Perbandingan Antara Xbox Series X Dan Xbox Series S

Microsoft akhirnya mengumumkan secara rasmi segala maklumat mengenai konsol generasi mereka, walaupun bukan secara rela. Menurut ketua Xbox iaitu Phil Spencer, mereka sepatunya melakukan pengumuman ini pada minggu hadapan tetapi oleh kerana tertiris mereka mengambil keputusan untuk mengumumkannya lebih awal.

Apapun, kita akhirnya mendapat tarikh dan juga harga untuk konsol generasi baharu, Sony semasa penulisan ini masih tidak melakukan sebarang pengumuman, melainkan tertiris kita mungkin perlu menunggu sekurang-kurangnya seminggu lagi.

Seperti Sony, Microsoft turut mengumumkan dua konsol berbeza iaitu Xbox Series X dan Xbox Series S, namun satu perbezaan ketara antara PlayStation 5 Digital Edition dan Xbox Series S adalah Series S mempunyai spesifikasi yang jauh lebih rendah berbanding Series X, sedangkan PlayStation 5 Digital Edition sekadar tidak mempunyai pembaca optik.

Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Xbox Series X dan Xbox Series S;

Xbox Series X Xbox Series S
CPU 8-core AMD Zen 2 CPU @ 3.8GHz (3.6GHz dengan SMT) 8-core AMD Zen 2 CPU @ 3.6GHz (3.4GHz dengan SMT)
GPU 12 TFLOPS, 52 CUs @ 1.825 GHz Custom RDNA 2 GPU 4 TFLOPS, 20 CUs @ 1.56 GHz Custom RDNA 2 GPU
RAM 16GB GDDR6 RAM
10GB @ 560 GB/s
6GB @ 336 GB/s
10GB GDDR6 RAM
8GB @ 224GB/s
2GB @ 56GB/s
Sasaran Prestasi 4K @ 60 FPS, Sehingga 120 FPS 1440p @ 60 FPS, Sehingga 120 FPS
Storan 1TB NVME SSD
2.4GB/saat Tidak Mampat
4.8GB/saat Mampat
512GB NVME SSD
2.4GB/saat Tidak Mampat
4.8GB/saat Mampat
Storan Tambahan 1TB Expansion Card 1TB Expansion Card
Pembaca Cakera 4K UHD Blu-ray Digital Sahaja
Harga $499 (~RM2078) $299 (~RM1245)

Sasaran Prestasi

Sebagai konsol generasi baharu Xbox Series X semestinya cuba menjadi konsol dengan prestasi terbaik di mana mereka mensasarkan resolusi 4K dengan kadar kelancaran 60FPS, dan akan menyokong sehingga 120FPS untuk tetapan berlainan. Manakala Xbox Series S pula mensasarkan 1440p dengan kadar kelancaran 60FPS dan akan menyokong sehingga 120FPS untuk tetapan berlainan.

Dengan kata lain, Xbox Series S menggantikan Xbox One X manakala Xbox Series S pula menggantikan Xbox One S. Persoalan yang timbul mungkin adakah Xbox Series S lebih berkuasa berbanding Xbox One X?

Di atas kertas boleh dikatakan ya, Xbox Series S mempunyai spesifikasi yang lebih berbanding Xbox One X dan secara langsungnya PlayStation 4 Pro, walaupun ia mempunyai “nombor” yang kurang jika ingin melihat kepada jumlah Teraflops iaitu 4 untuk Xbox Series S dan 6 untuk Xbox One X. Begitu juga RAM, 10GB untuk Xbox Series S dan 12GB untuk Xbox One X.

Namun, perlu dilihat juga yang Xbox Series S mempunyai GPU yang lebih berkuasa berbanding Xbox One X walaupun jumlah Teraflops yang lebih sedikit, manakala RAM pula, Xbox Series S menggunakan GDDR6 berbanding GDDR5 walaupun mempunyai jumlah memori yang lebih sedikit tetapi ia adalah lebih pantas.

Berbalik kepada perbandingan di antara Xbox Series X dan Xbox Series S sudah jelas yang Xbox Series X adalah konsol dengan spesifikasi terbaik, manakala Xbox Series S adalah konsol yang mensasarkan pengguna yang tidak mementingkan resolusi dan sudah boleh menerima 1080p ataupun 1440p.

Oleh kerana Xbox Series S turut menerima segala kelebihan generasi baharu seperti storan menggunakan SSD dan juga penstrukturan sistem yang lebih baik, ia juga akan mendapat kelebihan seperti pemuatan pantas dan juga penukaran permainan dengan pantas.

https://www.youtube.com/watch?v=fYtJWIxt3-M

Microsoft ada mengatakan yang mereka telah menyediakan pelbagai peralatan untuk memudahkan pembangun untuk membangunkan permainan buat Xbox Series X tetapi pada masa sama memastikan ia dapat dimainkan dengan baik di Xbox Series S. Walaupun begitu, Microsoft tidak menolak yang ada kemungkinan sesuatu permainan hanya dikeluarkan untuk Xbox Series X sahaja, tetapi bukan dalam masa terdekat ini.

Sasaran Pengguna

Jika anda mementingkan permanian dengan resolusi sehingga 4K dan inginkan konsol yang benar-benar generasi baharu, Xbox Series X sudah semestinya adalah pilihan utama, jika anda sanggup untuk membayar harga $499. Oleh kerana ia adalah harga yang sama semasa Xbox One X dilancarkan, kami boleh katakan yang harga itu tidak akan mengejutkan ramai pemain bahkan kita tidak boleh katakan yang ia “terlalu mahal”.

Bagi pemain yang sebelum ini sudah bersedia untuk membeli Xbox One X tetapi mengambil keputusan untuk menunggu konsol generasi baharu, Xbox Series X adalah satu pembelian yang sudah semestinya lebih baik.

Bagi pemain yang lebih kasual dan tidak ingin berbelanja lebih, Xbox Series S adalah satu konsol yang menarik. Seperti saya terangkan di atas walaupun mengorbankan keupayaan dari segi prestasi tetapi dengan harga $299 ia adalah satu konsol yang berbaloi. Tambahan ia juga mempunyai fungsi lain seperti penstriman Netflix dan Youtube, menjadikan ia satu sistem hiburan rumah yang mungkin lebih baik jika ingin dibandingkan dengan set kotak TV lain contohnya Apple TV.

Xbox Series S mungkin tidak menggambarkan “konsol generasi baharu” tetapi ia tetapi satu konsol penting generasi akan datang sebagai pilihan terbaik untuk lebih ramai pengguna.


Walaupun kita masih lagi menantikan pengumuman lanjut oleh Sony untuk PlayStation 5 mereka, akan tetapi kami boleh mengatakan yang “peperangan” generasi baharu ini sudah nampak sangat berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini. Dengan jelas kita boleh katakan Sony, Microsoft dan juga Nintendo masing-masing mempunyai strategi serta sasaran tersendiri.

Bagaimana dengan pendapat anda? Adakah spesifikasi Xbox Series X walaupun dengan harga $499 lebih berbaloi berbanding Xbox Series S dengan harga $299?

Sohor Kini