Yakuza boleh dikatakan satu siri permainan klasik yang sehingga kini masih lagi diminati ramai. Tidak mengejutkan apabila SEGA mengumumkan versi Kiwami, iaitu versi olahan semula buat permainan Yakuza pertama dan kedua. Yakuza Kiwami dikeluarkan pada tahun 2016, manakala Kiwami 2 pada tahun 2017.
Ini merupakan ulasan untuk Yakuza Kiwami 2 akan tetapi ia boleh dikatakan ulasan untuk Yakuza Kiwami kerana bagi saya perbezaan yang dibawa adalah sangat sedikit, Kiwami 2 sekadar mempunyai kandungan yang lebih banyak. Selepas 23 jam sesi permainan, berikut adalah ulasan untuk Yakuza Kiwami 2.
Bagi saya penarik utama untuk permainan Yakuza adalah penceritaan yang disampaikan. Jika anda meminati penceritaan mengenai kumpulan “gangster” Jepun ini, permainan ini adalah satu kemestian untuk anda mainkan. Penceritaan yang disampaikan akan menyentuh segala aspek, seperti perkeluargaan, penghormatan, pengkhianatan dan juga kasih sayang di antara kesemua watak yang hadir.
Bercakap mengenai watak, permainan ini juga mempunyai jumlah watak yang ramai dan kesemuanya disampaikan dengan sangat baik. Tidak kira watak sampingan ataupun watak utama, setiap watak memberi kesan dan tiada yang ter-bazir. Ini dibantu lagi dengan susunan plot yang baik, ia banyak menyertakan kejutan tetapi setiap kejutan tersebut tidak terasa murahan walaupun ada masa kejutan tersebut digunakan untuk mengembangkan penceritaan secara ‘malas’.
Penceritaan adalah bersambung terus daripada permainan pertama, tetapi anda tidak semestinya perlu bermain Yakuza Kiwami untuk memahami apa yang berlaku di dalam permainan ini. Tambahan mereka juga menyediakan ringkasan pada awal permainan yang membantu anda mengetahui mengenai kejadian permainan pertama. Namun, saya sangat mengesyorkan yang anda bermain kerana ia juga adalah permainan yang baik.
Selain penceritaan utama, terdapat juga pelbagai penceritaan lain yang hadir melalui misi sampingan. Berbeza dengan penceritaan utama yang lebih serius, penceritaan sampingan lebih memfokuskan kepada jenaka dan ia adalah sebab utama saya merasakan sesuatu yang merugikan jika anda tidak melakukan mana-mana misi sampingan. Ia sentiasa mencuit hati dan membantu memberi dinamik yang berbeza kepada permainan ini.
Jika ingin dibandingkan dengan permainan dunia terbuka terkini, Yakuza Kiwami 2 mempunyai bentuk permainan yang lebih ringkas, tetapi ia adalah sesuatu yang sudah dijangkakan kerana ia merupakan satu olahan semula untuk permainan yang dikeluarkan hampir 14 tahun yang lepas. Sistem pertempuran bagi saya adalah aspek yang paling lemah, walaupun menyertakan pelbagai pergerakan yang menarik tetapi ia tidak cukup mendalam untuk menjadikan ia menarik.
Kebanyakan pertempuran adalah anda sekadar serang-serang sehingga tamat. Tidak banyak strategi yang diperlukan, sekurang-kurangnya untuk tahap kesukaran biasa. Bos-bos penjahat di dalam permainan ini juga sekadar mempunyai nyawa yang banyak, menjadikan pertempuran lebih lama berbanding biasa tetapi tidak banyak serangan yang berlainan dilakukan. Oleh itu, walaupun merupakan bahagian penting untuk permainan ini, ia sedikit mengecewakan.
Kebiasaan untuk permainan dunia terbuka, ia juga mempunyai pelbagai misi dan aktiviti sampingan. Bagi misi sampingan ia menarik untuk dilakukan oleh disebabkan penceritaan yang disertakan sepertimana saya terangkan di atas. Manakala bagi aktiviti sampingan pula, ia mempunyai kepelbagaian yang cukup untuk mengisi masa anda. Dua aktiviti sampingan utama adalah The Carbaret Club dan Clan Creator, di mana setiap-nya mempunyai permainan-mini tersendiri.
Bagi The Carbaret Club anda perlu mengurus kelab Carbaret untuk bertanding menjadi kelab dengan kutipan tertinggi di seluruh Jepun. Anda perlu mengurus semasa kelab dibuka dan juga mengurus pekerja-pekerja, di mana anda boleh melantik dengan melakukan misi sampingan ataupun melalui sistem gacha. Begitu juga dengan Clan Creator, tetapi ia lebih kepada permainan ‘tower defense’. Dua aktiviti ini juga mempunyai penceritaan tersendiri.
Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh bermain pelbagai permainan-mini lain seperti bermain kad di kasino, bermain mahjung, berkaraoke, golf dan juga arena pertempuran. Dengan kata lain, anda tidak akan kehabisan aktiviti jika anda tidak ingin terlalu fokus kepada penceritaan utama. Saya boleh katakan, perkara ini lah menjadikan permainan Yakuza menarik.
Walaupun ada masa yang membuatkan Yakuza Kiwami 2 terasa seperti satu permainan lama, tetapi penceritaan yang di bawa serta bentuk permainan secara keseluruhan masih lagi menjadikan ia permainan yang seronok untuk dimainkan walaupun sekarang. Versi Kiwami dengan peningkatan rekaan grafik juga membantu untuk menjadikan ia lebih berbaloi untuk pemain meluangkan masa bermain.
Tidak kira sama ada anda pernah mencuba siri permainan Yakuza sebelum ini, ataupun sekadar pernah mendengarnya sahaja, saya merasakan ia adalah satu permainan yang harus dicuba oleh semua dan saya pasti selepas anda mencuba satu, anda akan ingin mencuba permainan-permainan lain di dalam siri ini.