Netflix sedia terkenal sebagai platform penstriman video popular. Tidak dinafikan yang ramai pengguna di Malaysia turut melanggannya. Dari segi harga yang ditawarkan yang mana bermula dari RM17, Netflix menyediakan beribu-ribu kandungan tidak kira dari komediri, siri TV, filem atau juga dokumentari. Tetapi, aplikasi, perisian atau laman web Netflix kekal dalam bahasa Inggeris.

Terkini, Netflix akhirnya nampak yang terdapat ramai pelanggan di Malaysia. Jadi mereka telah memperkenalkan sokongan bahasa Melayu untuk keseluruhan platform. Tidak kira dari judul kandungan, sinopsis, laman mendaftar, teks di carian, laman pembayaran – keseluruhan Netflix kini adalah dalam bahasa Melayu. Sokongan ini tidak terhad kepada pengguna di Malaysia sahaja, tetapi turut secara global. Setiap profil pengguna turut boleh menetapkan bahasa tersendiri, misalnya profil A adalah bahasa Inggeris dan profil B adalah bahasa Melayu. Sokongan bahasa ini terdapat pada perisian desktop, TV, pelayar web atau juga aplikasi.

Bukan itu sahaja, Netflix turut mengembangkan lagi sokongan alih suara dan sarikata kepada lebih banyak kandungan. Apa yang menarik, Netflix akan belajar rutin penggunaan pengguna – yang mana jika kerap menggunakan alih suara atau sarikata bahasa Melayu kelak salah satu akan terus ditetapkan secara lalai.

Sokongan bahasa Melayu ini akan mula diedarkan kepada semua bermula esok. Usah risau jika anda takut yang bahasa Melayu adalah terjemahan secara terus, kerana Netflix menggunakan pakar penterjemah untuk bahasa ini. Perubahan bahasa dari segi alih suara dan sarikata adalah secara berperingkat dan bukan semua kandungan akan terus menerima sokongan ini.

Sohor Kini