Skip to main content

The Outer Worlds dikatakan adalah satu permainan yang menjadi “penyelamat” untuk pemain yang ternanti-nanti permainan Fallout yang baharu selepas kegagalan Fallout 76. Dibangunkan oleh Obdsidian Entertainment iaitu pembangun untuk Fallout: New Vegas ia dikeluarkan pada 25 Oktober 20.

Melalui ulasan ini, saya akan melakukan ulasan secara amnya untuk The Outer Worlds, dan akan disertakan juga satu bahagian khas untuk DLC yang akan tiba pada 10 September ini iaitu Peril on Gorgon.

Penceritaan Mendalam Dan Menarik

Saya boleh katakan, walaupun dengan harapan yang tinggi, permainan ini tidak mengecewakan. The Outer Worlds berjaya membawa saya kembali merasai perasaan yang membuatkan saya menyukai siri-siri permainan Fallout, dan saya boleh katakan mereka melakukannya dengan membawa penceritaan yang mendalam dan menarik.

Di dalam permainan ini, pemain akan bermula sebagai satu watak yang baru sedar dari tidur-‘cyro’, anda dibangunkan oleh seorang saintis bernama Phineas Welles. Anda merupakan seorang daripada sekumpulan manusia yang sedang tidur “cryo” di dalam kapal Hope untuk mencari tempat tinggal baharu. Anda diminta oleh Phineas untuk mencari sumber agar dapat membangunkan manusia-manusia lain. Bermulalah pengembaraan pemain di sistem solar Halcyon di mana tidak lama kemudian diperlihatkan pelbagai masalah yang hadir di sistem solar tersebut.

Saya sangat menyukai penceritaan serta rekaan dunia dan watak yang disertakan. Walaupun ia adalah aneh tetapi kerana keseluruhan direka dengan tema serta gaya yang sama, saya boleh menerima apa sahaja yang berlaku dan tiada satu pun terasa terlalu janggal. Permainan ini juga memberi pelbagai pilihan kepada pemain untuk menyelesaikan sesuatu misi mengikut apa yang pemain rasakan terbaik. Setiap pilihan yang diberi ada dilakukan dengan baik tetapi ada juga yang terasa kosong dan tidak membawa perbezaan yang besar.

Misi utama serta misi sampingan yang disertakan dilakukan dengan baik untuk memastikan ia menarik dan tidak terasa bosan untuk dilakukan. Namun, saya boleh katakan pemain tidak boleh mengharapkan sesuatu yang lebih terbuka seperti siri Fallout ataupun permainan dunia terbuka yang lain, kerana kandungan di dalam permainan ini tidak bercabang dengan luas dan saya mengambil lebih kurang 30 jam sahaja untuk menghabiskan segalanya.

Sistem RPG Dan Pertempuran Ringkas Tetapi Mencukupi

Terdapat 4 tahap kesukaran iaitu Story, Normal, Hard dan Supernova, selepas menghabiskannya di tahap Normal, saya boleh katakan anda harus sekurang-kurangnya menggunakan tahap Hard kerana dua lagi terlalu mudah yang membuatkan pertempuran tidak se-menarik daripada sepatutnya.

Sistem peningkatan tahap seharusnya terasa biasa untuk pemain yang pernah bermain Fallout, terdapat dua jenis tahap iaitu Skills dan Perks. Skill adalah stat yang boleh ditambah, setiapnya mempunyai kelebihan tersendiri seperti penggunaan senjata ataupun pilihan dialog. Perks pula adalah kebolehan yang boleh dinyah-kunci. Oleh kerana anda boleh reset kesemua skills dan perks, jangan terlalu risau untuk meletakkan ke skills ataupun perks yang terasa berguna. Secara keseluruhannya, ia dilakukan dengan ringkas tetapi mencukupi untuk pemain menghasilkan watak mengikut gaya pemain.

