Pada bulan lepas, Bloomberg telah melaporkan yang Nintendo akan memperkenalkan model baharu untuk konsol Switch pada tahun hadapan. Model tersebut dikatakan antaranya menyertakan kuasa pemprosesan yang lebih tinggi serta menyokong grafik 4K.
Hari ini, berdasarkan laporan terbaru beberapa pembangun telah memberitahu Bloomberg yang Nintendo meminta mereka untuk membangunkan permainan yang menyokong resolusi 4K, berkemungkinan besar sebagai persediaan untuk model baharu tersebut.
Di dalam laporan yang sama, Nintendo juga telah meningkatkan produksi konsol Switch dan telah menaikkan jumlah sasaran jualan untuk tahun fiskal ini kepada 30 juta unit, iaitu peningkatan kali kedua selepas dipertingkatkan ke 25 juta unit Ogos lepas berbanding sasaran awal 19 juta unit.