Ketika acara DC Fandome sebentar tadi, Warner Bros Games mengumumkan permainan seterusnya berdasarkan siri Batman Arkham seperti yang dijanjikan oleh mereka sebelum ini, iaitu Gotham Knights yang dibangunkan oleh Warner Bros. Games Montreal.

Berdasarkan video acah yang diperlihatkan, permainan tersebut merupakan sekuel terus daripada permainan Batman Arkham Knight yang dilancarkan pada 2015 lepas di mana ia menyambung penceritaan selepas kematian Batman pada penghujung permainan tersebut.

Menariknya, ketika acara tersebut, Warner Bros Games juga memperlihatkan bentuk permainannya yang mana ia kelihatan memfokuskan bentuk multi-pemain di mana pemain boleh menghasilkan adiwira mereka sendiri berdasarkan empat adiwara utama lain di bandaraya Gotham iaitu Robin, Bat Girl, Nightwing dan Red Hood.

Dari segi bentuk permainan, ia kelihatan mempunyai kawalan yang sama seperti siri Batman Arkham dengan keupayaan untuk menggunakan pistol cangkuk dan juga bentuk pertempuran bebas bersama elemen selinap. Ia juga kelihatan akan menyertakan bentuk dunia terbuka dengan pertempuran elemen ketua musuh, dengan tibanya Mr. Freeze melalui video acah di atas.

Menurut kenyataan rasmi Warner Bros Games, permainan ini boleh dimainkan secara solo ataupun secara koperasi sebanyak dua pemain serentak dan ia dirancang untuk dilancarkan pada tahun hadapan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X dan PC.

Sohor Kini