis sekunder.

Kemudian seperti biasa, peta permainan tersebut akan semakin kecil dan pemain perlu bertempur sesama sendiri untuk menjadi pemain terakhir yang masih hidup ketika sesi pertempuran royale tersebut. Selain daripada mod solo, permainan ini juga menyertakan mod berpasukan sebanyak 3 pemain sepasukan dan mod duo sebanyak dua pemain sepasukan.

Secara asasnya, Spellbreak semestinya adalah seakan sama sahaja dengan permainan pertempuran royale lain. Namun apa yang membuat permainan ini berlainan adalah kuasa magis tersebut. Pemain bukan sahaja berupaya untuk terbang, malah mencampur kuasa-kuasa elemen magis berdasarkan kuasa yang digunakan oleh pemain. Contohnya apabila pemain menggabung kuasa angin dan api, pemain boleh menghasilkan satu kuasa puting beliung berapi yang mana bukan sahaja akan menarik musuh, malah memberi serangan api terhadap musuh.

Konsep ini adalah mengapa membuatkan permainan ini sangat menarik dan unik untuk dimainkan, terutamanya mereka yang berminat dengan siri kartun Avatar, yang mana saya boleh katakan ini adalah satu permainan pertempuran royale impian saya setelah menonton siri tersebut.

Kemajuan Watak Yang Terlalu Banyak

Apabila satu permainan multi-pemain terlalu mengharapkan kemajuan watak untuk dapatkan pelbagai barangan ataupun kelengkapan tambahan, ia sedikit sebanyak akan memberi kesan terhadap keseimbangan permainan di mana peningkatan ataupun penurunan statistik pemain adalah berdasarkan jumlah jam yang telah pemain bermain.

Pada pendapat saya, Spellbreak sendiri mempunyai masalah tersebut di mana seperti yang saya terangkan di atas, permainan ini mempunyai beberapa perubahan statistik yang pemain boleh tetapkan sebelum mula bermain di mana ia memfokuskan badan, minda dan jiwa. Konsep ini semestinya tidaklah begitu memberi kesan terhadap keseluruhan permainan memandangkan pemain masih lagi perlu mencari ‘buku’ untuk meningkatkan kesan statistik tersebut, namun ia masih lagi memberi kesan terhadap kemahiran pemain.

Ini juga menyebabkan pemain sentiasa perlu bermain untuk mendapatkan penambahan-penambahan tersebut, termasuklah juga peningkatan senjata-senjata magis berdasarkan peringkat. Ia juga menjadi agak tidak seimbang jika pemain menemui pelbagai pemain-pemain veteran yang mana jelas sekali lebih berkuasa berbanding pemain.

Satu Permainan Pertempuran Royale Yang Berpotensi Untuk Menjadi Baik

Apa yang saya boleh simpulkan adalah Spellbreak semestinya satu permainan pertempuran royale yang unik dan mengasyikkan. Dengan bentuk permainan dengan kombinasi magis yang pelbagai di campur pelbagai kemajuan yang pemain boleh dapati, permainan ini semestinya satu permainan multi-pemain yang unik.

Walaupun begitu, atas sebab mempunyai pelbagai kemajuan watak dengan kombinasi serangan dan peningkatan statistik, ia mungkin memerlukan pemain untuk sentiasa bermain untuk mahir di dalam permainan termasuklah terus bermain untuk mendapat pelbagai kemajuan-kemajuan lain untuk tingkatkan kuasa pemain.

Menariknya dengan sokongan rentas-platform dan juga pelancaran secara percuma, semestinya permainan ini mempunyai satu potensi yang baik untuk menjadi satu lagi permainan pertempuran royale yang bagus di pasaran. Akan tetapi, untuk mencapainya, Proletariat perlu sentiasa membawa lebih banyak kandungan tambahan buat permainan ini, untuk menarik minat lebih banyak pemain.

Penafian: Kod Akses Awal Spellbreak disediakan oleh Proletariat.

Spellbreak
Harga: Percuma
Campuran Dua Genre Magis Dan Pertempuran Royale Yang Unik Sebagai Satu Permainan Percuma.
Positif
Satu Permainan Pertempuran Royale Magis Yang Unik Dan Mengasyikkan.
Negatif
Kandungan Yang Masih Sedikit Dan Terlalu Mengharap Kemajuan Watak.
8

Sohor Kini