Seperti yang dijanjikan oleh Activision sebelum ini, mereka akhirnya memperlihatkan permainan Call Of Duty: Black Ops Cold War secara rasmi di mana ia adalah sekuel terus daripada permainan Call Of Duty: Black Ops yang dilancarkan pada 2010 lepas.

Menurut Activision, permainan ini dibangunkan oleh Treyarch dan Raven Software buat konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC melalui Battle.net di mana ia akan tiba pada 13 November 2020 ini. Activision juga mengesahkan versi PlayStation 5 dan Xbox Series X pada penghujung tahun ini.

Memandangkan permainan ini adalah sekuel kepada permainan 2010 lepas, Call Of Duty: Black Ops Cold War bertempatkan ketika awal tahun 1980an di mana ia memfokuskan watak Woods, Mason dan Hudson di mana pemain akan menyelesaikan penceritaan misteri peperangan dingin di dalam permainan tersebut.

Activision juga menyatakan memandangkan permainan ini bertempatkan pada tahun 1980an, mereka juga akan menyertakan pelbagai rujukan budaya terkenal di dalam penceritaan permainan tersebut dan pelbagai lokasi nyata seperti Berlin, Turki, Vietnam, Moscow dan sebagainya.

Berdasarkan video acah di atas, Activision juga memperlihatkan pelbagai adegan permainan yang kelihatan sangat menawan di mana ia dimainkan sepenuhnya di konsol PlayStation 5.

Selain itu, Activision juga umum mereka akan memperlihatkan bentuk multi-pemain pada 10 September 2020 ini di mana mereka mengesahkan permainan ini akan menyokong rentas-platform antara konsol generasi kini dan konsol generasi akan datang, termasuklah kandungan kemajuan pemain.

Menariknya, Activision juga umum kandungan multi-pemain Black Ops Cold War turut akan menyokong kemajuan dan kandungan dengan permainan percuma Call Of Duty: Warzone dan akan sertakan pelbagai ganjaran secara bersama. Ini bermakna, barangan yang pemain dapat di dalam multi-pemain Black Ops Cold War, boleh digunakan di Warzone.

Dari segi pra-tempahan, Activision menyatakan ia kini boleh dipra-tempah secara rasmi dan versi PC akan menerima dua edisi permainan iaitu edisi biasa dan edisi Ultimate.

Namun bagi versi konsol, ia agak berbeza atas sebab edisi konsol generasi seterusnya. Untuk memudahkan anda, kami menyenaraikan versi konsol di bawah untuk anda lihat senarai harga dan kandungan yang anda akan terima.

  • Call Of Duty: Black Ops Cold War (Edisi Biasa) Harga: RM249
    • Sertakan akses awal Beta.
    • Pra-Tempah akan sertakan pek watak Woods Operator untuk Modern Warfare dan Warzone.
    • Pek senjata Confrontation.
    • Boleh dimainkan di konsol generasi kini (PlayStation 4 dan Xbox One) namun versi konsol generasi akan datang ( PlayStation 5, Xbox Series X) tidak akan menerima pernaik-tarafan visual, tetapi masih boleh dimainkan melalui fungsi keserasian belakang.
  • Call Of Duty: Black Ops Cold War (Edisi Rentas-Generasi Konsol) Harga: RM289
    • Sertakan akses awal Beta.
    • Pra-Tempah akan sertakan pek watak Woods Operator untuk Modern Warfare dan Warzone.
    • Pek senjata Confrontation.
    • Boleh dimainkan di konsol generasi kini (PlayStation 4 dan Xbox One) dan konsol generasi akan datang ( PlayStation 5, Xbox Series X) bersama pernaik-tarafan visual.
  • Call Of Duty: Black Ops Cold War (Edisi Ultimate) Harga: RM379
    • Sertakan akses awal Beta.
    • Pra-Tempah akan sertakan pek watak Woods Operator untuk Modern Warfare dan Warzone.
    • Pek senjata Confrontation.
    • Pek darat, laut dan udara.
    • Pas musim Battle Pass untuk musim pertama bersama langkau 20 peringkat.
    • Boleh dimainkan di konsol generasi kini (PlayStation 4 dan Xbox One) dan konsol generasi akan datang ( PlayStation 5, Xbox Series X) bersama pernaik-tarafan visual.

Jadi bagi anda yang berminat, anda boleh dapatkan permainan Call Of Duty: Black Ops Cold War menjelang November ini di platform pilihan anda.

Sohor Kini