April lepas, Sony Interactive Entertainment dan Illfonic melancarkan permainan Predator: Hunting Grounds di mana ia adalah permainan multi-pemain yang memfokuskan empat pemain untuk bertempur dengan seorang pemain.
Empat pemain akan bermain sebagai tentera askar manuasia dan seorang pemain akan bermain sebagai Predator, iaitu pemangsa terkenal dari francais filem Predator.
Konsep ini adalah sama seakan permainan Evolve, Dead By Daylight ataupun Friday The 13th: The Game, yang mana juga dibangunkan oleh pembangun yang sama. Oleh sebab itu, dengan konsep yang sama tetapi untuk francais Predator, mereka membawa genre tersebut kembali dan ini adalah ulasan kami untuk Predator: Hunting Grounds.
![](https://aksiz.com/wp-content/uploads/2020/08/vlcsnap-2020-08-26-15h51m47s709-1024x576.jpg)
4 Bulan Kemudian, Masih Lagi Satu Permainan ‘Mati’ Tanpa Pemain
Perkara pertama yang aku perlu akui adalah mengapa ulasan ini adalah lambat atas sebab pada pelancaran permainan ini, kami mempunyai masalah untuk bermain atas sebab kekurangan pemain. Ini adalah kerana permainan ini adalah 100% permainan yang perlu dimainkan secara dalam-talian dan tidak langsung mempunyai sebarang bentuk penceritaan solo.
Atas sebab itu, kami terpaksa meninggalkannya untuk memfokuskan ke permainan lain atas sebab satu sesi permainan memerlukan masa untuk mencari dan bermain. Selang empat bulan kemudian, ia boleh dikatakan perkara yang sama masih lagi berlaku di mana permainan ini boleh dikatakan satu permainan yang sudah pun mati tanpa sebarang pemain.
Walaupun saya berjaya juga bermain beberapa pusingan jika menunggu lebih dari 2 atau 3 minit untuk sesi bermain sebagai manusia, namun jika saya ingin bermain sebagai Predator, saya menunggu hampir 20 minit dan masih tidak menjumpai sebarang sesi permainan.
![](https://aksiz.com/wp-content/uploads/2020/08/vlcsnap-2020-08-26-15h49m46s190-1024x576.jpg)
Ini menyebabkan permainan ini tidak langsung boleh dimainkan jika pemain ingin bermain sebagai Predator, walaupun ia menyediakan pilihan untuk mencari sesi permainan melaluinya. Namun, jika pemain memilih untuk bermain secara rawak, saya boleh sahkan yang mana hampir kesemua sesi pemain, pemain hanya akan bermain sebagai watak manusia sahaja.
Bentuk Permainan Yang Berulang Dengan Tidak Seimbang
Secara asasnya, Predator: Hunting Grounds mempunyai dua bentuk permainan berbeza di mana bentuk bermain sebagai tentera manusia dan juga bentuk bermain sebagai Predator. Kedua-dua watak tersebut mempunyai gaya dan kawalan permainan yang sangat berbeza namun ia masih mempunyai beberapa asas yang sama dari segi pengubah-suaian watak seperti senjata utama, senjata sampingan dan juga beberapa gajet yang pemain boleh tetapkan.
![](https://aksiz.com/wp-content/uploads/2020/08/vlcsnap-2020-08-26-15h51m30s940-1024x576.jpg)
Melalui bentuk tentera manusia, pemain akan bermain bersama 3 lagi pemain lain secara dalam-talian dan perlu bekerjasama untuk melakukan objektif yang tersedia seperti mengutip barang, menumpaskan musuh askar lain dan sebagainya. Secara asasnya, pemain akan bermain secara penembak pandang pertama dan pemain juga boleh menggunakan beberapa gajet yang pemain tetapkan.
Dari segi kawalan, asasnya adalah seperti kebanyakan permainan penembak lain dan pemain juga boleh bekerjasama seperti menghidupkan semula ahli pasukan yang tumpas ataupun membantu pemain lain jika mereka ditangkap oleh Predator.
Dari segi bentuk kawalan Predator pula, ia memfokuskan bentuk pandangan ketiga di mana pemain juga dilengkapi pelbagai jenis senjata dan gajet yang anda lihat Predator gunakan di dalam filem-filem. Senjata seperti meriam laser dan juga senjata jarak dekat seperti penumbuk berkuku, kesemuanya disediakan di dalam permainan ini.
Menariknya, jika pemain bermain sebagai Predator, pemain juga boleh melompat dengan bebas, memanjat pokok dan juga bersembunyi secara halimunan. Namun fungsi tersebut mempunyai had penggunaan dan ia perlu dicas jika ingin digunakan secara berterusan.
![](https://aksiz.com/wp-content/uploads/2020/08/vlcsnap-2020-08-26-15h50m59s300-1024x576.jpg)
Atas kertas, konsep permainan ini semestinya agak menarik dan seronok untuk dimainkan secara dalam-talian terutamanya bersama rakan-rakan. Namun, atas sebab Predator sangat berkuasa dan keupayaannya untuk melompat dan melarikan diri dengan pantas, ia sedikit sebanyak agak tidak seimbang.
Pada masa yang sama, setiap kali sesi permainan, ia mempunyai misi yang sama sahaja di mana watak tentera perlu lakukan objektif yang tersedia dan kebanyakannya hanya perlu mengutip barang ataupun memusnahkan kelengkapan musuh manakala Predator pula hanya perlu menumpaskan musuh.
Dengan konsep ini berulang kali, ia berasa sangat bosan setelah beberapa sesi permainan, dicampur pula setiap sesi mengambil masa untuk dicari, sekaligus membuatkan permainan ini tidak langsung seronok untuk dimainkan.
![](https://aksiz.com/wp-content/uploads/2020/08/vlcsnap-2020-08-26-15h49m14s285-1024x576.jpg)
Satu Penghinaan Untuk Francais Predator
Predator: Hunting Grounds asasnya mempunyai satu konsep permainan yang sangat baik dengan elemen berpasukan yang sangat mendalam dengan pelbagai pilihan senjata dan gajet bukan sahaja untuk watak tentera malah untuk watak Predator.
Namun atas sebab kekurangan pemain dan juga keseimbangan yang agak teruk, ia sekaligus membuatkan permainan ini tidak langsung boleh dimainkan dan hampir separuh daripada masa sesi permainan anda hanyalah untuk mencari sebarang pertarungan di dalam-talian.
Boleh dikatakan, permainan ini adalah satu penghinaan untuk siri Predator dan Illfonic sememangnya menghasilkan satu permainan yang teruk, bosan dan tidak langsung inovatif untuk genre permainan berpasukan tidak simetri.
Penafian: Kod ulasan Predator: Hunting Grounds disediakan oleh PlayStation Asia.