Skip to main content

Skully merupakan satu permainan platformer pengembaraan di mana pemain akan bermain sebagai Skully, iaitu seekor tengkorak kecil yang hanya boleh bergolek untuk bergerak. Namun, ketika pengembaraan pemain, pemain akan temui Terry, iaitu salah seorang ‘tuhan’ elemen daripada empat elemen dunia tersebut.

Namun, elemen-elemen di dalam dunia tersebut tidak bersekutu antara satu sama lain, sekaligus pemain perlu membantu Terry untuk menyelesaikan pergaduhan keluarga tersebut.

Lakonan Suara Latar Yang Baik, Namun Penyampaian Penceritaan Yang Terhad

Dari segi aspek penceritaan, watak Skully sememangnya tidak langsung bercakap di dalam permainan ini, namun penceritaan permainan ini digerakkan dengan penyampaian dan persembahan watak-watak elemen lain.

Perkara pertama yang saya ingin puji adalah lakonan suara latar bagi watak elemen tersebut di mana keempat-empat mereka melakonkan suara yang sangat baik sekali. Bukan sahaja terdapat beberapa adegan yang lucu, malah terdapat beberapa impak dan hubungan dinamik buat mereka yang membuatkan penceritaan permainan ini agak menarik.

Akan tetapi, adegan penceritaan permainan ini disampaikan dengan cara gambar statik tanpa sebarang animasi, sekaligus membuatkan penceritaannya agak terhad. Walaupun pembangun mungkin ingin sampai cerita seakan buku cerita kanak-kanak, akan tetapi untuk mempunyai sebarang animasi, ia berasa agak janggal.

Pada masa yang sama, atas sebab tersebut, terdapat juga beberapa gaya penceritaannya berasa berulangan, atas sebab penyampaian yang terhad, sekaligus pada pertengahan penceritaan permainan ini, saya sendiri tidak langsung menghirau sebarang naratif permainan ini atas sebab ia menjadi agak bosan.

Bentuk Platformer Tekaria Yang Mencabar, Namun Berulangan

Dari segi bentuk permainan, asasnya pemain akan berupaya untuk bergolek sebagai Skully atas sebab dia hanyalah sebuah tengkorak sahaja. Ini sekaligus untuk bergerak, pemain perlu melompat, bergolek dan mengelak pelbagai serangan musuh untuk menyelesaikan peringkat permainan.

Namun setelah pemain maju di dalam permainan, Skully akan menjumpai satu kawah lumpur di mana dia berupaya untuk mengubah bentuk seakan seekor “Golem” kepada 3 jenis bentuk utama di mana setiap satu bentuk mempunyai kemahiran dan fungsi yang berbeza.

Bentuk pertama membenarkan pemain untuk menumbuk batu dan menyerang musuh, manakala bentuk kedua membenarkan pemain untuk berlari dengan pantas dan bentuk ketiga membenarkan pemain untuk melompat secara berganda. Selain itu, bagi bentuk kedua dan ketiga pemain boleh menggerakkan batu secara mendatar atau menegak. Ia menjadi lebih menarik di mana pemain boleh keluar dari bentuk tersebut dan menggunakannya untuk menyelesaikan beberapa tekaria.

Konsep ini juga membuatkan kenapa permainan ini agak menarik dengan jumlah tekaria yang agak unik yang memerlukan pemain untuk betul-betul fikir untuk menyelesaikannya. Akan tetapi, setelah pemain mendapat maju di dalam permainan, kebanyakkan tekarianya hanyalah ulangan tekaria yang sama dan pemain perlu menyelesaikannya berkali-kali.

Bentuk pertempurannya juga agak bosan termasuklah ketua musuh di mana ia lebih memfokuskan pemain untuk menyelesaikan tekaria untuk menumpaskan mereka berbanding bertempurnya secara terus.

Walaupun begitu, saya menyukai aspek cabaran permainan ini bersama dengan kawalannya yang sangat responsif. Akan tetapi, ia terhenti setakat itu sahaja untuk perkara positif permainan ini atas sebab yang sama saya katakan di atas, ia terlalu berulangan.

Satu Permainan Platformer Ringkas Untuk Sesi Permainan Pendek

Apa yang saya boleh simpulkan adalah Skully merupakan satu permainan platfomer ringkas yang mana saya syorkan anda untuk bermain secara bersahaja. Ia tidaklah menyampai sebarang elemen baharu untuk permainan genre ini dan pada masa yang sama penceritaannya tidaklah begitu unik ataupun luar biasa.

Dari segi aspek kesukarannya, ia mungkin akan menarik minat mereka yang ingin mencari satu permainan yang mencabar, tetapi atas sebab tiada sebarang elemen RPG mahupun ganjaran yang besar, ia berasa kesukaran tersebut tidak berbaloi untuk dimainkan dan pemain hanya berulang kali menyelesaikan tekaria yang sama sahaja.

Penafian: Kod ulasan Skully disediakan oleh Modus Games.

Leave a Reply