Seperti anda sedia maklum, permainan sulung oleh Metronomik iaitu pembangun Malaysia, No Straight Roads akan dilancarkan pada 25 Ogos 2020 ini.
Dengan pelancarannya yang semakin hampir ini, mereka akhirnya memperlihatkan video acah baharu buat permainan tersebut di konsol Switch yang mana ia memperlihatkan beberapa adegan permainan bersama mod eksklusif di konsol tersebut.
Melalui video acah di atas, mod koperasi 3 pemain akhirnya diperlihatkan secara rasmi di mana ia merupakan mod tambahan khas yang hanya tiba di versi Switch. Melalui mod tersebut, dua pemain akan bermain watak Zuke dan MayDay manakala satu lagi pemain akan bermain sebagai Elliegator di mana beliau berupaya untuk membantu pemain dengan mengutip barang, mengubah prop muzik dan sebagainya.
No Straight Roads akan tiba di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC melalui Epic Games Store pada 25 Ogos 2020 ini. Ia juga akan dijual secara fizikal dengan edisi terhad yang menyertakan pelbagai barangan. Namun bagi edisi fizikal Switch, ia akan tiba pertengahan September ini.
Anda juga boleh mencuba demo permainan ini secara percuma melalui Epic Games Store. Informasi lanjut berkenaan permainan ini boleh di baca di sini.