Kementerian Teknologi Elektronik dan Informasi India telah mengumumkan pengharaman lebih 100 aplikasi yang dikatakan telah mengambil data dan disimpan di pelayan luar India. Antara aplikasi yang diharamkan adalah PUBG Mobile, AFK Arena, Marvel Superwar, Arena of Valor dan Rise of Kingdoms. Anda boleh baca senarai penuh di pautan ini.
Walaupun mereka mengatakan ia adalah untuk menjaga privasi, akan tetapi berdasarkan kenyataan oleh penganalisa industri permainan video Daniel Ahmad, terdapat aplikasi yang walaupun tidak menggunakan data dan menyimpan data dengan betul, ia juga diharamkan.
Tambah beliau lagi, keputusan ini dibuat berkemungkinan kerana pertelingkahan di antara India dan China yang mencetus ketegangan di sempadan dua negara tersebut. Ini boleh dikatakan perkara yang sama berlaku di antara Amerika Syarikat dan China untuk aplikasi TikTok contohnya.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri India Narendra Modi pada bulan lepas juga telah mengatakan yang pembangun tempatan seharusnya membangunkan permainan video berdasarkan budaya mereka. Dengan pengharaman sebilangan permainan utama, ia sudah semestinya dapat menjadi batu loncatan untuk pembangun tempatan.
Pengharaman permainan video adalah satu perkara yang tidak seharusnya digalakkan, terutama jika alasan diberi tidak kukuh. Apa pendapat anda?