Salah satu permainan yang sangat terkenal 20 tahun lalu di konsol PlayStation 1 semestinya siri permainan papan selaju, Tony Hawk’s Pro Skater di mana ia bukan sahaja salah satu permainan kesukaan ramai dengan jumlah skor yang tinggi di Metacritic, malah ia merupakan satu satu genre permainan yang mengubah industri permainan video ketika era itu dan meletak nama untuk sukan papan selaju.

Terkini, Activision dan Vicarious Vision membawa kembali permainan tersebut dengan satu permainan olahan semula berdasarkan permainan pertama dan kedua buat Tony Hawk’s Pro Skater dan ini adalah ulasan kami untuk permainan tersebut.

Visual Olahan Semula Yang Menawan, Tetapi Lebih “Ringan” Berbanding Versi Asal

Memandangkan permainan ini tidaklah mempunyai sebarang kandungan penceritaan, saya akan terus ke visual grafik permainan ini dan menyatakan ia adalah satu permainan olahan semula yang sangat baik sekali. Bukan sahaja keseluruhan visual dari segi watak, papan selaju dihasilkan semula dengan lebih terperinci, malah setiap lokasi “Skate Park” berdasarkan permainan asal juga menerima olahan semula yang sangat nyata dan pada masa yang sama kekal asli dengan permainan asal.

Perkara ini juga diterjemahkan dengan baik apabila anda mula melihat lokasi-lokasi Skate Park yang anda pernah bermain dahulu menjadi lebih meluas dan pada masa yang sama sangat terperinci, sekaligus membuatkan pengalaman permainan ini tidak berbeza berbanding 20 tahun lepas.

Salah satu lokasi yang agak mengejut pada pendapat saya adalah lokasi pusat membeli belah “Mall” yang mana melalui permainan ini, ia bertukar menjadi satu lokasi pusat membeli belah terbiar yang sangat berbeza berbanding permainan asal. Tetapi apa yang menariknya adalah Vicarious Vision masih lagi mengekal segala aspek utama lokasi tersebut dari segi segala kedudukan palang, tanjakan dan paip dengan hanya mengubah keadaan persekitaran sahaja. Dengan konsep ini, ia sekaligus membuatkan permainan ini berasa baru dan pada masa yang sama terbiasa buat peminat lama.

Walau bagaimana pun, jika terdapat satu aduan yang saya ingin nyatakan semestinya aspek ‘arah seni’ permainan ini yang berasa agak janggal pada saya sendiri. Ini adalah berkaitan di mana jika pemain jatuh, permainan ini membuang segala animasi pemain bangun semula dengan satu visual seakan memutar kembali pita.

Saya sendiri memahami kenapa mereka berbuat demikian atas sebab permainan ini adalah seakan satu imbas kembali ke permainan asal yang dilancarkan pada tahun 1999 lepas. Namun, untuk membuang animasi tersebut termasuklah aspek ‘ganas’ dengan watak pemain jatuh dan berdarah, ia sedikit sebanyak menghilangkan perasaan nolstagia saya sendiri untuk siri permainan Tony Hawk’s Pro Skater.

Semestinya ini hanyalah masalah kecil saya sendiri sahaja dan ia tidaklah merosakkan langsung keseluruhan permainan ini. Tetapi perubahan arah seni tersebut membuatkan citarasa permainan ini berasa agak berlainan berbanding permainan asal memandangkan perkara lain mereka mengolah-kan semula dalam keadaan tepat dan terperinci. Dengan perubahan ini, ia sedikit sebanyak berasa permainan ini agak ‘ringan’ berbanding siri asalnya dan sebagai seorang peminat siri Tony Hawk’s Pro Skater saya berasa agak kecewa kerana beberapa aspek ganas ataupun “Punk” di dalam siri permainan ini agak berkurangan. Namun untuk melancarkannya sebagai satu permainan buat semua lapisan umur, saya memahami mengapa Activision berbuat demikian.

Walaupun begitu, sepanjang sesi permainan saya, keseluruhan visual permainan ini boleh dikatakan satu surat cinta untuk peminat siri Tony Hawk’s Pro Skater dan saya boleh kata yang mana Vicarious Vision dan Activision betul-betul memberi kasih sayang terhadapnya ketika mengolah semula permainan yang berusia 20 tahun ini.

Kenangan Muzik Rock Dan Punk Tahun 90an

Dari segi audio, tidak banyak yang saya boleh katakan selain muzik-muzik yang tersedia boleh di katakan cukup bagus. Semestinya tidak kesemua muzik dari permainan asal Tony Hawk’s Pro Skater yang tiba di dalam permainan ini, namun berdasarkan apa yang disediakan, ia sudah memadai. Mereka juga menambah beberapa muzik oleh artis terkemuka seperti Machine Gun Kelly dan sebagainya.

