Justice League adalah filem adiwira dalam dunia DCEU yang tiba ke layar perak pada tahun 2017. Filem ini adalah mengumpulkan adiwira seperti Superman, Batman, Wonder Woman, The Flash, Cyborg dan Aquaman dalam satu filem. Tetapi filem ini menerima tindak balas negatif, jalan cerita bosan serta tidak mempunyai pengalaman menonton yang menarik.

Ini kerana, filem ini telah melalui perubahan skrip serta penggambaran semula di saat akhir. Asalnya, filem ini diarahkan oleh Zack Snyder tetapi disebabkan masalah keluarga – Joss Whedon telah mengambil alih dan mengubah filem ini mengikut idea beliau. Ini menimbulkan persoalan, bagaimana agaknya jika Zack Snyder siapkan filem ini? Adakah jalan cerita berlainan? Adakah lebih menarik? Apa bezanya?

https://www.youtube.com/watch?v=z6512XKKNkU

Disebabkan ramai yang meminati filem DC dan karya Zack Snyder, satu petisyen serta tanda tagar #ReleaseSnyderCut telah tular. Peminat hanya meminta Warner Bros. keluarkan suntingan pengarah (Snyder) untuk filem ini. Walaupun ramai yang memohon, ia tidak diendahkan oleh mereka. Hanya pada tahun ini, akhirnya Warner Bros. mendengar kata peminat dan Zack Snyder akan menyiapkan filem Justice League dari idea dan perspektif beliau.

Disebabkan itu, anda semua perlu tonton filem ini di HBO Max atau HBO GO Asia. Kenapa?


Karya Zack Snyder

Idea asal Zack Snyder untuk filem Justice League adalah sangat berbeza dengan yang Joss Whedon hasilkan. Malah untuk filem ini akan datang, Zack tidak akan gunakan langsung mana-mana bahagian yang digunakan oleh Joss Whedon. Kesemua bahagian dalam The Snyder Cut of Justice League, adalah hasil karya Zack Snyder sendiri. Salah satu karya Zack adalah untuk mengolah semula adegan kematian Superman dalam filem Batman V Superman: Dawn of Justice.

Ini kerana ia akan memberi impak berbeza melalui perspektif lain. Ia adalah seperti adegan Bruce Wayne melihat Superman sedang bertempur dengan Zod dalam filem Batman V Superman. Bukan itu sahaja, dalam filem ini turut akan ada perspektif Lois Lane melihat bagaimana Superman mati yang akan memberi impak dalam filem Justice League suntingan Zack ini.

Sejarah Watak Yang Lebih Baik

Dalam versi akhir Justcie League, banyak adegan The Flash dan Cyborg dipotong. Jadi dalam suntingan Snyder, latar belakang Cyborg akan diceritakan. Jika anda ingat kembali, Cyborg kecewa dengan bapa beliau dalam filem Justice League 2017 yang menyebabkan semangat beliau hilang. Tetapi entah bagaimana, beliau secara tiba-tiba kembali bersemangat dan bekerjasama dengan pasukan Justice League. Jika anda sudah lihat video acah semasa DC FanDome, bapa Cyborg – Silas Stone mati semasa sedang melakukan sesuatu pada kiub misteri. Ini akan menceritakan di sebalik semangat Cyborg dalam suntingan Snyder.

Begitu juga dengan The Flash. Watak Iris West ada diperlihatkan dalam video acah dan video di sebalik tabir. Tetapi adegan ini dipotong dalam filem versi akhir. Untuk filem akan datang ini, kisah cinta di sebalik Iris West dan Barry Allen akan diperlihatkan. Lebih menarik, Zack telah menjelaskan di DC FanDome yang The Flash akan menggunakan kuasa baharu yang tidak pernah diperlihatkan sebelum ini. Kuasa ini dikatakan akan memberi impak kepada emosi dan semangat watak. Ada kemungkinan besar yang ia adalah kuasa merentas ke masa silam. Seperti apa yang Bruce Wayne lihat dalam Batman V Superman, The Flash memberi klu yang Lois Lane adalah kunci segalanya.

