Jun lepas, SEGA melancarkan permainan Persona 4 Golden di PC melalui Steam di mana ia mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan pemain dengan jumlah jualan sebanyak 500,000 dengan tempoh beberapa hari sahaja.
Terkini melalui laporan kewangan SEGA yang diterjemahkan oleh Persona Central, SEGA menyatakan selepas kejayaan permainan Persona 4 Golden di Steam, mereka sememangnya berminat untuk membawa lebih banyak permainan-permainan keluaran mereka sebelum ini dengan gaya yang sama di Steam ataupun di platform lain.
Mereka juga berminat untuk melancarkan permainan-permainan mereka di pelbagai platform untuk hari pertama pelancaran permainan tersebut. Namun, buat masa ini tiada lagi informasi lanjut untuk sebarang permainan yang diumumkan.
Semestinya permainan-permainan SEGA yang dilancarkan oleh mereka sebelum ini banyak dilancarkan di pelbagai konsol dan PC. Namun salah satu permainan yang diterbitkan oleh mereka iaitu siri Persona, ia boleh dikatakan jarang sekali tiba di platform lain selain PlayStation.
Dengan pelancaran Persona 4 Golden di Steam, kita mungkin akan melihat lebih banyak permainan dari siri Shin Megami Tensei oleh Atlus akan tiba di Steam mahupun konsol lain pada masa akan datang. Sebelum ini Atlus juga umum Shin Megami Tensei III: Nocturne akan tiba di PlayStation 4 dan Switch.