Namun muzik seperti Superman oleh Goldfinger semestinya memberi pengalaman nostalgia buat saya sendiri ketika saat-saat saya bermain permainan Tony Hawk’s Pro Skater beberapa tahun lepas. Seperti kebanyakan permainan lain, anda juga boleh memilih senarai muzik yang anda ingin mainkan ketika sesi permainan melalui tetapan audio di dalam permainan ini.

Walaupun begitu, saya juga berharap agar mereka sertakan beberapa kandungan lain seperti lakonan suara latar yang lebih meluas ataupun kandungan audio lain. Akan tetapi, ia terhenti setakat itu sahaja tanpa sebarang kandungan tambahan mahupun sebarang adegan lain kecuali beberapa rakaman-rakaman berdasarkan sejarah papan selaju di Amerika Syarikat.

Kawalan Yang Kekal Klasik Namun Sempurna

Dari segi kawalan, saya boleh katakan permainan ini mengekalkan hampir 100% daripada kawalan permainan asal dan jika anda sendiri pernah bermain permainan Tony Hawk’s Pro Skater sebelum ini, anda sendiri pasti berupaya untuk bermain secara terus. Dari segi aspek membuat kemahiran “Grind” di palang sehinggalah kemahiran-kemahiran pegang dan selak, kesemuanya kembali di dalam permainan olahan semula ini.

Bagi anda yang tidak pernah bermain permainan papan selaju Tony Hawk’s Pro Skater, anda juga tidak perlu khuatir di mana permainan ini menyertakan mod pembelajaran asas yang amat berguna buat pemain baru dan juga pemain lama untuk membiasakan diri dengan kawalannya.

Namun, setelah anda mempunyai asas kawalan permainan, ia berasa agak senang dan seronok untuk dimainkan terutamanya ketika melakukan pelbagai kombinasi-kombinasi kemahiran dari segi kemahiran pegang, “Revert” sehinggalah fungsi berganda “Manual”.

Secara asasnya, permainan ini menyertakan tiga mod utama untuk anda mainkan sama ada mod karier iaitu mod solo, mod bermain secara bebas dan juga mod bermain secara multi-pemain.

Dari segi aspek mod karier, anda akan diberi masa dua minit untuk melengkapkan beberapa objektif permainan berdasarkan lokasi yang dipilih, terdiri daripada lokasi-lokasi daripada permainan pertama dan kedua Tony Hawk’s Pro Skater. Antara objektif yang anda perlu lakukan adalah seperti mendapatkan markah yang tinggi, mengutip abjad SKATE dan sebagainya seperti permainan asal. Setelah anda berjaya melengkapkan beberapa objektif, anda juga akan menyah-kunci lokasi seterusnya untuk terus lakukan perkara yang sama.

Boleh dikatakan permainan ini tidaklah begitu mendalam dari segi aspek bentuk permainan, namun sebagai satu permainan bergenre ‘arked’ ia adalah cukup memadai dengan apa yang Activision bawakan sebagai satu permainan olahan semula.

Dari segi mod bebas, ia sedikit sebanyak adalah satu mod yang membenarkan anda untuk terokai lokasi-lokasi di dalam permainan ini. Manakala mod multi-pemain pula adalah mod yang pemain boleh main bersama rakan atau pemain lain secara luar-talian ataupun di dalam talian. Mod ini juga menyertakan pelbagai bentuk-bentuk permainan seperti mod klasik Grafiti, mod markah tertinggi dan sebagainya, seperti mana permainan asal Tony Hawk’s Pro Skater.

Namun dukacitanya ketika sesi percubaan saya untuk mod multi-pemain di konsol PlayStation 4 Pro, ia sedikit sebanyak agak bermasalah seperti kadar bingkai sesaat yang agak rendah di campur beberapa saat permainan terlekat secara tiba-tiba. Akan tetapi, ia tidaklah terus menghentikan sesi permainan dan ia akan berlaku jika terdapat banyak pemain di dalam skrin sahaja.

Selain itu, Vicarious Vision juga menambah beberapa fungsi sistem ganjaran di mana setelah pemain maju di dalam permainan ini, pemain akan dapat pelbagai ganjaran seperti rekaan papan selaju tambahan, dan juga pakaian-pakaian yang pemain boleh gunakan untuk watak avatar pemain. Konsep ini sedikit sebanyak seakan permainan multi-pemain lain, namun atas sebab ia terhad kepada kosmetik sahaja, ia tidaklah memberi kesan terhadap keseluruhan permainan ini.

Tetapi, jika pemain bermain mod karier, pemain boleh mengutip nilai penaik-tarafan watak yang pemain boleh tetapkan untuk watak pemain untuk tingkatkan kemahirannya seperti keupayaan untuk melompat lebih tinggi, kawalan keseimbangan ketika meluncur dan sebagainya.

Dari segi keseluruhan permainan saya masih lagi boleh katakan permainan ini semestinya satu permainan yang sangat mencabar dan memerlukan anda untuk sentiasa berlatih untuk melakukan pelbagai kemahiran papan selaju. Apabila bercakap berkenaan cabaran permainan, ia berkaitan dengan proses pembelajaran untuk bermain permainan ini dan paling senang yang saya boleh simpulkan adalah Tony Hawk’s Pro Skater 1+2 mudah untuk dimainkan tetapi sukar untuk mahir.

