Dengan jumlah jualan permainan Animal Crossing: New Horizons mencapai 22 juta, boleh dikatakan permainan tersebut adalah satu permainan yang sangat terkenal di kalangan pemain Switch tahun ini, terutamanya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu.
Dengan populariti permainan tersebut semakin berkembang, IKEA iaitu jenama perabot terkenal dari Sweden tidak melepaskan peluang untuk menggunakan permainan tersebut untuk memasarkan produk mereka di mana melalui laman Facebook rasmi IKEA Taiwan, mereka menghasilkan semula katalog perabot mereka dengan menggunakan permainan Animal Crossing: New Horizons.
Semestinya perabot-perabot tersebut tidaklah berdasarkan perabot nyata daripada IKEA, namun berdasarkan imej-imej yang dihasilkan semula dengan tanda harga dan butiran perabot, ia semestinya membuatkan katalog tersebut kelihatan seakan katalog sebenar di dalam dunia Animal Crossing.
Bagi anda yang ingin melihat kesemua imej katalog perabot tersebut, anda boleh ke laman Facebook IKEA Taiwan.
Animal Crossing: New Horizons telah pun dilancarkan di konsol Switch di mana kami sebelum ini telah pun mengulas dan menyatakan ia adalah satu permainan terbaik untuk dimainkan ketika berkurung di rumah.