Xbox Series S Diumumkan Secara Rasmi – Harga Jualan $299

Kemaskini: Selepas tertiris, Xbox akhirnya mengumumkan secara rasmi Xbox Series S termasuk juga dengan harga iaitu $299. Maklumat lanjut untuk konsol tersebut akan dikongsi kemudian. Namun, mereka mengatakan ia adalah konsol Xbox terkecil pernah dihasilkan.

Melalui video untuk Xbox Series S yang tertiris, telah disahkan yang konsol tersebut akan menyokong resolusi sehingga 1440p dengan kelancaran 120FPS manakala untuk resolusi lebih tinggi iaitu 4K akan menggunakan teknologi Upscaling. Ia akan hadir dengan storan 512GB SSD dan menyokong penstriman 4K.

Artikel Asal: Kehadiran Xbox Series S sudah disahkan melalui kotak untuk alat kawalan bagi konsol tersebut, namun kita masih tidak diperlihatkan rekaannya. Buat masa ini, apa yang kita tahu ia tidak akan mempunyai pembaca cakera optik dan mempunyai spesifikasi yang lebih renda.

Hari ini, Brad Sams iaitu pemberita untuk Thurrot telah berkongsi video/gambar yang dikatakan sebagai Xbox Series S. Bersamanya juga diperlihatkan harga penawaran yang dikatakan $299 (~RM1300).

Penganalisa industri permainan video Daniel Ahmad juga mengatakan yang ia adalah rekaan betul untuk Xbox Series S tetapi beliau tidak sahkan harga tersebut.

Xbox Series S adalah berbeza dengan PlayStation 5 Digital Edition, di mana Sony hanya tidak menyertakan pembaca cakera optik tetapi spesifikasi adalah sama. Xbox Series S pula selain tiada cakera optik ia juga mempunyai spesifikasi yang jauh lebih rendah. Jelas memperlihatkan strategi berbeza antara dua pengeluar konsol tersebut.

Oleh kerana ini adalah tertiris dan bukan pengumuman rasmi oleh Microsoft, jadi kami tidak boleh katakan ia adalah sah lagi.

Sohor Kini