Ini akibat terdapat pelbagai cabaran yang pasti akan menguji anda, terutamanya jika anda ingin dapatkan kandungan-kandungan tambahan seperti watak rahsia, mendapatkan markah tertinggi dan sebagainya untuk memperoleh pelbagai lagi ganjaran yang tersedia.

Walaupun begitu, saya masih lagi berpuas hati dengan apa yang Vicarious Vision cuba olah semula di dalam permainan ini, terutamanya dari segi kandungan yang akan saya terangkan di bawah.

Kandungan Dua Permainan Dalam Satu Yang Pelbagai

Seperti yang saya nyatakan di atas, permainan ini menyertakan dua permainan di dalam satu iaitu permainan Tony Hawk’s Pro Skater pertama dan kedua yang dilancarkan di PlayStation 1 pada tahun 1999 dan 2000. Walaupun kedua-dua permainan tersebut mengekalkan beberapa aspek kawalan yang sama, tetapi dari segi kandungan seperti lokasi, ia sekaligus menyertakan kedua-dua kandungan lokasi daripada permainan asal, sebanyak 19 lokasi yang mana pasti akan mengisi masa pemain bukan sahaja untuk menerokai kawasan tersebut malah melakukan pelbagai gerak geri papan selaju di dalamnya.

Seperti yang saya nyatakan di atas, permainan ini juga menyertakan kandungan multi-pemain sama ada secara dalam-talian ataupun luar-talian yang mana sangat seronok jika dimainkan secara bersama. Namun seperti yang saya nyatakan di atas, fungsi ini agak bermasalah dari segi kadar bingkai sesaat. Namun, ia masih lagi boleh dimainkan tanpa merosakkan keseluruhan permainannya.

Untuk menambahkan lagi kandungan, permainan ini juga menyediakan fungsi untuk menghasilkan pentas permainan “Skate Park” sendiri dan berkongsi dengan pemain lain secara dalam-talian. Fungsi ini sedikit sebanyak mengembangkan lagi kandungan dan lokasi yang pemain boleh terokai di dalam permainan ini dan pada masa yang sama, memberi cabaran buat pemain untuk menjadi seorang pemain papan selaju yang lebih baik.

Salah satu kesukaan saya berkenaan permainan ini juga semestinya adalah kandungan-kandungan rahsia lain yang tersembunyi berdasarkan kemajuan pemain. Ini juga memberi satu pengalaman ‘sasaran’ buat pemain untuk dapatkannya seperti watak rahsia yang menyertakan watak tetamu pelakon Hollywood terkenal yang pada masa yang sama adalah rujukan berdasarkan siri asal permainan Tony Hawk’s Pro Skater.

Kesimpulan

Pada pendapat saya, Tony Hawk’s Pro Skater 1+2 semestinya satu permainan olahan semula yang sangat baik memandangkan ia adalah berdasarkan permainan yang dilancarkan lebih dari 20 tahun lepas. Dengan penyertaan dua kandungan permainan di dalam satu permainan yang sama, ia juga berasa sangat berbaloi dan pelbagai terutama buat mereka yang pernah bermain kedua-dua permainan asal tersebut.

Di campur juga dengan kawalan yang lancar dan pelbagai kandungan tambahan seperti menghasilkan watak Skater sendiri, hasilkan pentas permainan “Skate Park” anda sendiri bersama dengan sistem peringkat dengan pelbagai ganjaran, permainan ini boleh dikatakan satu permainan lengkap untuk permainan video berdasarkan sukan papan selaju.

Akan tetapi, untuk menyesuaikan beberapa aspek pemain untuk semua lapisan umur, permainan ini juga mengubah beberapa arah visual permainan ke arah yang lebih umum di mana ia menyebabkan hilang citarasa siri Tony Hawk’s Pro Skater beberapa tahun lepas. Namun, seperti yang saya nyatakan di atas, ia tidak sama sekali merosakkan sebarang aspek permainan ini tetapi hanya mengubah persepsi nostalgia saya sendiri sahaja.

Penafian: Kod ulasan Tony Hawk’s Pro Skater 1+2 disediakan oleh Activision.

Tony Hawk's Pro Skater 1+2
Harga RM175
Kembalinya Kegemilangan Permainan Video Papan Selaju Dengan Nolstagia Yang Pasti Akan Menggamit Memori Pemain Siri Klasik Tony Hawk
Bentuk
10
Grafik
10
Audio
10
Kandungan
10
Positif
Permainan Olahan Semula Yang Baik Dengan Kawalan Kekal Dari Permainan Asal Bersama Kanudngan Yang Pelbagai.
Negatif
Arah Visual Yang Agak Umum Dengan Masalah Kadar Bingkai Sesaat Untuk Mod Multi-Pemain.
10

Sohor Kini