Skip to main content

Hadir sejak tahun 1981 lagi, Captain Tsubasa adalah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia juga telah menerima pelbagai jeni permainan video. Namun, selain permainan untuk platform mudah alih, permainan terakhir untuk konsol rumah adalah 14 tahun lepas iaitu Captain Tsubasa: A 2006 untuk PlayStation 2.

Tamsoft dan Bandai Namco melalui Captain Tsubasa: Rise of New Champions cuba membawa pembaharuan kepada permainan video untuk siri ini, dengan konsep bola sepak yang unik, ia bukanlah satu kerja yang mudah untuk mereka. Adakah mereka berjayar? Berikut adalah ulasan saya untuk Captain Tsubasa: Rise of New Champions.

Usaha Yang Baik Tetapi Kurang Berjaya

Captain Tsubasa: Rise of New Champions adalah permainan video bola sepak. Perkara yang penting adalah bentuk permainan bola sepak yang disertakan, dan saya boleh katakan mereka melakukan satu usaha yang baik untuk menyertakan keunikan siri Captain Tsubasa tetapi akhirnya ia menjadikan sesi permainan yang membosankan.

Kawalan terasa berlainan jika ingin dibandingkan dengan permainan bola sepak lain, walaupun jika dibandingkan dengan permainan arked seperti FIFA Street. Pemain dapat mengawal dengan bebas, tetapi terasa terhad. Hantaran juga terasa sangat “dibantu” yang ada masanya memberi lebih masalah berbanding bantuan. Paling kurang baik adalah kamera yang digunakan, ia terlalu mengikut bola secara dekat (walaupun menggunakan tetapan lain) yang mengakibatkan perlu terlalu bergantung kepada radar.

Perlawanan juga lebih memfokuskan kepada pemain mengelak dari tackle di mana terdapat dua jenis tackle dan dua jenis mengelak. Contohnya menggunakan PS4, R1 adalah Dash, sebagai pertahanan anda perlu juga menekan R1 untuk merampas bolah, manakala R2 adalah Dribble dan pertahanan perlu menekan R2 untuk R2 untuk merampas bola. Jadi semasa perlawanan pemain tidak kira semasa menyerang ataupun bertahan perlu memilih gerakan yang terbaik. Sesetengah watak akan mempunyai pergerakan istimewa yang lebih baik berbanding gerakan biasa.

Manakala untuk Shoot pula, pemain perlu tekan dan tahan butang Shoot iaitu segi empat di PS4, sehingga bar penuh untuk kekuatan maksima. Arah tidak berapa penting asalkan ke-arah pintu gol. Seperti gerakan sesetengah pemain juga mempunyai sepakan yang lebih baik berbanding sepakan biasa. Penjaga gol akan mempunyai bar tersendiri, setiap kali dia menghalang satu percubaan, bar akan berkurang, apabila ia kosong, tendangan seterusnya tidak akan diselamatkan. Bar akan diisi semula selepas bolos dan juga separuh masa kedua.

Secara keseluruhan saya merasakan satu sesi perlawanan adalah melakukan gerakan mengelak, dan menendang ke arah pintu gol sehinggalah bar penjaga gol kosong. Tidak kira bermain dengan AI ataupun pemain lain. Ia membuatkan sesi perlawanan cepat membosankan. Saya boleh katakan cubaan untuk membawa keunikan bola sepak Captain Tsubasa sebagai permainan video, terasa seperti menghasilkan filem aksi nyata untuk anime, ia tidak membawa perasaan yang sama.

Surat Cinta Untuk Peminat Siri Captain Tsubasa

Namun, perkara yang sedikit baik disertakan di dalam permainan ini adalah pelbagai kandungan yang memfokuskan kepada penceritaan untuk siri Captain Tsubasa. Jika anda meminati siri ini, ia adalah perkara yang menyeronokkan untuk melihatnya.

