Ary And The Secret Of Seasons merupakan permainan pengembaraan platformer oleh Fishing Cactus dan ia diterbitkan oleh Modus Games. Ia dilancarkan pada 1 September 2020 lepas di konsol dan PC. Hari ini, kami berpeluang untuk mengulas permainan ini di konsol PlayStation 4 Pro dan ini adalah ulasan kami untuk Ary And The Secret Of Seasons.

Penceritaan Yang Menarik Dengan Bentuk Platformer Tekaria Yang Unik

Ary And The Secret Of Seasons merupakan satu permainan pengembaraan platformer yang mana ia memfokuskan pemain untuk bermain sebagai gadis bernama Aryelle di mana beliau mengembara di dunia yang penuh dengan fantasi magis, iaitu Valdi.

Pengembaraan beliau bermula di mana perkampungan rumah beliau diserang oleh kristal yang jatuh dari langit, dan menyebabkan musim sejuk di kampungnya bertukar ke musim panas, sekaligus membuatkan keadaan menjadi huru-hara. Oleh sebab itu, Ary mengambil keputusan untuk menyelamatkan keadaan dengan menggunakan kuasa kristal keluarga beliau untuk kembalikan keadaan seperti biasa.

Perkara pertama yang saya harus puji berkenaan permainan ini semestinya adalah penceritaan dan pelbagai watak yang sangat mengasyikkan. Bukan sahaja permainan ini mempunyai penceritaan naratif pengembaraan yang unik, malah pelbagai watak yang pemain temui sepanjang pengembaraan pemain juga sangat unik, seakan satu siri kartun animasi Disney.

Saya juga menyukai bentuk platformer permainan ini di mana ia memfokuskan pemain untuk menukar musim persekitaran sama ada musim sejuk, panas, bunga ataupun luruh. Konsep ini juga adalah sangat unik yang mana pemain hanya perlu menekan butang dpad untuk menukar satu persekitaran tersebut kepada musim lain. Namun, ia semestinya mempunyai hadnya tersendiri untuk pemain lakukan, namun dengan menggunakan kemahiran tersebut, pemain juga perlu bijak memilih lokasi dan masa untuk melakukannya.

Dari segi bentuk pertempurannya, permainan ini sedikit sebanyak mengingatkan kami akan siri permainan The Legend Of Zelda, terutamanya Wind Waker di mana pemain boleh mengunci ke arah musuh untuk menyerang dan mengelak serangan mereka. Namun dari segi asas pertempuran, ia tidaklah mempunyai sebarang aspek kemahiran yang mendalam.

Rekaan Visual Menawan, Tetapi Terlalu Banyak Pepijat

Seperti yang saya katakan di atas, permainan ini mempunyai satu dunia yang sangat meluas dan pelbagai watak di mana setiap satunya mempunyai rekaan yang sangat menawan, dicampur juga pelbagai adegan permainan yang sangat kelakar dan menyentuh hati. Akan tetapi, ia terhad kepada rekaan watak utama ataupun watak-watak yang memfokuskan penceritaan utama sahaja, atas sebab kebanyakan watak-watak lain hanyalah ulangan aset model sahaja.

Walaupun begitu, apa yang membuatkan permainan ini agak mengecewakan adalah beberapa pepijat yang merosakkan beberapa sesi permainan. Dicampur pula dengan masalah visual yang agak menjengkelkan, permainan ini boleh dikatakan satu permainan yang tidak siap.

Salah satu pepijat utama adalah ketika bertempur di mana beberapa fungsi untuk mengelak dan menyerang agak tidak tepat dan menyebabkan pemain sering tumpas di tangan musuh. Walaupun titik semak permainan ini agak mudah, tetapi atas sebab masalah tersebut, ia sedikit sebanyak membuat sesi permainan menjadi kurang menyeronokkan.

Satu Pengembaraan Yang Unik Dan Penuh Mesra

Apa yang saya boleh simpulkan, Ary And The Secret Of Seasons semestinya satu permainan pengembaraan yang unik dan penuh mesra dengan dunia yang sangat menawan dicampur dengan pelbagai watak yang menarik. Ia bukan sahaja mempunyai bentuk permainan unik yang membenarkan pemain untuk menukar musim sesuatu lokasi, malah ia juga mempunyai beberapa tekaria yang mencabar dan memerlukan pemain untuk berfikir.

Namun atas sebab beberapa masalah pepijat bersama dengan visual permainan yang menyebabkan pengalaman permainan saya sendiri terbantut, ia membuatkan permainan ini berasa agak rosak.

Walaupun begitu, atas sebab permainan ini adalah satu permainan berkelaskan indie, semestinya saya sendiri memahami kos pembangunan yang agak rendah berbanding permainan lain. Oleh sebab itu, saya percaya jika permainan ini diberi sedikit masa untuk membaiki segala masalahnya, ia pasti akan jadi satu permainan pengembaraan yang sangat menarik dan comel. Namun buat masa ini, ia boleh dikatakan hanyalah satu permainan indie dengan asas yang baik, tetapi implikasi yang agak mengecewakan.

Penafian: Kod ulasan Ary And The Secret Seasons disediakan oleh Modus Games.

Ary And THe Secret Of Seasons
HARGA: RM129
Ary And The Secret Of Seasons satu permainan pengembaraan yang unik dan penuh mesra dengan dunia yang sangat menawan dicampur dengan pelbagai watak yang menarik.
Positif
Penceritaan Yang Menarik Dengan Bentuk Platformer Tekaria Yang UNik.
Negatif
Terlalu Banyak Pepijat Visual Dan Permainan Yang Menyebabkan Beberapa Masalah Sesi Permainan.
7

Sohor Kini