Nintendo hari ini secara mengejut mengadakan acara Nintendo Direct Mini di mana mereka memperlihatkan pelbagai permainan-permainan yang diumumkan akan tiba di konsol Switch dalam masa terdekat ini dan juga pada masa akan datang yang terdiri daripada permainan pihak ketiga.

Salah satunya adalah permainan Kingdom Hearts: Melody Of Memory yang telah kami laporkan di sini, di mana ia akan tiba pada 13 November 2020 ini di konsol Switch, bersama-sama dengan versi PlayStation 4 dan Xbox One pada tarikh yang sama.

Manakala berikut pula adalah pengumuman-pengumuman lain ketika acara tersebut yang anda boleh baca di bawah.

Fuser

Fuser iaitu permainan seterusnya oleh pembangun siri Rockband, Harmonix juga diperlihatkan ketika acara Nintendo Direct Mini ini di mana mereka memperlihatkan beberapa bentuk multi-pemain kolaborasi yang akan tiba bersama 3 lagu baharu iaitu Ghosts N Stuff oleh Deadmau5, Dance Monkey oleh Tones and I dan Blinding Light oleh The Weeknd.

Buat masa ini, tarikh pelancaran Fuser masih belum diumumkan, namun ia disahkan akan tiba sekitar suku keempat tahun ini di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC.

Taiko No Tatsujin: Rhythmic Adventure Pack

Bandai Namco juga tidak melepaskan peluang untuk berkongsi permainan mereka iaitu Taiko No Tatsujin: Rhythmic Adventure Pack akan tiba di konsol Switch sekitar suku keempat tahun ini.

Menurut Bandai Namco, permainan ini merupakan pek dua permainan berdasarkan siri Taiko No Tatsujin RPG yang asalnya dilancarkan di konsol Nintendo 3DS. Melaluio permainan ini, ia menyertakan elemen siri asal Taiko No Tatsujin bersama kandungan penceritaan dan pengembaraan pemain untuk menyelamatkan dunia.

Melalui versi ini, Bandai Namco menyatakan yang mana ia akan menyertakan 130 lagu dan 6 daripada adalah lagu baharu seperti lagu Gurenge, iaitu muzik pembukaan siri anime Demon Slayer.

World Of Tanks Blitz

Wargaming pula mengumumkan yang mana mereka kini melancarkan permainan World Of Tanks Blitz secara rasmi di konsol Switch secara percuma.

World Of Tanks Blitz merupakan permainan multi-pemain percuma yang sebelum ini telah pun dilancarkan di PC dan juga versi permua di iOS dan Android di mana ia adalah permainan pertempuran kereta kebal yang menyertakan pelbagai kenderaan kereta kebal dari dunia nyata.

Dengan bentuk tujuh lawan tujuh, permainan ini menyertakan pelbagai pengubah-suaian kenderaan dan kemajuan yang pemain boleh dapatkan untuk bertempur dengan pemain lain.

Bagi anda yang berminat, ia boleh dimuat-turun secara percuma melalui Nintendo eShop.

Big Rumble Boxing: Creed Champions

Survios pula mengumumkan permainan sukan tinju Big Rumble Boxing: Creed Champions akan dilancarkan di konsol Switch sekitar suku kedua tahun hadapan.

Big Rumble Boxing: Creed Champions merupakan permainan tinju yang mana pemain akan mengembara di dalam dunia sukan tinju. Menariknya, permainan ini akan menyertakan watak-watak daripada filem tinju Creed dan Rocky seperti Adonix Creed dan Rocky Balboa.

Survios juga menyatakan permainan ini akan mempunyai bentuk penceritaan solo dan juga betuk multi-pemain.

Collection Of SaGa: Final Fantasy Legend

Square-Enix pula mengumumkan koleksi siri permainan SaGa ataupun dikenali sebagai Final Fantasy Legend buat pasaran global ke konsol Switch pada 15 Disember 2020 ini.

Melalui koleksi permianan ini, ia akan menyertakan The Final Fantasy Legend, Final Fantasy Legend II dan Final Fantasy Legend 3 yang asalnya dilancarkan di GameBoy lebih dari 30 tahun lepas.

Bersempena ulang tahun yang ke-30 siri ini, Square-Enix juga mengumumkan muzik khas bersama dengan kandungan tambahan seperti mod laju dan seabgainya.

Just Dance 2021

Ketika acara Nintedo Direct Mini, Ubisoft juga permainan rentak muzik Just Dance iaitu Just Dance 2021. Dengan menyertakan pelbagai muzik-muzik terkini seperti Twice, Feel Special dna juga lagu Dua Lipa dan Billie Ellish.

Permainan ini akan dilancarkan pada 12 November 2020 ini bukan sahaja di konsol Switch, malah di konsol PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X, Xbox One dan Stadia.

Puyo Puyo Tetris 2

Permainan Puyo Puyo Tetris yang dilancarkan beberapa tahun lepas kini menerima permainan sekuel iaitu Puyo Puyo Tetris 2 di mana ia adalah gabungan permainan tekaria Puyo Puyo dan Tetris.

Permainan ini akan menyertakan kesemua mod yang dilancarkan sebelum ini bersama mod penceritaan, multi-pemain dan pelabgai lagi kandungan baharu lain.

Menurut SEGA, ia akan tiba di konsol PlayStation 4, Xbox One dan Switch pada 8 Disember ini. Bagi versi konsol generasi seterusnya, ia juga diumumkan akan tiba di Xbox Series X dan PlayStation 5. Manakala versi PC akan tiba sekitar awal 2021.

Pengumuman Lain

Ketika acara Nintendo Direct Mini tersebut, Nintendo juga berkongsi beberapa pengumuman yang telah pun diumumkan sebelum di mana ia akan tiba dalam masa terdekat ini. Antaranya adalah:

  • Minecraft Dungeons, DLC Creeping Winter (Akan tiba 8 September ini)
  • Jump Force Deluxe Edition (Akan Tiba 28 Ogos Ini di Switch)
  • Captain Tsubasa: Rise Of New Champion (Akan tiba 28 Ogos ini)
  • Final Fantasy Crystal Chronicles: Remastered Edition (Akan tiba 27 Ogos ini)

Bagi anda yang ingin menonton keseluruhan acara Nintendo Direct Mini tersebut, anda boleh menontonnya di bawah.

Sohor Kini