Jalan Cerita Sama, Tetapi Lebih Menarik

Jalan cerita keseluruhan filem ini adalah sama sahaja. Dunia telah diancam oleh makhluk dari angkasa lepas kerana ingin memperoleh kiub misteri yang berada di bumi. Superman yang mati telah dihidupkan kembali. Tetapi dalam filem suntingan Snyder, kita akan lihat yang Superman akan memakai kostum hitam yang mana lebih sesuai dengan diri beliau yang baru sahaja bangkit dari kematian.

Versi Snyder ini adalah versi asal yang sepatutnya ditayangkan, sebelum Joss Whedon mengubahsuai bahagian-bahagian dalam filem ini. Antaranya adalah watak General Swanwick sepatutnya akan didedahkan yang selama ini beliau adalah Martian Manhunter. Kita mungkin akan lihat beliau dalam filem ini dan ada kemungkinan sedikit sebahagian aksi Green Lantern. Ini kerana, pada promosi awal filem ini ia mempunyai slogan “Unite The Seven” – tetapi dalam filem versi 2017 hanya ada enam adiwira sahaja.

Plot Aquaman turut akan diceritakan dalam filem ini bagi memperlihatkan bagaimana watak ini memberi impak dalam filem.

Pertempuran Dengan Penjenayah Baru

Penjenayah asal untuk filem Justice League adalah Dark Seid. Tetapi Joss Whedon telah mengubahnya dan hanya menggunakna Steppenwolf. Akhirnya, filem ini akan menunjukkan aksi Dark Seid sebagai musuh utama bersama-sama dengan robot/iblis beliau Parademon. Apa yang saya faham adalah, Dark Seid akan muncul di saat akhir dan Steppenwolf akan masih mempunyai lebih banyak masa di skrin.

Menurut beberapa laporan, Steppenwolf hanya ingin Dark Seid menerima beliau kembali sebagai pembantu (mungkin?). Rekaan Steppenwolf juga akan berbeza, ia akan menggunakan elemen seram dan gempak yang akan memberi satu perasaan berlainan.

Durasi 4 Jam Dan Nisbah 4:3

Idea asal Zack adalah filem ini mempunyai dua bahagian, iaitu Justice League Part 1 dan Justice League Part 2. Oleh itu, filem yang akan disiarkan di HBO Max dan HBO GO Asia ini akan mempunyai durasi empat jam. Tetapi, ia adalah dalam bentuk bersiri di mana satu bahagian adalah satu jam dan akan mempunyai empat bahagian.

Terdapat laporan yang menyatakan, selepas Zack berkabung akibat kematian anak perempuan beliau – beliau cuba teruskan kehidupan dengan menyiapkan filem ini selama enam minggu. Tetapi, beliau masih bersedih dan menjadikan banyak bahagian filem ini seperti dari segi suntingan, suara, kesan visual tidak lengkap. Disebabkan itulah, filem ini diambil alih oleh Joss Whedon agar ia disiapkan segera. Ada juga yang memberitahu filem ini sudah pun siap, hanya sedikit suntingan pewarnaan, audio, dan kesa visual sahaja belum siap.

The Snyder Cut of Justice League akan dipertontonkan dalam nisbah 4:3 dan bukannya lebar seperti kebanyakan filem lain. Ini kerana nisbah 4:3 akan lebih luas dan penonton boleh lihat banyak bahagian berbanding versi yang telah dicrop menjadi lebar.


Filem ini lebih kepada ingin memuaskan hati peminat filem-filem DCEU dan juga karya Zack Snyder. Jalan cerita keseluruhan filem ini akan sama sahaja, cuma akan ada beberapa adegan atau babak yang tidak pernah kita lihat akan dipertontonkan. The Snyder Cut of Justice League juga adalah satu filem lama yang dikembalikan atau dibaikpulih.

Jika anda berminat dengan filem ini, ia akan tiba pada tahun hadapan. Menurut khabar angin, ia mungkin akan disiarkan pada September 2021.

Sohor Kini