Permainan ini mempunyai satu mod yang memfokuskan kepada permainan solo dan bersamanya disertakan penceritaan iaitu The Journey. Ia dibahagi kepada dua iaitu Episode: Tsubasa dan Episode: New Hero.

Episode: Tsubasa akan memfokuskan kepada watak Tsubasa sendiri, di mana sebelum berhijrah ke Brazil, beliau ingin memenangi kejohanan sekolah menengah bersama dengan pasukan Nankatsu SC. Selain itu, penceritaan juga memfokuskan kepada watak-watak lain seperti Kojiro Hyuga, Ken Wakashimazu, Jun Misugi dan Hikaru Matsuyama.

Kemajuan penceritaan adalah mengikut perlawanan pasukan Tsubasa, di mana pemain perlu menang. Dengan setiap kemajuan, pemain juga akan nyah video untuk kisah-kisah lama Tsubasa. Secara keseluruhan mod ini adalah menarik untuk penceritaan, walaupun ada masa ia mungkin mempunyai dialog yang terlalu panjang serta rekaan adegan yang membosankan. Tambahan, mereka juga menyertakan adegan semasa perlawanan yang sangat mengganggu pengalaman bermain.

Episode: New Hero pula akan mengikut watak yang dicipta oleh pemain tersendiri. Pemain juga boleh memilih untuk menyertai satu daripada tiga pasukan iaitu Furano, Musashi dan Toho Academy. Penceritaan bergantung kepada sekolah yang dipilih tetapi secara keseluruhan ia memfokuskan kepada kejohanan khas di anjurkan untuk mencari pemain terbaik untuk mewakili Jepun di kejohanan remaja dunia.

Seperti Episode: Tsubasa, ia juga dimajukan melalui perlawanan, tetapi di dalam mod ini, pemain boleh mengembangkan watak dengan memilih kebolehan, meningkatkan tahap dan pelbagai lagi. Ini akan memberikan pemain lebih banyak perkara untuk dilakukan. Oleh itu, Episode: New Hero lebih menarik jika ingin dibandingkan dengan Episode: Tsubasa. Secara keseluruhan, anda boleh menghabiskan 7 hingga 8 jam untuk menghabiskan kedua-dua Episode.

Mod Dalam Talian Mencukupi Untuk Mengisi Masa

Anda boleh bermain secara setempat ataupun dalam talian, sama ada untuk perlawanan biasa 1v1/2v2 ataupun Division Matches. Mod paling menarik sudah semestinya Division Matches di mana pemain boleh menghasilkan pasukan tersendiri dan menggunakan pemain-pemain tersedia berdasarkan had kos yang diberikan.

Semasa percubaan saya, agak mudah untuk mencari lawan, dan kualiti perlawanan juga memuaskan tanpa sebarang lagging ataupun pemain tidak responsif. Namun, ia kembali kepada sama ada anda menyukai ataupun tidak bentuk permainan bola sepak di dalam permainan ini. Bagi saya yang kurang menggemarinya membuatkan saya tidak terlalu ingin untuk bermain, walaupun melawan pemain lain yang sudah semestinya lebih mencabar berbanding melawan A.I

Penafian: Kod ulasan Captain Tsubasa: Rise of New Champions disediakan oleh Bandai Namco

Captain Tsubasa: Rise of New Champions
Rumusan
Captain Tsubasa: Rise of New Champions adalah satu permainan menarik tetapi tidak cukup memuaskan untuk membuatkan saya ingin meluangkan masa yang lebih bermain. Saya boleh syorkan bagi yang sekadar ingin mencuba, kerana melakukan segala kebolehan adalah menarik tetapi hanya apabila ia dijual dengan harga diskaun yang besar
Positif
Aksi Menarik Untuk Peminat Siri Captain Tsubasa
Dua Kempen Permainan Yang Baik
Negatif
Bentuk Permainan Yang Membosankan
Kandungan Terasa Berulang
6

Leave a Reply

Final Score