Pemain juga boleh mencari Companion, iaitu seramai 5 orang dan setiap dari mereka mempunyai jalan cerita tersendiri dan kelebihan serta kuasa tersendiri jika pemain bawa bersama. 2 companion pada satu masa boleh di bawah semasa mengembara. Walaupun permainan ini boleh dihabiskan secara solo, akan tetapi dengan adanya companion ia menjadi lebih menarik dan tidak terasa terlalu kosong. Mereka juga akan memberi pendapat untuk setiap pilihan anda, tambahan perwatakan mereka sangat berlainan dan membuatkan saya sentiasa ingin mencuba untuk melakukan misi dengan setiap daripada mereka.

Sistem pertempuran pula ia adalah apa yang anda boleh harapkan daripada permainan menembak sudut pandangan orang pertama, pilihan senjata adalah pelbagai termasuk juga melee. Setiap jenis senjata mempunyai jenis serangan berbeza yang lebih berkesan berbanding jenis-jenis penjahat tertentu. Pemain juga boleh meningkatkan tahap senjata dan melakukan pelbagai penambahan. Keseluruhannya, ia adalah sistem pertempuran yang baik, tetapi tidak membawa sesuatu yang baharu berbanding permainan lain. Sistem “slo-mo” juga kurang berkesan jika ingin dibandingkan dengan sistem V.A.T.S di dalam Fallout.

Grafik Biasa Dengan Masalah Prestasi

Sebagai permainan dunia terbuka ia tidaklah mempunyai grafik fideliti tinggi, tetapi ia sudah cukup baik untuk memberi serta memperlihatkan identiti tersendiri bagi permainan ini. Rekaan persekitaran di setiap planet berbeza dipelbagaikan untuk memberi perasaan “penemuan” kepada pemain.

Rekaan watak tidak kira manusia ataupun haiwan-haiwan liar juga sama seperti rekaan persekitaran, ia mempunyai keunikan tersendiri dan berjaya mencipta kelainan untuk setiap kumpulan ataupun spesis. Namun, jumlah tidak banyak dan pada separuh permainan lagi sudah terasa berulang.

Manakala untuk keperluan grafik bagi PC pula, saya boleh katakan ia memerlukan spesifikasi sederhana sahaja. Namun, walaupun apa pun tetapan saya mendapati yang kadar kelancaran tidak stabil dan sering naik turun terutama semasa melalui kawasan yang mempunyai banyak aset. Pemuatan aset juga tidak sekata walaupun saya menggunakan storan SSD.

DLC Peril on Gorgon

Peril on Gorgon merupakan DLC penambahan pertama daripada dua yang dirancangkan. Ia akan tiba pada 11 September ini. DLC ini akan membawa pemain ke satu kawasan baharu iaitu Gorgon. Pemain telah diminta oleh Minnie Ambrose untuk menyiasat mengenai makmal rahsia di Gorgon yang mengalami kegagalan.

Penceritaan di dalam DLC ini berlaku sebelum kejadian akhir permainan asas, oleh itu anda tidak perlu menghabiskan terlebih dahulu permainannya untuk bermain DLC ini. Ia boleh dianggap sebagai penambahan misi sampingan. Ia cukup baik, memberi pengalaman sama dengan misi-misi di dalam permainan asas, namun ia tidak membawa sebarang perubahan utama, sekadar perkara yang sama sahaja. Secara keseluruhan saya mengambil masa 8 jam untuk mencuba kesemua kemungkinan pengakhiran.

Jika anda menyukai kandungan yang disertakan di dalam permainan asas, saya sangat syorkan DLC ini. Namun, oleh kerana saya merasakan kandungan untuk permainan asas tidak cukup, saya lebih merasakan yang DLC ini sepatutnya adalah sebahagian daripadanya.

Penafian: Kod ulasan The Outer Worlds dan DLC Peril on the Gorgon disediakan oleh Private Division

The Outer Worlds
Rumusan
The Outer Worlds adalah satu permainan RPG dunia terbuka yang sangat baik. Menyertakan rekaan dunia, watak dan penceritaan yang menarik. Namun, penceritaan asas yang disertakan sangat terhad, dan tambahan hanya disertakan melalui DLC berbayar.
Positif
Rekaan Dunia dan Watak Yang Baik
Penceritaan Yang Menarik
Negatif
Kandungan Permainan Asas Terhad
Tambahan Hadir Sebagai DLC Berbayar
8

Leave a Reply